October 7, 2016

TASAWUF BERSUMBERKAN AL-QUR`AN


BBB, 05 Muharram 1438H. = 06 Oktober 2016 (Khamis):
Bagi menunjukkan bahawa Al-Qur`an sumber bagi ilmu, khususnya tasawuf Al-Sarraj memetik beberapa ayat A-Qur`an sebagai pembuktian. Al-Qur`an sendiri memaklumkan sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur`an), sebahagian besar daripadanya ayat-ayat muhkamat (tetap, tegas dan nyata). Ayat-ayat (muhkamat)  itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur`an dan yang lain lagi ialah ayat mutashabihat (Ali `Imran: 7).
Bererti bahawa tasawuf memang  berlandaskan kepada ayat-ayat yang jelas, tetapi turut sama memperjelaskan apa yang mutashabihat menurut perspektif keilmuan tasawuf. Misalnya tentang ayat al-Kursi kukuh dengan elemen-elemen tasawuf yang menanggapi tentang kebesaran Allah. Sebagai contoh tasawuf banyak membicarakan persoalan yang berhubung dengan rohani, iaitu bidang yang amat luas.  Firman Allah bermaksud:
`Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh, katakanlah ``Roh itu dari perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pemngetahuan melainkan sedikit sahaja.`` (Al-Isra`:85).
Maka sesungguhnya sebagaimana ilmu-ilmu yang lain diteroka, tentunya tidak mungkin sempurna, maka demikianlah juga bidang kerohanian terbuka sama untuk dikaji dan dihayati, meskipun diperingatkan oleh Allah, roh adalah rahsia ketuhanan, dan tidak diberi keilmuan berkenaannya kecuali sedikit, tetantulah ia menjadi cabaran bagi yang menghayati ilmu berkenaan. Sesungguhnya keilmuan berkenaan amat luas, apa yang dilihat dari alam shahadah adalah sebahagian kecil dari alam berkenaan, sedang alam ghaib dan rohani amat luas, di atas pemberian Allah sedikit dari ilmu kerohanian itu pun amat luas dan tidak mungkin diterokai dan dihayati sepenuhnya.
Sesungguhnya Al-Qur`an diturunkan antaranya bagi menyampaikan maklumat tentang kerahsiaan dan panduan  dari kandungan Al-Qur`an. Al-Sarraj memetik ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Qur`an ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman kepadanya.`` (Al-Isra`: 82).
Sebagaimana disebut oleh Al-Qur`an ianya menjadi penawar secara langsung, bagi penyakit-penyakit secara langsung, tetapi juga menjadi penawar bagi akal dan hati dengan penghasilan ilmu dan hidayah kerohanian.
Al-Sarraj mengambil lagi dua ayat Al-Qur`an yang  bermaksud:
Ya Sin, Demi Al-Qur`an yang mengandungi hikmat-hikmat (Yasin: 1-2)
Dan ayat yang bermaksud:;
``Yang demikian itu adalah pengajaran yang cukup sempurna.`` (Al-Qamar: 5).
Istilah hikmat adalah memaksudkan kepada bijaksana mengatasi ufuk keilmuan.
Allah memberi ruang dan peluang bagi manusia menerokai ilmu dan kerohanian yang dapat mereka memahami kejadian-kejadian Allah dan mengatasi daripada sedemikian itu adalah hikmah-hikmah. Hikmah-hikmah kadangkali luar dari kemampuan yang dapat dicapai oleh akal dan tidak semestinya dapat dipersepsi oleh kerohanian.
 Hikmat keilmuan dan kerohanian ini adalah menjadi ufuk yang mengasyikkan bagi yang berada pada perbatasan antara melihatnya dan keterbatasan dari mencapainya.
Mengulas tentang hikmah mendalam di atas. Al-Sarraj mengukuhkan persoalan di atas dengan sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Al-Qur`an adalah tali Allah yang kukuh yang tidak berhujung ajaib-ajaibnya, dan tidak mampu disanggah. Siapa yang menyebut tentang Al-Qur`an dia adalah benar, siapa yang beramal dengannya mendapat pertunjukan, siapa yang menghukum dengannya mendapat keadilan dan siapa yang berpegang dengannya mendapat pertunjukan.
Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Alif Lam Mim. Klitab Al-Qur`an itu tidak dapat tidak memberi pertunjukan padanya memberi hidayah bagi orang-orang bertaqwa. (Al-Baqarah: 1-2).
Dengan ayat ini dan yang semaksud dengannya mengambil faedah oleh ahli-ahli ilmu. Mereka dapati di bawah dari setiap huruf daripada kitab Al-Qur`an banyak perkara yang dapat difahami – juga yang tidak difahami dan mereka mengambil dalil daripada ayat-ayat Al-Qur`an berkenaan.
Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya Al-Qur`an ini memberi pertunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.`` (Al-Isra`: 9).
B agi menuju kepada tahap kefahaman yang betul dan sempurna, maka tidak ada jalan bagi mereka melainkan dengan tadabbur, berfikir, menyedari (tayaqquz), tazakkur, menghadhirkan hati ketika membaca dan menghayatinya,, sebagaimana firman Allah bermaksud:L
``(Al-Qur`an ini) sebuah kitab yang kami turunkan dia kepadamu (dan umatmu, wahai Muhammad). Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk  orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar (Sad: 29).
Apa yang dipereturunkan di atas adalah mengambil pendekatan yang dibuat dan dihuraikan oleh Al-Sarraj bagi membuktikan sumber dan pendekatan bagi tasawufnya. Sebenarnya tanpa memberi peruntukan khas pembicaraan tentang Al-Qur`an  sebagai sumber tasawufnya, daripada kandungan kitabnya dapat difahami, bahawa pendekatannya adalah bersumberkan Al-Qur`an. Walau bagaimana apa yang dipetik dan dihuraikan oleh Al-Sarraj di atas adalah sebahagian kecil dari pendekatan yang berasaskan Al-Qur`an. Sebenarnya  daripada kandungan Al-Qur`an itu begitu luas dan berpelbagai dapat dibicarakan dari segi ketasawufan dan kerohanian. Sebahagian daripadanya telah dihuraikan oleh Al-Sarraj bagi berbagai bidang yang dibicarakan yang dihuraikan berdasarkan ayat-ayat Al-Qur`an dan tentulah begitu banyak lagi kandungan yang belum diterokai dan dihuraikan.

Sekian .

No comments:

Post a Comment