BBB,
20 Muharram 1438H = 21 Oktober 2016 (Juma`at):
Satu peluang berada pada generasi awal dari
kurun awal perutusan Rasulullah s.a.w. ialah
(bagi yang mendapat hidayah) berjihad bersama Rasulullah s.a.w. Konsep
jihad adalah luas. Jihad dalaman seperti menjauhi diri daripada sifat-sifat
keji dan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji. Jihad bagi melengkapkan
diri dengan ilmu pengetahuan, jihad diri bagi mengatasi kemiskinan dan
menyediakan keselisaan bagi keluarga. Manakala jihad luaran ialah seperti
mempertahankan negara dari ancaman musuh, jihad bagi mengatasi kemiskinan
masyarakat dan jihad bagi meningkatkan prestasi kemajuan negara. Pada zaman
permulaan Islam yang amat mendepani tekanan dan serangan musuh, jihad paling
utama pada masa itu ialah jihad menentang musuh bagi menegakkan Islam.
Semua mereka yang berada pada generasi
Rasulullah s.a.w. adalah terlibat bagi menegakkan Islam. Hampir semua sahabat
semasa Rasulullah s.a.w. adalah terlibat dengan jihad yang bersifat peperangan
dengan musuh yang mau menjatuhkan Islam. Antara contoh kesufian yang dipilih
oleh Al-Sarraj adalah Al-Barra` bin Malik. Tokoh ini kurang dikenali dan kurang
disebut sebagai kalangan sahabat, tetapi kalau disebutkan Anas bin Malik r.a.,
orang mengenalinya sebagai perawi yang banyak meriwayatkan Hadith daripada
Rasulullah s.a.w. Al-Barra` sebenarnya ialah saudara bagi Anas bin Malik r.a.
dari seorang ibu yang dikenali sebagai Ummu Salam. Si ibu berkenaan yang
mempunyai dua anak dua beradik lelaki, sebagai kalangan sahabat dari generasi
muda memang berhasrat agar kedua-duan anak beliau menjadi generasi yang membela
Islam . Sebab itu anaknya yang bernama Anas diserah kepada Rasulullah s.a.w
untuk menjadi pembantunya sejak dari umur 10 tahun. Ummu Salam memohon Rasulullah mendoakannya agar
menjadi anak yang baik, salih dan diberakati. Dari hubungan Anas dengan
Rasulullah s.a.w. beliau menjadi seorang yang alim dan banyak meriwayatkan
Hadith-Hadith Rasulullah dan beliau berumur panjang sehingga 99 tahun dan mempunyai zuriat yang ramai.
Anak Ummu Salam yang kedua yang menjadi
fokus pembicaraan ialah Al-Barra` bin Malik. Beliau mendalam dari segi keilmuan
ketuhanan dan minda dan jiwanya tidak luput dari mengingati Allah, sebagaimana
firman Allah bermaksud;
``Orang-orang yang menyebut dan mengingati
Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan (semasa) mereka mengiring, dan mereka pula berbaring
memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), Wahai Tuhan kami
! tidaklah Engkau menjadikan tanda-tanda ini dengan sia-sia. Mahasuici Engkau,
maka peliharakanlah kami dari azab neraka.
(Ali `Imtan: 191)``
Berlainan dengan Anas bin Malik Al-Barra`
bin Malik adalah seorang bersemangat berkubar-kubar dan tidak gentar bagi
melibatkan diri dengan peperangan yang tujuannya ialah mencari shahid di jalan
Allah dan mendapat balasan syurga dari Allah.
Firman Allah bermaksud:
``Mereka yang beriman, berhijrah dan
berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, nereka itu
mendapat kedudukan yang besar di sisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang
berjaya.`` (Al-Taubah: 20).
Lantaran itu dengan semangat yang tinggi,
Al-Barra` tidak pernah melepaskan peluang menyertai mana-mana peperangan yang
disertai Rasulullah s.a.w. dan juga peperangan yang tidak disertai Rasulullah.
Beliau bercita-cita tidak mati di tempat
tidur, tetapi berhasrat untuk meninggal di medan pertempuran.
Pada zaman Khalifah `Umar bin Al-Khattab
banyak berlaku peperangan dan pembukaan negeri, Al-Barra` juga mengambil
peluang berjihad. Al-Barra` menyertai peperangan Yamamah di bawah kepimpinan
Panglima Khalid bi al-Walid. Ternyata
Al-Barra` luar biasa beraninya dengan suaranya yang lantang dan tinggi
menggerunkan musuh. Beliau mengalami
luka yang parah, tetapi akhirnya
beliau sembuh dari kesan-kesan perang.
Namun beliau tidak berhasrat mundur dari
seruan jihad, bahkan Al-Barra` menyertai beberapa peperangan berdepan dengan tentera-tentera Rum dan Parsi dipersempadan syria dan Parsi.
Khalifah `Umar ibn al-Khattab menulis surat kepada panglima Sa`ad bin Abi
Waqqas di Kufah meminta dikirim tentera ke Ahwaz, juga meminta Abu Musa
al-Ash`ari di Basrah juga menghantar
tentera ke Ahwaz. Kedua-dua pasukan
tentera tambahan bergabung di Ahwaz bagi
menentang tentera Parsi. Di dalam kumpulan ini turut serta dalam peperangan
ialah Al-Barra` dan saudaranya Anas.
Walau bagaimana di dalam peperangan menentang Parsi Al-Barra` yang menentang
dengan kepahlawanan yang tinggi syahid di dalam peperangan dengan wajah
tersenyum lantaran hasratnya tercapai – syahid.
Jihad adalah perkara yang amat ditekankan
di dalam Islam yang melibatkan banyak perkara. Jihad adalah daya gerak dan
kemahuan yang tinggi bagi sesuatu motif yang suci dan kudus dan dipandang mulia
dan tinggi. Dengan jihad dapat mencapai objektif yang mulia, sebaliknya tanpa
ada kemahuan jihad, maka akibat negatif akan dialami yang merugikan semua.
Bayangkan jika tidak ada tentera mempertahankan tanah air, maka negara akan
dikuasai oleh pihak asing dan semua pihak mengalami kerugian dan kehinaan.
Bayangkan jua tanpa jihad pasukan keselamatan, maka semua pihak hilang
keselamatan dan kedamaian yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau
sebarang nilai material. Bayangkan juga jika individu tidak berjihad
mempertahankan maruah diri atau menjauhi dari perkara-perkara keji, maka dia
terjatuh di dalam kehinaan. Pokoknya dengan jihad para mujahidin pada zaman
Rasulullah Islam dapat dipertahan dan dikembangkan hingga kita termasuk antara
yang menerima hidayah dan kebaikan Islam. Jihad mereka yang mempertahankan
kemerdekaan dan keselamatan negara kita dapat menikmati hidup dalam aman dan
selesa.
Satu fakta yang dapat diambil kesimpulan
lagi, bahawa tasawuf tidak terhad kepada aspek dalaman diri peribadi
semata-mata seperti zuhud, wara`, taqwa dan sebagainya, tetapi juga melibatkan masyarakat dan negara.
Al-Sarraj banyak mengambil contoh bahawa selain dari menekankan aspek tasawuf
yang bersifat peribadi, bahawa Jihad adalah juga sebagai elemen tasawuf, iaitu
yang bersifat pertahanan negara,
keselamatan penduduk, kecukupan dari segi keperluan ekonomi dan
berbagai-bagai kemudahan yang bersifat kemasyarakatan adalah merupakan jihad
dan mereka yang terlibat di dalam
menjayakan keperluan-keperluan
berkenaan dan dilakukan secara bersih, insaf dan kerana Allah, mereka juga
sebenarnya mengamalkan nilai-nilai tasawuf kemasyarakatan !
Sekian.
No comments:
Post a Comment