October 26, 2016

HUDZAIFAH AL-YAMANI MEMIMPIN PERANG BERSIRI


BBB:  24 Muharram 1438H. =  25 Oktober 2016M. (Selasa):
Tokoh sufi seharusnya tidak saja berjuang dan berjihad di dalam bidang rohani dan mengasingkan diri, tetapi dia seidealnya dan seharusnya juga berjuang dan berjihad di dalam  medan perang bagi mempertahan dan memperluaskan Islam, negara dan umat. Hudzaifah AL-Yamani tokoh ideal yang dipilih oleh Abu Nasr al-Sarraj sebagai tokoh sufi yang gemerlap dalaman dan hebat luaran.
Hudzaifah al-Yamani menempa sejarah keislaman apabila mereka tiga beranah – Dia bersama ayahnya al-Yamani dan  saudaranya Safwan secara tiga beranak mengadap Rasulullah dan  menerima Islam. Mereka tiga beranak bersungguh-sungguh mendalami Islam dan komited dengan perjuangan Islam. Dalam peperangan Uhud Al-Yamani (mungkin berasal dari Yaman) turut sama menyertai peperangan berkenaan dan Al-Yamani gugur shahid dalam peperangan tersebut. Misi pengislaman tiga berana diteruskan oleh kedua-dua beradik berkenaan.
Hudzaifah dididik Rasulullah sebagai anak yang cerdas dan jujur. Dia mempunyai keistimewaan dengan kecerdasan dan terang hati dapat membuat jangkaan dan anggaran secara tepat, antaranya digunakan di dalam menilai musuh dan membuat jangkaan dan perhitungan  dan menghasilkan natijah yang baik hasil dari perkiraan dan perhitungan lahiri dan batini.  Demikianlah pada tahun ke 5H. pihak kafir Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufyan membuat keputusan menyerang Madinah sebagai membalas dendam terhadap kekalahan mereka terutama pada peperangan Badar.
Sebagaimana telah diperkatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah bermesyuarat bagaimana menghadapi musuh dengan kekuatan tenteranya sebanyak 24,000 orang. Sebagaimana telah diperkatakan juga Salman al-Farisi telah mencadangkan supaya digali parit keliling Madinah sebagai menyekat kemasukan tentera Qursisy ke Bandar Madinah. Di dalam peperangan yang dikenali juga dengan peperangan Al-Ahzab itu, Rasulullah yang membuat penilaian bagi menggunakan tektik dan tipu helah peperangan memilih Hudzaifah al-Yamani bagi menjadi pengintip dan menimbulkan keraguan dan memecahbelahkan musuh. Hudzaifah al-Yamani menyusup masuh ke kawasan perkhimahan musuh pada waktu malam tanpa dikenali oleh pihak musuh. Dia menyebarkan maklumat tentang pembelokan pihak Yahudi Quraiz*ah yang berjanji untuk menyerang tentera Islam dari dalam,  tetapi mereka tidak setia dan tidak tunaikan janji. Hudzaifah juga menimbulkan keraguan di kalangan tentera Quraisy. Hudzaifah yang tidak disangka oleh tentera Quraisy dari pihak Islam sebenarnya berdepan dengan Abu Sufyan dan mempunyai kesempatan untuk memanahnya, tapi tidak dilakukan, kerana jika dilakukan disedari dia musuh dan tentu dibunuh mereka. Dalam masa Hudzaifah menimbulkan keraguan ini Allah Ta`ala menghantar angin ribut kencang yang mencabut khemah-khemah  mereka dan mereka menjangka sebagaimana digembar gemburkan oleh  Hudzaifah tentera Islam menyerang mereka. Mereka tidak mempunyai kesempatan menyerang balas, dan bantuan dari Banu Quradzah tidak tiba. Jadi serangan pihak Quraisy menemui kegagalan. Abu Sufyan dan tenteranya pulang ke Makkah dengan kekeciwaan.
Selain daripada itu, kepimpinan  Hudzaifah al-Yamani makin menyerlah. Ia pandai mengatur strategi dan menggunakan tektik peperangan yang mengelirukan musuh, lantaran peperangan antaranya bersifat helah dan tipu daya. Hudzaifah dipilih oleh Khalifah `Umar al-Khattab memimpin pasukan tentera  bagi pembebasan Iraq, di bawah pimpinannya beliau berjaya membuka Bandar Hamdan, Ray dan Dainawar yang semuanya dibawah ketua Hudzaifah itu dapat mencapai kemenangan.
