October 1, 2016

SHAUQ SEBAGAI SATU ASPEK HAL


BBB, 28 Dzul Hijjah  1437H. =  30 September 2016 (Juma`at):

Telah disebutkan, hal merupakan pengalaman dilalui hati secara zauq dan wujdan atau intuisi hati-nurani di dalam pengingkatan ke hadrat Tertinggi. Shauq dapat diertikan  `Seronok`. Sebagai contoh pertemuan seorang yang dirindui apabila perindu bertemu yang dirindui. Dengan pertemuan dapat dileraikan kerinduan yang selama ini terpendam untuk menemuinya. Istilah shauq ini digunakan bagi aspek kerohanian dan maksud di sini ialah pertemuan dengan Yang Abadi secara tanggapan kerohanian  dan bukan secara realiti, lantaran tidak mungkin berlaku pertemuan antara yang baharu dengan yang abadi. Al-Sarraj meletakkan al-shauq di dalam skema al-hal. Sebagai salah satu  yang diandaikan dapat ditemui secara tanggapan di dalam perjalanan kualiti rohaniah yang bukan secara realiti, tetapi adalah tanggapan kerohanian.
Perlu diingat, nikmat dan lazat salah satu ciri balasan yang diterima oleh  orang yang taat, disamping siksa dan  azab  sebagai balasan yang diterima oleh mereka yang derhaka. Puncak bagi nikmat ialah syurga pada peringkat akhir dan neraka bagi mereka yang derhaka pada peringkat akhir.
Konsep shauq yang mencerminkan aspek  nikmat dan lazat  ada beberapa kategori dari peringkat yang rendah membawa kepada peringkat tertinggi.
Paling rendah ialah nikmat dan lazat pada peringkat jasmani dan inderawi yang nikmatnya dan lazatnya melalui pemuasan yang bersifat benda dan fizikal seperti indera:
1)      Nikmat dan lazat fizikal

a)       Mulut  tuntutan pemuasannya seperti makan,minum dan lainnya
b)      Mata pemuasannya dengan melihat kejadian Allah  (baik) dan melihat yang mungkar (tak baik)
c)       Telinga pemuasannya dengan mendengar yang baik (seperti mendengar bacaan  Al-Qur`an) dan jahat mendengar lagu yang lucah
d)      Hidung pemuasannya dengan bau-bauan yang harum dan sebaliknya bau-bauan yang keji
e)      Merasa sesuatu yang memberi keinsafan dan sebaliknya sesuatu yang merosakkan.

2)      Nikmat dan lazat hati
Melihat kejadian Tuhan yang indah seperti pandangan alam yang menarik dan dapat memberi ketenagan pada hati dan membesarkan ilahi. Ianya memberi kesuburan pada hati, menyubur imaginasi dan kreativiti dalam menghayati  keindahan Ilahi.  Sebaliknya jika pengalaman yang merosakkan adalah merosakkan hati.

3)      Nikmat dan lazat akli
Antara nikmat akli ialah dapat mempelajari ilmu pengetahuan, dapat memahami hakikat ketuhanan, menjadikan diri taat dan patuh pada perintah  dan menjauhi segala larangan. Nikmat mempelajari ilmu pengetahuan adalah nikmat tertinggi lantaran  dengannya dapat memahami dan mengetahui hakikat kewujudan.

4)      Nikmat dan lazat rohani
Tahap ini yang dibicarakan oleh Al-Sarraj, bahawa rohani adalah tahap maklumat dan ma`rifat tertinggi bagi diri insan. Ketasawufan mengambil jalan rohani di dalam mendekati Ilahi. Pertemuan di sini bukan secara realiti, tetapi adalah bersifat tanggapan  kerohanian yang mampu diteroka jiwa kepada tahap ketenangan  dan sebagainya yang memberi nikmat dan lazat yang digambarkan dengan istilah shauq itu.
Tentang shauq kata Al-Sarraj, ialah hal yang mulia. Beliau mengambil contoh daripada sabda Rasulullah s.a.w.
Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa Baginda berkata di dalam do`anya, ``Aku memohon daripada Engkau lazat melihat wajah engkau dan shauq kepada pertemuan dengan Engkau.``
Dan diriwayat juga daripada Baginda bermaksud:
``Siapa yang rindu (shauq) kepada syurga bersegeralah pada membuat kebajikan.``
Disoal setengah daripada mereka itu tentang shauq, dikatakan, ialah rusuh hati ketika disebut yang dikasihi.
Dan berkata yang lain tentang shauq, iaitu, shauq ialah api yang dinyalakan oleh Allah di dalam hati para auliya`nya hingga terbakar dengannya apa yang ada di dalam hati mereka daripada lintasan, kemahuan, rintangan dan hajat-hajat.``
Gambaran tentang shauq ini terkadang bersifat dzauq dan wujdan di hiasi dengan rasa intuitif estetik.  seperti kata Abu Sa`id al-Kharraz r.h.a.
``Dipenuhi hati mereka itu dengan mahabbah, maka menmginjak meningkat jiwa mereka kegembiraan, rusuh hati mereka oleh kerinduan (shauq), bergetar jiwa dengan kerinduan kepada Tuhan, tiada tumpuan selain daripadaNya.``
 Ungkapoan yang bersifat eksetik dan estetik meningkat dari bahasa biasa hingga membawa kepada perlapisan makna.
Menurut Al-Sarraj ahlu al-shauq di dalam tiga hal, iaitu,
Pertama: Shauq kepada apa yang dijanji oleh Allah Ta`ala kepada auliya`Nya daripada pahala dan kelebihan, kelebihan  dan keredaan.
Kedua: Shauq kepada pertemuan antara yang mengasihi akan yang dikasihi agar dapat berlaku pertemuan.
Ketiga: Shauq dari segi tanggapan hadirnya yang dirindui dan jangkaan penemuan.
Demikioan konsep  shauq sebagai salah satu aspek hal. Shauq dilihat sebagai  salah sau tahap di dalam perjalanan rohani yang berlaku kepada hati dalam usaha mendekati Allah yang digambar sebagai yang dicintai. Gambaran adalah bersifat konsepsi yang dinisbahkan kepada pengalaman rohani dan bukannya realiti.

Sekian.

No comments:

Post a Comment