BBB, 02 Muharram 1438H. = 03 Oktober 2016 (Isnin):
Sebelum kita pergi lebih jauh di dalam
membicarakan konsep mushahadah yang kita terjemah bererti
`Penyaksian` dan tidak menggunakan istilah `Melihat,
maka oleh kerana persoalan ini boleh menimbulkan kontroversi, maka perlu
diambil perhatian sekurang-kurangnya tiga perkara:
Pertama: Keilmuan tasawuf berbeza dari
akidah dan fiqh, keilmuan akidah berasaskan akal yang rasional,
istilah-istilahnya ketat dan tidak boleh berlebih kurang, kerana ianya boleh
merosakkan pegangan akidah. Misalnya `Allah bersifat Tunggal` bererti tidak
beranak dan tidak diperanakkan. Begitu juga dari segi ilmu fiqh yang melibatkan
undang-undang, maka baginya istilah yang tepat seperti `solat, zakat dan
sebagainya. Manakala bagi tasawuf, maka ianya bersifat rohani dan intuitif atau
bersifat dzauq dan wujdan, yang antaranya dipengaruhi cita rasa kerohanian,
sebagai contoh istilah `tasawuf` itu
sendiri mempunyai berbagai makna dan tafsiran sebagaimana telah dihuraikan.
Demikian misalnya konsep `hubb` , shauq` dan sebagainya.
Kedua: Oleh kerana di dalam tasawuf ada
elemen rohani yang subjektif dan ianya juga mengandungi eelemen seni dan seni
rohani, maka ianya terpengaruh dengan elemen seni dan kreativiti hasil dari
elemen rohani dan seni rohani. Ini dapat dicontohi dari ungkapan-ungkapan para
sufi yang tinggi daya rohani, seni dan seni rohaninya. Sebagai contoh Al-Junayd
disoal tentang tauhid khas dari segi kesufian, maka jawabnya secara kreatif
kerohanian:
``Adalah hamba sebagai satu lembaga
berdepan dengan Allah `Azza wa Jalla berlari di atasnya larian tadbirNya pada
larian hukum-hukum qudratNya di dalam kancah lautan tauhidnya dengan berkeadaan
fana diri hamba, tiada dakwaan cipta bagi hamba dan tiada dakwaan istijabah
berdepan dengan hakikat ketunggalanNya Allah dengan hakikat dekat denganNya
tanpa rasa dan gerak daya, hamba menurut haqq apa yang dikehendakibNya dan
kembali akhir hamba kepada awalnya, bahkan apa yang berlaku sebagaimana telah
berlaku.
Al-Junayd juga berkata, ``Tauhid adalah
keluar dari kesempitan garisan masa kepada keluasan kefanaan segala (Yang Ada
hanya Dia).
Jelas bahawa ungkapan tentang tauhid Al-Junayd
di atas bersifat kreatif dan seni rohaniyyah.
Ketiga: Dari elemen-elemen di atas, apa
yang selalu di depani di dalam keilmuan tasawuf ialah istilah-istilah yang
bercabang makna yang kreatif dan intuitif sifatnya. Dapat dikatakan bahawa
bahasa kesufian dari satu segi, khususnya dari segi kreativiti adalah seperti
sifat bahasa. Di dalam bahasa ada laras-laras bahasa. Ada laras bahasa
pertuturan (bahasa pasar). bahasa ilmiah yang perlu tepat seperti bahasa
akidah, bahasa perubatan, matematik dan sebagainya. Dan ada bahasa yang bersifat seni seperti
bahasa sastera. Contoh sebagai bahasa puisi yang mempunyai bahasa yang
bercabang makna. Contoh puisi:
Petang Condong
Petang condong tiba di usiaku
Membawa warna lembut ke wajahku
....
(T. Alias Taib, Petang Condong, 1996: 88).
Puisi di atas mempunyai makna berlapis dan
dapat ditafsirkan berbagai-bagai maksud.
Maka bahasa ketasawufan adalah terdiri dari
bahasa yang mempunyai elemen yang lebih dari bahasa sastera. Sekurang-kurangnya
ada padanya elemen sastera, elemen tasawuf dan elemen seni rohani yang lebih
halus dan lebih mendalam dari bahasa seni sastera sahaja. Sebab iti kalangan
sufi yang mempunyai sentuhan sastera, tasawuf dan seni rohani, maka ungkapan
bahasanya lebih halus, melayang dan
berlapis, seperti yang diungkapkan oleh al-Junayd, atau jika seniman sufi dan
penyairnya mengungkapkan puisinya maka puisinya begitu indah dan mendalam
seperti yang diungkapkan oleh Jami, Sa`di, Hafiz, Iqbal, Amir Hamzah dan
sebagainya, dan jika seorang arkitek mempunyai jiwa seni sufi, maka hasil senibinanya
begitu indah dan mengandungi unsur rohani mendalam seperti Istana
Al-Hambra`, Masjid Talun, Masjid Damshiq
dan sebagainya. Demikian jika khattat mempunyai jiwa kesufian, maka khat yang
ditulisnya begitu indah. Pendekata jiwa
sufi meningkatkan jiwa seni dan kreativiti kepada tingkat yang tidak mampu menyamainya oleh kehalusan seni yang
lain. Jadi bagi bidang tasawuf yang melibatkan seni bahasa (sastera) dan seni
rohani, maka bahasa dan ungkapan tidak dapat dilihat secara bahasa biasa yang
selapis maksud.
Kembali kepada konsep mushahadah yang
diterjemahkan kepada penyaksian, mungkin ditanggapi makna melihat Yang Maha
Agung yang sebenarnya tidak bermakna secara indera penglihatan biasa, kerana ianya
tidak mungkin terjadi antara yang baharu
dan abadi.
Mushahadah sendiri boleh dimaksudkan dengan
mushahadah akli, yang dari segi hujah dalil akli membuktikan kewujudan ketuhanan
yang dapat disaksikan dengan mushahadah akli. Ia juga boleh bermaksud
mushahadah secara seni rohani maknawi yang ditanggap dengan kejiwaan yang halus
dan mengkagumkan terhadap Yang Maha Pencipta. Adapun ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Pada hari akhirat itu muka (orang-orang
yang beriman) berseri-seri melihat kepada Tuhannya.``(Al-Qiyamah: 22) adalah
ditafsirkan maksud ialah melihat dengan cara yang layak bagiNya yang tidak
semestinya dengan mata kasar.
Berhubung dengan mushahadah itu, menunjukkan
Al-Sarraj bukan merujuk kepada indera mata, tetapi antaranya seperti kata Abu
Sa`id al-Kharraz r.h.a:
``Barang siapa menyaksikan Allah dengan
HATInya ...``
Demikian kata Amru Ibn `Uthman al-Makki
r.h.a., ``Mushahadah ialah melalui hati ...``
Ertinya tidak melalui indera mata kasar.
Di dalam hal ini Hadth Rasulullah s.a.w.
diriwayatkan oleh Sayyidina `Umar, tatkala Baginda ditanya malaikat tentang
ihsan. Maka Baginda menjawab:
``Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau
melihatnya, maka jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau.``
Dalam kata lain konsep mushahadah bukan
secara mata lahir, tetapi melalui mata akal atau mata hati. Akidah tauhid perlu
dipegang teguh dan ianya hendaklah mengawal, jika ada perkara yang
mengelirukan. Kebebasan mengungkapkan sesuatu yang bersifat kreatif, imaginasi,
intuitif, rohani dan sebagainya perlu dikawal dan hendaklah tunduk kepada
akidah dan tidak boleh melangkauinya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment