October 14, 2016

CONTOH KESUFIAN DARI KALANGAN SAHABAT - TALHAH


BBB, 12 Muharram 1438H. =  13 Oktober 2016 (Khamis):
Al-Saeeaj telah memberi contoh kesufian dari kalangan sahabat yang keutamaan tinggi ialah dari kalanagan Khulafa` al-Rashidin yang empat, iaitu Abu Bakar `Umar, `Uthman dan `Ali r. `anhum. Beriukutnya keutamaan diberi kepada kalangan Ahlu al-Suffah yang berjumlah lebih kurang 300 orang itu, tetapi tidak disebut nama-nama mereka itu secara langsung. Dan berikut ialah kalangan para sahabat . Dari ribuan yang bertaraf sahabat yang berkesempatan hayat mereka dengan Rasulullah s.`a.w., lebih khusus berinteraksi dengan Baginda disebut di dalam kitabnya `Al-Luma`, ialah sebanyak 35 orang. Itupun disentuh setiap orang daripada mereka dengan ringkas. Walau bagaimana dengan penyebutan nama mereka dan dengan maklumat tambahan dapat kita memahami, latar dan pembawaan ketasawufan yang menjadi model bagi Al-Sarraj memilih mereka dan juga menjadi contoh ikutabn bagi kita.
Dengan mensenaraikan nama-nama tokoh dan sufi  dengan latar atau kegiatan mereka berhubung dengan tasawuf sebenarnya Al-Sarraj secara tak langsung memulakan satu kaedah penulisan  tentang tokoh, biografi atau tabaqat atau generasi sufi sebagaimana sempurnanya di hasilkan secara lebih sempurna oleh seperti Al-Sulami dengan  Tabaqat al-Sufiyyat dan Al-Sha`rani dengan Al-Tabaqat al-Kubra.
Berhubung dengan para sahabat ini tidak ada pembukaan bagi bab yang diberi  judul:
``Bab Pada Menyebutkan Kalangan Saahabat Bagi Makna Ini (Tasawuf) dan terus disebut watak kesufian pertama ialah:
Talhah bin `Ubaidillah r.`a.
Berkata Shaykh (Al-Sarraj) r.h.a. sesungguhnya diriwayatkan daripada Ziyad bin Hudayr bahawa sesungguhnya dia berkata, ``Aku melihat Talhah bin `Ubaidillah r.a. bersama seratus ribu di dalam satu majlis dan dia menjahit tepi bajunya dengan tangannya.``
Itu saja petikan yang berhubung dengan Talhah bin `Ubaidillah yang mencerminkan bahawa begitu ramai beliau mempunyai pengikut atau penyokong, tetapi beliau tetap dengan kezuhudannya, iaitu, memakai baju yang menunjukkan bahawa beliau tidak menunjukkan  kemewahan. Bajunya yang dipakai carit atau koyak, maka sebagaimana Rasulullah s.a.w. dan juga `Umar bin al-Khattab dan beberapa individu yang lain dari kalangan sahabat memakai baju yang tidak menunjukkan kemewahan dan baju carik atau koyak, maka dia menjahit atau menampal sendiri bajunya yang koyak berkenaan !
Sebenarnya kisah Talhah membawa elemen yang kudus dan tragis. Talhah adalah seorang peniaga terkenal di Makkah sejak zaman jahiliyyah. Dia berniaga antara Makkah dan Basrah. Di Basrah selain dari berniaga dengan dagangan-dagangan yang banyak, beliau bergaul dengan penduduk di sana dan menemui rahib-rahib di sana. Beliau dimaklumkan oleh rahib, tentang perutusan kerasulan dari kalangan bangsa `Arab. Sepulangnya ke Makkah membawa dagangan, beliau mendengar, bisikan-bisikan yang dicakapkan dengan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. Beliau menemui Abu Bakar sahabat rapat Rasulullah s.a.w. dan beliau meyakini dengan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. dan melalui Abu Bakar, beliau menemui Rasulullah s.a.w. dan menyatakan keislamannya. Jadi Talhah adalah tergolong dari generasi pertama penerima Islam. Beliau  turut menerima gangguan dari pihak kaum Quraisy dan memberi kesan terhadap perniagaannya, tetapi beliau mendapat perlindungan dari Naufal bin Khuwailid yang terkenal dengan gelaran Singa Makkah yang juga merupakan bapa saudara bagi Saidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri Nabi.
Apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, maka Talhah turut sama berhijrah dengan Rasulullah s.a.w. dan menggunakan kekayaan bagi membantu kaum muhajirin dan bagi perkembangan Islam di Madinah.
Semasa di Madinah Talhah tidak berkesempatan menyertai peperangan pertama di dalam Islam, iaitu peperangan Badar. Ini ialah kerana Talhah dan seorang lagi sahabat, iaitu Sa`id bin Zaid ditugaskan oleh Rasulullah  dengan satu tugas di luar dari Madinah. Beliau amat kesal tidak berpeluang sama di dalam peperangan Badar – peperangan fi Sabilillah, tetapi Rasulullah menghargai mereka dan turut menerima rampasan perang berkenaan.
Cita-cita Talhah untuk menyertai peperangan terkabul, apabila berlaku peperangan Uhud. Beliau tidak saja menyertai peperangan, tetapi berpeluang menggunakan harta kekayaannya mimbiayai peperangan tersebut. Dalam peperangan sebagaimana dimaklumi, ada pihak yang tidak mematuhi perintah Rasulullah s.a.w., terutama pasukan pemanah supaya tidak meninggalkan bukit Uhud, tetapi arahan ini tidak dipatuhi.  Pasukan berkenaan turun kerana mau membolot sama harta rampasan. Tindakan balas pasukan kufar Quraisy mengkucar-kacirkan tentera Islam dan Rasulullah sendiri menjadi fokus penyerangan. Talhah adalah antara yang melindungi Rasulullah dalam peperangan tersebut. Walaupun  tujuh puluh tentera Islam syahid, Talhah terselamat.
Tatkala berlaku fitnah besar pada zaman pemerintahan Khalifah `Uthman bin `Affan dan bangkit pihak yang tidak merasa  puashati dengan  pemerintahannya yang bagi mereka menmganggap `Uthman lemah, Talhah nampaknya berpihak kepada yang menentang `Uthman  bagi tujuan memperbaiki dan membetul kembali pemerintahan `Uthman. Namun sebagaimana termaklum `Uthman syahid.
Selepas  wafat `Uthman, `Ali dilantik menjadi Khalifah al-Rashidin keempat. Zaman pemerintahan `Ali tidak tenteram, kerana bangkit pihak yang mau menuntut bela terhadap kematian `Uthman.  A`ishah sendiri terpengaruh dan memihak kepada pihak yang menentang `Ali dan dengan pasukan yang antaranya terdiri dari Talhah dan al-Zubair terlibat sama dalam peperangan Jamal. `Ali amat sedih dengan peristiwa ini yang memecahbelahkan umat Islam. Beliau memanggil Talhah dan Zaubair berdepan dengannya dan mengingatkan apa yang pernah disebut oleh Rasulullah tentang mereka. Talhah dan Zubair akur dengan apa yang diminta oleh `Ali  dan menarik diri dari menyertai peperangan. Tetapi pada masa itu ada musuh-musuh yang mengintai mereka. Talhah dan Zubair, walaupun sudah menarik diri dari meneruskan peperangan, tetapi mereka  terbunuh secara curi oleh musuh-musuh mereka. Manakala A`ishah yang kesal kerana silap langkan terlibat di dalam peperangan tidak diapa-apakan oleh `Ali, bahkan dimuliakan sebagai Ummul-Mu`minin dan dihantar pulang ke Madinah dengan pasukan pengiring bagi menjamin keselematannya. Sekembali ke Madinah A`ishah menyepi diri seolah-olah menyesal dengan silap langkahnya melibatkan diri di dalam peperangan.
Keterlibatan, khususnya watak yang kita bicarakan, iaitu Talhah dengan ijtihad dan jangkaan dia dan yang lain seperti al-Zubair, khususnya A`ishah sebagai pihak yang benar, tetapi kesedaran berlaku pada peringkat akhir, tetapi mereka terjebak di dalam kemelut pihak yang berdendam dan mereka menjadi mangsa tragis peperangan. Ayat Al-Qur`an menyebut tentang peristiwa seumpama ini bermaksud:
``Dari kalangan mukminin ada yang bersikap benar dengan apa yang dijanji Allah kepada mereka, Dari kalangan mereka ada yang meninggal shahid dan dari kalanagan mereka yang menunggu dan mereka pula tidak mengubah sebagaimana dijanjikan. (Al-Ahzab: 23).
Dan firman Allah bermaksud:
``Dan kami cabutkan apa yang ada di dalam dada mereka itu – perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.`` (Al-Hijr: 47). 
`Ali sendiri tidak mendendami Talhah dan Zubayr dan lebih rasa kasihan dan memohon dari Allah rahmat terhadap mereka sebagaimana dikatakan `Ali pernah berkata:
``Aku mendengar dengan dua telingaku ini Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Talhah dan Zubayr berjiran di dalam syurga.``
Dapatlah diambil kesimpulan dari segi ketasawufan}Talhah adalah antara generasi awal memeluk Islam.
Beliau berjihad dengan harta dan jiwa raga dalam peperangan (Uhud) bagi menegakkan Islam.
Beliau berijtihad membela yang benar, walaupun mungkin tersilap dan menarik diri dari melibatkan diri dalam penentangan terhadap `Ali, tetapi tidak terlepas diri dar pihak memusuhi mereka, sehingga mereka menjadi mangsa pembunuhan.
Talhah tidak lokek dengar hartanya. Dia menjadi penderma utama. Dalam pada itu dia tidak bermegah dengan hartanya, bahkan dia bersifat seperti mereka yang susah sebagaimana kata Al-Sarraj yang Talhah turut sama berdikari menampal bajunya yang koyak.
Berharta tidak menghalang diri dari bertasawuf yang membersih diri dan harta yang dimiliki.

Sekian.

No comments:

Post a Comment