Pada perrtempuran yang lebih besar berdepan dengan tentera Parsi bertempat di Nahawand. Amirul Mu`minin Sayyiduna `Umar al-Khattan  telah memilih Panglima Nu`man bin Muqarin berdepan dengan tentera Parsi berjumlah 150 ribu orang. Ketumbukan tentera Islam bergerak secara tiga penjuru. Bagi mengukuhkan pasukan tentrera Islam Hudzaifah dan tentera-tenteranya  dari Kufah menuju ke Nahawand, satu lagi pasukan dipimpin oleh Jarir bin `Abdillah – terdapat 7 pelapis kepimpinan yang bersedia menggantika sebarang kepimpinan yang gugur dalam peperangan. Pasukan tentera Islam hanya berjumlah 30 ribu tentera sahaja. Di dalam pertempuran itu Panglima Nu`man bin Muqarin gugur dan tempatnya diambil alih oleh Panglima Hudzaifah al-Yamani dan dapat mengalahkan tentera Parsi.
Kekalahan tentera Parsi di tangan tentera Islam, sejak awal lagi menimbulkan perasaan anti `Arab di kalangan orang Parsi yang mnenganggap budaya mereka lebih unggul dari budaya `Arab. Ini merupakan salah satu yang menyuburkan faham shi`ah kelak apabila berlaku pertikaian `Ali-Mu`wiyah yang pihak Shi`ah menyokong pihak Ali dan turunannya (Hasan antaranya kahwin dengan perempuan dari Parsi). Ini meningkatkan lagi tentangan terhadap tentera `Arab yang mengalahkan Parsi. Panglima tentera Islam pada masa itu, iaitu `Amru  Ibn al`As menyedari aspek ini dan membuat keputusan untuk mewujudkan pusat pentadbiran  berpindah dari Mada`in iIbu Negara Parsi ke sebuah kawasan yang lebih sesuai dan selamat. Tugas ini antaranya  diamanahkan kepada Hudzaifah al-Yamani mencari pusat pemerintahan yang baru. Hudzaifah telah memilih Kota Kufah. Turut sama membina kota ini ialah Salman bin Ziyad. Kota Kufah dibangun bukan setakat menjadi pusat tentera, tetapi sebagai bandar yang lengkap dengan ciri-ciri seni bina yang menarik. Kota ini juga bangkit sebagai pusat keilmuan di samping Kota Basrah, manakala Baghdad adalah sebagai ibu negara.
Hudzaifah al-Yamani sebagai pemimpin pasukan tentera di bawah pemerintah tentera Islam utama, iaitu `Amru  bin al-`As berperanan penting di dalam meluaskan misi Islam ke kawasan Iraq hingga ke Parsi pada zaman pemerintahan  Khalifah `Umar bin al-Khattab. Dalam misi suci inilah Hudzaifah meninggal dunia pada tahun 36H. sebagai seorang yang berjasa terhadap agama dan umat Islam.
Sekali lagi ditarik perhatian, bahawa Al-Sarraj memilih personal-personal yang menjadi model kesufian seperti `Abdullah bin `Abbas, Abdullah bin `Umar, Abu Dharr, Abu al-Darda`, Abu `Ubaidallah bin al-Jarrah, membuktikan bahawa konsep dan jiwa tasawuf bukan bererti pengasingan diri dari masyarakat, bahkan tokoh-tokoh berkenaan yang mempunyai kemurniaan jiwa, bertaqwa,amanah dan zuhud adalah mereka yang gemerlap jiwa mereka dengan keimanan dan mempunyai ciri-ciri ketasawufan adalah mereka yang aktif di tengah masyarakat cerdas fikiran dan tangkan pergerakan, mampu memimpin pasukan tentera di medan perang. Dalam kata lain jiwa tasawuf bukan saja berada pada diri yang dianggap wara`, zuhud dan mengasingkan diri, tetapi dapat berada di dalam mana-mana jiwa  masyarakat yang bergerak di dalam kehidupan dengan jiwa yang suci, patuh kepada suruhan Ilahi dan dalam masa yang sama berada  di tengah masyarakat dan memimpin mereka  dengan jiwa murni dan menjadi   umat yang bermaruah dan mempunyai kekuatan kepimpinan yang menjamin kehotrmatan  umat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment