October 5, 2016

Al-YAQIN - HAL TERAKHIR: RUMUSAN


BBB, 03 Muharram 1438M. =  043 Oktober 2016 (Selasa):
Dalam susunan di bawah hal,  Al-Sarraj meletakkan `Al-Yaqin` pada bahagian akhir dari susunan aspek-aspek di bawah hal yang berjumlah sembilan ahwal itu. Al-Yaqin dalam erti kata biasa ialah `Kepercayaan sepenuh` terhadap sesuatu yang diyakini.
Al-Sarraj menyebut bahawa al-yaqin ada tiga wajah iaitu:
`Ayn  al-Yaqin, iaitu sesuatu yang disaksi dengan mata, lantaran disebut `ayn (mata) al-yaqin. Ia sebagaimana kita saksikan alam dan kandungannya.
Kedua Ilmu al-yaqin, iaitu sesuatu yang diyakini dan dibuktikan secara ilmu seperti dua kali lima pastinya sepuluh dan sebagainya.
Ketiga Haqq al-Yaqin, iaitu keyakinan yang Haqq dan sebenarnya seperti kewujudan Yang Maha Penciopta – Allah. Ini dapat dibuktikan dengan dalil-dalil akli dan naqli.
Menurut Al-Sarraj Al-Yaqin ialah al-Mukashafah, iaitu terbuka sesuatu yang sebelumnya tidak difahami misalnya dengan bukti keilmuan yang dipelajari seperti umpamanya sebelumnya tidak diketahui misalnya tiap benda terdiri dari atom-atom, tetapi bila dipelajari bahawa sesuatu yang berbenda adalah terdiri dari himpunan atom-atom dan dipelajari bahawa Dzat Allah bukan sebagaimana benda yang bersifat baharu yang terdiri dari susunan atom-atom. Pembelajaran tentang keilmuan berkenaan merupakan mukashafah dari kejahilan yang sebelum ini tidak diketahui.
Menurut Al-Sarraj mukashafah adalah atas tiga wajah.
Pertama : Mukashafah al-`iyan, iaitu mukashafah berdasarkan penglihatan mata, seperti pertanda hari kiamat yang bukti dan dalilnya dapat disaksikan dengan mata kepala seperti berlakunya kerosakan muka bumi seperti gempa bumi, ribut taufan yang memusnahkan dan berbagai kemusnahan yang lain. Kiamat adalah kemusnahan yang paling besar yang mungkin akibat perjalanan cakrawala menjadi rosak dan berlaku perlanggaran antara planet-planet dan bintang-bintang dan sebagainya.  Bukti tanda-tanda kiamat ini diperkukuhkan lagi dengan bukti-bukti naqli  seperti di dalam Surah Al-Qiyamah, Al-Qari`ah dan banyak lagi.
Kedua: Ialah Mukashafah al-Qulub yang ditanggap dengan hati nurani, bahkan akli, lantaran konsep Al-Qulub juga merangkumi akli. Kedua-duanya mempunyai kaitan, bahawa sesuatu yang difahami dan diyakini dengan akal, membawa kepada sentuhan kalbu yang menanggapinya dengan mesra, kasih sayang dan cinta. Ia adalah merupakan pendekatan yang lebih intim dan mendalam dari penglihatan mata kasar, yang mempunyai jarak pandangan yang dekat dan boleh rosak dengan kerosakan mata atau jarak yang tidak jelas dan sebagainya.
Ketiga: Menurut Al-Sarraj ialah Mukashafat al-Ayat yang diberi Allah Ta`ala kepada rasul-rasul dan para anbiya` dan mereka yang dikehendaki yang terbuka bagi mereka hijab-hijab.
Menurut Al-Sarraj al-Yaqin hal yang tinggi. Menurutnya ahlu al-yaqin terbahagi kepada tiga:
Pertama: Tahap rendah, iaitu  termasauk di bawah kalangan murid yang berada pada peringkat pengajian – termasuk di bawahnya ialah kalangan orang awam.  Dikatakan tahap permulaan ini juga sebagai awal maqam, iaitu memperecayai apa yang di `tangan Allah Ta`ala` dan tidak minat apa yang di tangan manusia. Iaitu sebagaimana dikatakan oleh Al-Junayd, tatkala ditanya berkenaan al-yaqin, katanya. ``Terangkat sebarang syak.``
Dan sebagaimana kata Abu Ya`kub, ``Apabila sampai hamba kepada tahap redha, dengan apa yang dibahagi Allah kepadanya, maka sempurnalah baginya keyakinan.
Kedua: Tahap pertengahan, mereka adalah kalangan ahlu al-khusus, iaitu sebagaimana disoal Ibn `Ata` tentang keyakinan, maka katanya `Berterusan dari apa yang menghalang di atas penerusan waktu.``
Dan kata Abu Ya`kub al-Nahrajuri, r.h.a. ``Seorang hamba apabila tahqiq dengan keyakinan bergerak ia daripada yakin kepada yakin hingga jadilah keyakinan sebagai watan baginya.``
Ketiga: Tahap Tinggi yang disifatkan sebagai tahap khusus al-khusus, iaitu sebagaimana dikatakan oleh `Amru bin `Uthman al-Makki r.h.a. ``Yakin dari segi jumlahnya ialah tahqiq dengan ithbat bagi Allah `Azza wa Jalla, dengan segala sifatnya.
Al-Yaqin sebagai  akhir dan puncak bagi ahwal, kata Al-Sarraj:
``Dan yaqin ialah asal bagi semua ahwal, dia adalah akhir ahwal, dan batin bagi semua ahwaL. Dan semua ahwal zahir yaqin, puncak yaqin, tahqiq bagi tasdiq bagi yang ghaib dengan hilang segala syak dan keraguan. Dan kemuncak bagi keyakinan,  berwajah cemerlang, berkemanisan munajat dan bersih nazarnya kepada Allah Ta`ala dengan mushahadah al-qulub dengan hakikat-hakikat keyakinan dengan hilangnya illat-illat dan rintangan.
Berkata Al-Wasiti r.h.a.
``Apabila yaqin bermakna  berlaku bersamanya mushahadah al-ahwal.
Baik bagi peningkatan maqam dan hal apa yang dibicarakan, ialah bagaimana memperkukuhkan  tali kerohanian yang walaupun disebut satu persatu dari segi pembicaraan, tetapi perjalanannya bukanlah bererti seturut-seturut satu persatu sebagaimana yang di susun pada gugusan maqam dan hal. Tetapi ianya seharusnya bersifat integrated semua aspek maqam dan hal pada diri dan peribadi seorang pengamal kerohanian. Lantaran itu bagi  `Abdul Qadir Isa merangkumkan semua aspek maqam dan hal di bawah judu sebagai jalan menuju kepada Allah.
Walau bagaimana dari segi pendekatan sesungguhnya  Al-Sarraj mempunyai persepsi kerohanian yang tajam tentang perkembangan dan pembinaan kualiti kerohanian, sehingga ia dapat melihat dengan jelas dan membedakannya antara yang dikategorikan sebagai maqam dan yang dinamakan hal. Pendekatan ini membuka jalan bagi pendekatan-pendekatan yang datang terkemudian sama ada menggunakan pendekatan Al-Sarraj dan menambahkan aspek-aspek di bawah maqam dan hal atau mengambil pendekatan yang sama sekali berbeda. Apa pun pendekatan adalah penting bagi memahami rangka kandungan dan penujuan agar pengikut-pengikut atau mereka yang cuba memahaminya  tidak hilang arah dan tujuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment