BBB, 07
Muharram 1438H. = 08 Oktober 2016
(Sabtu):
Al-Qur`an dan Al-Hadith adalah sumber bagi Islam, jadi selepas menegaskan bahawa tasawuf adalah mengambil
sumber utamanya daripada Al-Qur`an, maka begitulah Al-Hadith menjadi sumber
bagi tasawuf selepas Al-Qur`an. Bagi topik Rasulullah s.a.w. sebagai contoh
ikutan ini dibawa ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith Rasulullah s.a.w. bagi
mengukuh pandangan.
Berkata Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi
berfirman Allah Ta`ala kepada NabiNya Muhammad s.a.w. bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), ``Wahai
sekalian manusia ! Sesungguhnya aku
adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya.`` (Al-A`raf: 158).
Bermaksud, kata Al-Sarraj, bahawa Baginda
diutuskan kepada makhluk ke seluruhnya.
Sebagai perutusan kepada makhluk semuanya
ditegaskan dengan ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi
pertunjuk (dengan Al-Qur`an itu) ke jalan yang lurus. Iaitu jalan Allah yang
memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.``
(Al-Shura: 52-53).
Kemudian disifatkan Allah Ta`ala tentang
Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud:
``Dialah yang telah mengutuskan dalam
kalangan orang-orang (`Arab) al-ummiyyin
seorang Rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membicarakan
kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya)
dan membersihkan mereka (daripada i`tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka
kitab Allah (Al-Qur`an) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai
hukum-hukum shari`ah). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi
Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.`` (Al-Juma`at: 2).
Al-Sarraj mengulas, maksud mengajarkannya
al-Kitab (Al-Qur`an) dan al-hikmah,
ialah sunnahnya, adab-adabnya, akhlaknya, perbuatannya, ahwalnya dan
hakikat-hakikatnya.
Selanjutnya Al-Sarraj menghuraikan, maka Rasulullah s.a.w.
menyampaikan apa yang diturunkan oleh Allah kepadanya, sebagaimana firman Allah
bermaksud:
``Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang
diturunkan kepada engkau daripada Tuhan engkau.`` (Al-Ma`idah: 67).
Dengan perintah Allah Ta`ala bermaksud:
``Katakanlah (kepada mereka), ``Ta`atlah
kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah, kemudian jika kamu
berpaling ingkar, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasulullah hanya
bertanggungjawab apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab
akan apa yang ditugaskan kepada kamu dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu
beroleh pertunjuk hidayah dan (sebenarnya) Rasul Allah hanya bertanggungjawab menyampaikan
perintah-perintah Allah dengan penjelasan-penjelasan yang terang nyata.`` (Al-Nur:
54).
Seterusnya diperintahkan, bahawa maksud
ayat Al-Qur`an:
``Apa yang didatangkan kepada kamu oleh
Rasul, maka hendaklah kamu ambilnya dan apa yang ditegahkan kamu daripadanya
maka hendaklah kamu jauhinya.`` (Al-Hashr: 7).
Dan ditegaskan di dalam Al-Qur`an
bermaksud:
``Sesungguhnya bagi kamu pada diri
Rasulullah itu sebagai contoh ikutan yang baik, bagi orang yang sentiasa
mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula
menyebut dan mengiingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)``
(Al-Ahzab: 21).
Kepatuhan perintah Allah dan Rasul boleh
meningkat ke tahap cinta yang merupakan salah satu jalan ketasawufan. Firman
Allah bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad) jika
sekiranya kamu cintakan Allah ikutlah daku nescaya kamu dikasihi Allah. Serta
mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah) Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani
(Ali `Imran: 31).
Mengikut perintah Allah dan menurut apa
yang dibawa Rasulullah adalah keperluan dan kewajipan bersama, bahkan kata
Al-Sarraj,
``Siapa yang mewafakat dengan Al-Qur`an dan
tidak mengikut Rasul s.a.w. maka dia menyalahi suruhan Al-Qur`an yang menyuruh
mengikutinya – dengan uswah hasanah Baginda daripada akhlaknya, perbuatannya,
ahwalnya, suruhan dan larangannya dan apa yang digalak, digerunkan adalah
sebagai ikutan dan sempadan (larangan).
Al-Sarraj menambah, adapun apa yang
diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. tentang hudud, hukum-hukum,
ibadat-ibadat daripada perkara-perkara fardhu, sunat, suruh, larang, galakan,
rukhsah, perluasan semuanya menjadi usul agama dan ditadwin oleh ulama`-`ulama
`, fuqaha` dan keilmuan-kleilmuan lain. Mereka adalah amanah dengan istinbat,
tafsiran dan huraian dengan memelihara hukum-hukum seperti halal dan haram, hak
dan batil. `Ulama` adalah sebagai hujah-hujah Allah yang menegakkan hukum-hukumNya,
penyebar agama dan mengawal dari
dirosakkan sama ada dari dalam atau dari luar.
AL-Sarraj pada bahagian awal ini
membicarakan secara luas dan terbuka Hadith sebagai sumber kedua Islam di dalam berbagai bidang seperti, akidah,
perundangan, ibadat, akhlak dan kemasyarakatan. Beliau belum menyentuh kepada
aspek yang lebih khusus, iaitu tasawuf. Al-Sarraj juga mau membuktikan bahawa
apa yang didekati, khususnya di dalam bidang tasawuf adalah sebagai
keilmuan-keilmuan yang lain juga adalah bersumberkan Al-Qur`an dan Al-Hadith, Cuma
bagi setiap ilmu mempunyai pendekatan-pendekatan yang tersendiri yang
membedakannya dari keilmuan-keilmuan yang lain yang menciri dan mengidentitikan
keilmuan-keilmuan berkenaan. Dengan demikian memperluaskan keilmuan di dalam
Islam dan mempelbagai pendekatan dan pilihan bagi yang mengikutinya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment