October 31, 2016

ADAB BERTASAWUF - PENDAPAT-PENDAPAT


BBB, 29 Muharram 1438H. = 30 Oktober 2016M. (Ahad):
Di dalam membicarakan tentang adab bertasawuf ini Al-Sarraj tidaklah memberi kata-kata pendahuluan  sama ada tentang erti  adab dan kaitannya dengan tasawuf sebaliknya Al-Sarraj terus memetik ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman!  Peliharalah diri kamu dan  keluarga  kamu dari neraka (Al-Tahrim: 6).
Dan memetik dari pendapat Ibn `Abbas dari tafsirnya ayat, yakni bermaksud:
``Peradabkan mereka  itu dan ajarkanlah mereka itu, mereka bertaqwa dan selamat dari api neraka. ``
Kemudian diikuti dengan, bahawa diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w. bahawa Baginda bersabda bermaksud:
``Tiadalah yang lebih penting bagi seorang bapa kepada anaknya yang lebih afdhal daripada mendidiknya dengan adab yang elok.`` (Al-Hadith).
Dan juga diriwayatkan dari Nabi a.s.w.s. Baginda bersabda bermaksud:
``Bahawasanya Allah mengadabkan daku, maka eloklah adabku.`` (Al-Hadith).
Menurut Al-Sarraj Allah memberi keistimewaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.  dengan keelokan adab dari kalangan nabi-nabi.
Kesemua petikan di atas adalah dapat dikatakan sebagai pengenalan bagi konsep adab yang disampaikan oleh Al-Sarraj.
Kemudian dilanjutkan tentang adab berdasarkan pendapat-pendapat kalangan sufi. Antaranya pendapat Ibn Sirin yang pendapatnya tentang adab , yakni berdasarkan pertanyaan yang dikemukan kepadanya tentang ., ``Manakah adab yang mendekatkan seorang kepada Allah Ta`ala, maka katanya, ``
``Ma`rifat dengan rububiyyahNya, beramal sebagai ketaatan kepadaNya, al-hamdulillah secara sunyi dan sabar daripada kemudaratan.``
Dikatakan kepada Hasan Basari, bahawa kebanyakan manusia mempelajari adab dengan segera, tetapi hasilnya  tidak segera, tetapi memanjang. Iaitu dengan tafaqquh tentang agama, yang boleh terarah kepadanya hati yang mempelajari, zuhud di dunia, kerana ia mendekati diri dengan Tuhan Rabb al-`alamin dan ma`rifat dengan Allah yang membawa kepada kamalnya iman.
Berkata Sa`id bin al-Musayyab r.h.a. ``Barang siapa tidak mengenal Allah dengan apa yang dikurniaNya kepadanya, maka dia tidak beradab dengan suruh dan tegahNya.
Berkata Kalthum al-Ghassani, ``Ada dua adab, iaitu adab di dalam berkata dan adab melaksanakannya (beramal), siapa yang setakat berkata, tiada pahala amal. Siapa mendekati Allah dengan adab perbuatan, maka dikurniai Allah mahabbah hati, hilang daripadanya keaiban dan sama mendapat pahala sebagai orang yang belajar.
Kata Ibn al-Mubarak, ``Adab bagi yang arif adalah kemestian  dan bagi  yang permulaan  sebagai keperluan.``
Berkata Sahl bin Abdullah, Minta tolong daripada Allah di atas melaksanakan suruhan dan sabarlah sebagai adab dengan Allah.
Disoal Abu al-`Abbas r.h. tentang adab dari segi  dzatnya:, maka katanya: ``Engkau berada pada semua yang elok. Tambahnya, engkau beramal kepada Allah dengan adab secara  sembunyi dan nyata, jika engkau sedemikian engkau adalah beradab, kemudian dia berpuisi:
``Sebaik engkau bercakap terburai kandungan
Jika engkau  diam  semuanya elok  kelihatan.``
Al-Sarraj memberi  pendapat-pendapat yang dapat disekalikan sebagai rumusan. Menurutnya:
``Adab ialah sandaran bagi kalangan faqir dan hiasan bagi orang-orang kaya.  Nilai adab pada manusia berbeza-beza dari segi pencapaian. Adab ada tiga lapisan
Pertama:  Ahlu al-dunya
Kedua: Ahlu al-Din
Ketiga: Ahlu al-Khususiyyah  daripada ahli agama.
Adapun Ahlu al-Dunya, maka mereka lebih menjaga dari segi  fasahah dan balaghah, menjaga ilmu, mendekati pemerintah, menggubah puisi dan mengenal penggubahnya.
Adapun Ahlu al-Din,maka kebanyakan mereka lebih kepada  penampilan diri dan menjaga penampilan luaran, bersih dalaman, menjaga hukum, meninggalkan syahawat, menjauhi  shubuhat,, menumpulkan kepada ketaatan dan bersegera membuat kebajikan.
Adapun adab bagi Ahli al-Khususiyyah daripada agama, maka kebanyakan adabnya membersih hati, menjaga rahsia, menunaikan janji selepas diaqadkan, menjaga waktu, dan kurang berpaling melayan kepada lintasan, rintangan dan halangan-halangan. Elok adab menurut kesesuaian dituntut dari segi maqam dan waktu-waktu sebagai kedekatan dari segi adab dan suasana.
Berkata Al-Sarraj bagi kalangan sufi ada adab-adab semasa musafir, adab menurut waktu dengan akhlak-akhlak tertentu. Begitu juga ada adab pada masa diam dan ketika bergerak dan mereka terserlah dengan adab-adab berkenaan. Dengan adab-adab yang demikian membezakan antara yang sadiqin – benar dan dusta, antara muttaqin dan muhaqqiqin.
Difahamkan dari pendapat-pendapat dan huraian-huraqian di atas, bahawa adab bukan sekadar penampilan luaran semasa interaksi dengan pihak yang berhubungan, tetapi pembawaan dalaman dan peribadi yang  telah diorientasi dengan kualiti dalama diri. Ianya manifestasi sponton dari pihak yang dilihat beradab yang tidak dibuat-buat. Pun begitu  tahap adab seseorang dengan seorang yang lain berbeza dan apa jua  lapisan bergantung kepada kualiti dalaman yang lahir sebagai  manifestasi luaran..

Sekian. 

1 comment:

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ mua hàng mỹ từ dịch vụ order hàng mỹ hay nhận mua nước hoa pháp từ website nổi tiếng hàng đầu nước Mỹ mua hàng ebay ship về VN uy tín, giá rẻ.

    ReplyDelete