October 3, 2016

KONSEP TAMA`NINAH DI DALAM HAL


BBB,  01 Muharram 1438 = 02   Oktober 2016 (Ahad):
Antara aspek di bawah hal yang disusun oleh Al-Sarraj  ialah `Tama`ninah`.
Apakah makna atau maksud tama`ninah ?
Ia antaranya bermaksud tenang, tenteram, tepat, perfect, aman, damai, teratur dan lengkap.
Ini dapat difahami dari firman Allah bermaksud:
``Wahai jiwa yang tenang tenteram (tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya) (Al-Fajr: 27).
Juga firman Allah bermaksud:
``Orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka  dengan dzikir Allah. Ketahuilah dengan dzikir Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.`` (Al-Ra`d: 28).
(Konsep iman, ialah keyakinan dengan apa yang dipegangi dan keyakinan memberi ketenangan baginya).
Dan kisah Nabi Ibrahim yang memohon Allah menunjukkan bagaimana Allah menghidupkan yang mati dan Allah bertanya, Adakah engkau belum percaya ? maka menjawab Ibrahim,
``Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah), supaya tenteram hatiku.`` (Al-Baqarah: 260).
Tama`ninah dengan kesemua makna yang diberi di atas dapat diberi  rumusan dari segi fizikal dan penyaksian lahir,  segalanya berlaku dengan teratur dan tepat tanpa menimbulkan pertentangan dan kekecohan. Ambil contoh yang paling besar, kita katakan umpama, `Alam tenang tenteram`. Boleh bererti suasana hari atau malam yang berlalu dengan baik, tanpa ribut taufan, udaranya berhembus segar, jika malam bercahaya bulan dan bersinar bintang. Demikian dikaitkan dengan pelayaran dilaut yang  aman, tenang tenteram, bererti tidak ada ribut taufan dan pelayaran berlaku dengan licin dan aman. Begitu juga dikatakan kepada sebuah desa yang aman damai, bererti desa yang tidak sebok dengan kenderaan, tidak berlaku polusi dan tiada jenayah, menyebabkan masyarakatnya hidup dalam aman damai.
Dapat dikatakan sifat tenang, tenteram, tepat, perfect, aman, damai, teratur dan lengkap atau istilah-istilah yang lain yang mempunyai persamaan dengannya ialah suasana yang diidam manusia. Ia adalah lebih merujuk kepada dalaman yang menjadi sumber ketenangan, ketenteraman, aman damai dan sebagainya. Bahkan ianya menjadi aset yang tak ternilai harganya. Manusia sedari awal secara tabi`, naluri, akli dan rohani mencari ketenangan.
Pada peringkat maknawi manusia belajar mencari ilmu dan maklumat yang sebenarnya bagi mengatasi kejahilan yang jahil memerangkap manusia dalam kegelapan dan kejahilan  menghalang mereka dari meneroka ilmu dan maklumat yang pada hakikatnya memberi ketenangan, ketenteraman dan keyakinan. Pada dasarnya manusia makin meneroka keilmuan dan menggali rahsia-rahsia keilmuan berkenaan dan pada dasarnya dengan banyak menguasai ilmu manusia makin maju dan mereka relatifnya makin berbahagia.
`Istlah bahagia` mempunyai kaitan dengan tenang, tenteram, tepat, perfect,, aman, damai, teratur  dan lengkap dan yang semakna dengan semuanya. Sebagaimana diperkatakan di atas, maksud  bagi semua istilah di atas dapat dicapai – secara terhad dari kesempurnaan yang bersifat benda  dan kesemua maksud di atas dapat dicapai pada perlapisan yang lebih tinggi  dengan pencapaian akal melalui ilmu dan maklumat.
Namun di sana ada peringkat ketenangan dan kedamaian yang lebih tinggi, iaitu yang dibicarakan dari segi tasawuf, iaitu ketenangan, kedamaian, ketenteraman dari segi rohani sebagaimana dapat difahami dari ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Mereka yang beriman, dan tenang hati nurani mereka dengan mengingati (dzikir Allah). Ingatlah dengan mendhikiri Allah mententeramkan hati nurani`. (Al-Ra`d: 28).
Pergolakan manusia dengan alam benda bagi mengatasi kesusahan dan mencari ketenangan adalah pada lapis  bawah, walaupun masalah dapat di atasi, maka batasnya setakat itu dan tidak memberi makna yang lebih tinggi.
Manusia  berfikir. Meneroka ilmu dan mencapai kebahagiaan dengan penguasaan berbagai kemudahan adalah pada lapis yang lebih tinggi, tetapi apalah erti jika pergulatan hanya bagi mengatasi keperluan lahiri dan selapis setakat untuk hidup yang sementara ?
Ketenangan, ketenteraman dan kedamaian yang sebenar ialah ketengangan dari segi hati-rohani yang dapat dipenuhi dengan keimanan yang  yakin, ta`abbudiyyah yang tepat  dan balasan di akhirat yang melengkapkan maksud kedamaian, ketenteraman dan ketenangan.
Di dalam hal ini kata Al-Kharraz, ``Tama`ninah adalah hal bertahap tinggi. Dia adalah bagi hamba yang sempurna akal, kuat imannya, mendalam ilmunya, bersih dzikirnya dan kukuh hakikatnya.``
Al-Sarraj menyebut bahawa `Tama`ninah` ada tiga jenis:
Pertama: Tama`ninah `ammah (biasa), iaitu yang tama`ninah ketika-ketika mengingatinya dan memberi perhatain dan tindakan seperti meningkatkan ibadat dengan dzikir yang menyentuh ketenangan jiwa.
Kedua: tama`ninah khusus, mereka dari kategori ini tenang dan redha dengan qadha` Allah dan sabar di atas bala bencana yang diktempuhi. Mereka ikhlas, tenang bertaqwa. Sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
`` Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa dan mereka yang melakukan kebaikan.`` (Al-Nahl: 128).
Ketiga:  Tama`ninah khusus al-khusus. Iaitu mereka yang sampai pada puncak ketenangan yang sama baginya ujian kenikmatan dan kebahagian dengan ujian bala dan kesukaran, kerana diketahui hakikat semuanya dari Allah.
Tama`ninah adalah perkara yang berhubung dengan aspek dalaman – rohani dan jiwa. Kemantapan rohani dan jiwa  bererti jiwa dan rohani berada  dalam ketenangan. Sesungguhnya walaupun tama`ninah adalah sifat dalaman, tetapi bukti dan pertanda terpancar dari jiwa, wajah dan pembawaan pengamal rohani dengan sifat tenang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment