October 2, 2016

AL-UNS (INTIM) SEBAGAI SATU CIRI HAL


BBB, 29 Dzul Hijjah  1437H. = 01 Oktober 2016 (Sabtu):
Aspek-aspek di bawah hal yang berlaku pada hati diturun secara logik, di samping secara seturut. Bermaksud selepas satu sifat hal seperti selepas al-raja` diikuti pula oleh al-shauq yang merupakan logik bagi perkembangan selepas al-khauf. Demikianlah selepas al-shauq, maka dibicarakan tentang `al-uns` yang bermaksud sebagai intim, berjinak, mempunyai hubungan yang rapat.
Al-Sarraj memberi maksud bagi `al-uns bi Allah` bermakna, intim atau berjinak dengan Allah, bermaksud `bergantung kepada Allah Ta`ala, tenang kepadaNya dan memohon pertolongan kepadaNya dan tidak bersedia mengibaratkan kepadaNya lebih banyak dari pada ini.
Secara logik, jalan yang ditempuh manusia dalam kehidupan adalah dua jalan, jalan kebaikan dan jalan kejahatan. Jalan kejahatan ialah jalan yang ditempuh oleh orang yang tidak berilmu dan tidak sedar akan kepentingan dan faedah hidup di dalam kebaikan . Dengan kejahilan mungkin dia ditarik oleh nafsu  dan tidak menghiraukan tentang kebaikan dan masa depan. Dia disifatkan sebagai liar  -lawan al-uns dan jauh dari Tuhan. Aspek kebalikan dari al-uns ini tidak menjadi persoalan yang dibicarakan oleh Al-Sarraj.
Apa yang ditekankan oleh Al-Sarraj terhadap pecahan dari hal, ialah `Al-Uns` yang kita terjemah sebagai `intim` yang bermaksud jinak diri atau rapat diri dengan Allah. Bertasawuf berrerti berusaha membersih dan melengkapkan diri bagi perjalanan dan memperlengkapkan diri dengan ciri-ciri positif di dalam hal yang harus dilalui yang melibatkan diri dengan ketasawufan.
Secara logik alamiah, ibarat pekerja yang bekerja  di dalam satu firma yang melibatkan ramai pekerja. Adalah logik dan menjadi hasrat normal pekerja, mau melaksanakan pekerjaan dengan baik dan meningkatkan produktiviti serta mempunyai hubungan dengan majikannya secara baik. Hubungan baik dikekalkan sepanjang masa, agar dia tidak memberi masalah kepada majikan dan berpuashati dengan kerja dan produktiviti yang dihasilkan. Dia bekerja  dengan berprinsip, jujur  dan mencapai kepuasan dengan pekerjaan. Selain dari mencapai kepuasan dengan tugas dan tanggungjawabnya di alam pekerjaan, maka secara tidak langsung dengan kejujurannya dia mendekatkan diri kepada majikan. Sebagai pekerja yang dipercayai dia rapat dengan majikan dan mempuinyai hubungan yang baik. Sudah tentulah sebarang pemberian, kurnia atau pujian pekerja yang mampu memberi kepuasan kepada majikan dan rapat dengannya akan diberi ganjaran lebih baik dari pekerja-pekerja yang biasa.
Contoh di atas juga boleh dijadikan perbandingan dari segi hubungan seorang hamba dengan Allah. Bagi yang mau mendekati Allah tentulah dia membawa pembawaan yang baik terhadap Allah bermula dari maqam-maqam positif yang dilalui membawa  kepada ciri-ciri hal seperti mahabbah, khauf, raja`, shauq, maka demikian  bagi perjalanan kualiti rohaniah seperi `al-uns`. Merasa intim, rapat dan dekat kepada Allah meningkatkan hubungan dengan Allah dan intim dan jinak denganNya, misalnya melalui peningkatan ibadat, menggandakan dari segi membuat kebajikan. Tumbuh rasa al-uns melambangkan keintimaman dan kekukuhan diri dalam hubungan dengan Allah. Dari segi kebiasaan yang lebih rapat dan lebih dekat hubungan dengan Allah, maka ia lebih berpeluang dari segi keintiman hubungan dan mendapat rahmat hidayah. Dibandingkan jika hujan rahmat turun ke permukaan bumi, maka yang lebih dekat dan intim dengan Allah ialah yang lebih dekat mendapat rahmat . Dari perbandingan rahmat hujan, maka bila hujan puncak-puncak  gunung dan tanah-tanah tinggi berpeluang lebih awal menerima nikmat hujan. Selepas itu baharulah airnya mengalir ke bahagian-bahagian yang lain yang lebih bawah turut menerima rahmat.
Berhubung dengan  `Al-Uns` ini Al-Sarraj  mencatat:
Diriwayatkan di dalam khabar bahawa Mitraf bin `Abdullah  bin al-Shakhir r.h.a. menulis kepada `Umar bin `Abdil `Aziz r.a dengan tulisnya, ``Hendaklah engkau intim dan mmpunyai hubungan baik dengan Allah dan memberi tumpuan terhadapNya.. Sesungguhnya bagi Allah ada hamba-hamba yang intim dengan Allah, mereka amat memberi tumpuan terhadap Allah dan mempunyai hubungan baik dengan manusia dan tidak mereka  dikesampingkan.
Adalah Mitraf bin `Abdullah dari kalangan tabi`in yang besar dan `Umar bin `Abdul Aziz dari kalangan al-aimmah al-Rashidin.
Dan kata setengah al`Arifin,  bahawasanya Allah `Azza wa Jalla mempunyai hamba-hamba  yang terarah kepada haq dari haq-haq dan keintimam hubungan.
Sesungguhnya  intim dengan Allah bagi seseorang hamba ialah yang sempurna kebersihan diri, jernih ingatan (dzikirnya). Dia memutus diri daripada segala sesuatu yang mengganggu diri daripada Allah. Dengan demikianlah intim dirinya dengan Allah.
Ahli al-Unsi (Intim)  menurut Al-Sarraj di atas tiga ahwal:
Pertama:  Orang yang intim dengan berdzikir dan mengelak diri dari kelalaian, intim dengan ketaatan dan menjauhi diri dari dosa sebagaimana dihikayatkan dari Sahl bin `Abdullah r.h.a berkata:
``Seawal intim daripada hamba dia mengawal nafsunya dan anggota dan akalnya. Intim akal dan nafsu dengan ilmu shara`dan intim akal, nafsu dan anggota dengan beramal kepada Allah secara ikhlas, maka intimlah hamba dengan Allah dan dia tenang kepadaNya.
Kedua: Bahawa bagi hamba yang intim dengan Allah dan menolak selain daripadaNya daripada segala rintangan dan lintasan yang mengganggukan.
Berkata Al-Junayd daripada Al-Uns (Intim) ialah terangkat kedudukan oleh kehaibatan. Dan berkata Ibrahim al-Darastani, Al-Uns, ``riang hati dengan yang dikasihi.
Ketiga:  Terlindung al-uns oleh kehaibatan dan kedekatan dan kebesaran.
Dengan Intim atau al-uns, menghilangkan ketakutan dan membuka ruang kedekatan dan demikian ketakutan bertukar kepada kemesraan.
Perubahan dan pertukaran hal yang terjadi pada diri dan hati pejalan kerohanian  menandakan peningkatan kualiti kerohanian diri yang amat subjektif dari segi ukuran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment