BBB,
10 Muharram 1438H. = 11
Oktober 2016 (Selasa):
Sebagaimana Sayyiduna Abu Bakar, demikian
dengan `Umar, `Uthman dan `Ali r.
`anhum juga dikaitakan dengan elemen-elemen ketasawufan.
Tentang Sayyiduna `Umar al-Khattab, Al-Sarraj memetik sabda Rasulullah s.a.w.
bermaksud:
``Adalah di kalangan umat ada jurucakap dan
yang menerangkan, maka bagi ini ummah
ialah `Umar.``
Peristiwa terkenal yang berkait dengan
sifat kashaf, `Umar, bahawa sedang beliau berkhutbah (di Madinah), beliau
bertempik memberi arahan kepada pasukan tentera Islam yang sedang berperang di Nahawan. Beliau mengarahkan
pergerakan tentera berkenaan. Adalah dimaklumkan bahawa suara `umar didengar
tentera dan arahan diikut dan tentera mencapai kemenangan.
`Umar juga terkenal dengan sifat zuhudnya
berpakaian bertampal, walaupun dia sebagai seorang khalifah. Diriwayatkan
daripada `Uthman al-Nahdi bahawasanya dia berkata, ``Aku melihat `Umar yang sedang berdiri
menyampaikan khutbah, aku melihat bajunya bertampal 12 tampalan.
Diriwayatkan dari `Umar r.a. berkata,
``Allah memeberi rahmat terhadap seseorang yang menunjukkan keaibanku.``
Menurut Al-Sarraj, `Umar al-Khattab pernah
berkata, ``Tidaklah aku ditimpa bala melainkan aku dapati sekurang-kurang empat
pengajaran. Membaiki pegangan agamnaku, menginsafkan tiada kebesaran bagi
diriku, mengajar kepadaku erti redha dan
mengharapkan pahala dari peristiwa.
`Umar tidak senang terhadap mereka yang
bermalas-malas di masjid. Dia menggesa mereka berusaha mencari rezeki,
Diriwayatkan daripada `Umar r.a. berkata,
``Aku dapati ibadah dalam empat perkara:
Pertama:
menunaikan segala yang difardhu Allah
Kedua: Menjauhi segala larangan Allah
Ta`ala
Ketiga: Menyuruh melakukan kebajikan bagi
mendapat pahala dari Allah.
Keempat: Menegah dari perkara munkar untuk berlindung
dari kemarahan Allah.
Adapun `Uthman bin `Affan adalah seorang
yang berada, maka dia mendapat kebajikan dari hartanya. Lantaran itu dia mengutamakan
mengeluarkan bantuan dari menyimpan, dia mengeluarkan peruntukan bagi
peperangan. Dia membeli telaga mata air (dari Yahudi) untuk digunakan mereka
yang memerlukan. Dengan tindakannya membeli mata air itu Rasulullah s.a.w.
memuji `Uthman dengan sabdanya bermaksud, ```Uthman tiada bermasalah, tiada
siapa melakukan seumpamanya.``
Usaha terkenal yang dilakukan oleh `Uthman
ialah mengeluarkan beberapa mushaf Al-Qur`an yang diedarkan bagi penggunaan dan
panduan di beberapa kawasan Islam. Beliau memiliki satu daripadanya. Dengan
mushaf ini beliau menumpukan masa membacanya, sehingga ke akhir peristiwa,
ketika rumahnya dikepung oleh
penderhaka-penderhaka, beliau terus
membaca Al-Qur`an sehingga kesan pembunuhan terhadapnya terpercik darahnya
pada Al-Qur`an dan kesannya terlihat pada ayat, ``Fa sayakfikahumu Allah wa
Huwa al-Sami` al-`Alim`` (Al-Baqarah: 137). Ayat bermaksud: (Janganlah engkau
khuatir, wahai Muhammad), kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari
kejahatan mereka. Dan Dialah jua Yang Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.
Adalah dicatat dari `Uthman berkata, ``Aku
dapati kebaikan dalam empat perkara:
Pertama: Bermesra (cinta) kepada Allah
Ta`ala dengan perkara-perkara nawafil (sunat).
Kedua: Sabar di atas hukum-hukum Allah
Ta`ala
Ketiga: Redha dengan takdir Allah `Azza wa
Jalla.
Keempat:
Bersungguh agar dalam perhatian Allah Ta`ala.
Adapun Sayyiduna `Ali k.w. khalifah
al-Rashidin yang keempat adalah seorang
yang disifatkan mempunyai ilmu ladunni.
Berkata Al-Sarraj, aku mendengar Ahmad
bin`Ali al-Wajihi berkata, aku mendengar Abu `Ali al-Ruzbari berkata, aku
mendengar Junayd r. h.a. berkata,
``Kalaulah tidak `Ali k.w. sebok dengan peperangan terhadap pihak-pihak yang
menentangnya, nescaya Baginda berpeluang
mencurahkan keilmuan yang ada padanya dan nescaya banyaklah keilmuan yang kita
dapat mendalami keilmuannya. Baginda ini adalah seorang yang diberi Allah
kepadanya ilmu ladunni. Ilmu ladunni ialah seperti ilmu yang dikurniakan kepada Nabi
Khidhir a.s. sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud ``
``Dan Kami telah mengajarnya dari sisi Kami ilmu ladunni.`` (Al-Kahfi:
65).
Keistimewaan Sayyiduna `Ali k.w. ialah
dengan pemikirannya yang tinggi bersifat hikmah dan bahasanya yang indah, makna
yang dalam, isyarat yang lataif,, lafaz yang mendalam dan ibarat yang bersifat tauhid, ma`rifat dan
iman Dengannya juga terdapat elemen-elemen kesufian.
Sayyiduna `Ali k.w. ditanya, ``Dengan
apakah engkau mengenal Tuhan engkau ?
Dia
menjawab, Dengan Dia mengenalkan daku diriNya. Yang tidak ditashbih
dengan gambaran, tidak dicapai dengan panca indera, tidak boleh dikiaskan dengan
manusia, hampir dengan kejauhanNya, Dia di atas segala sesuatu, dan tidak
dikata sesuatu di bawahNya, dan tidak dikatakan di bawah tiap-tiap sesuatu dan
tidak dikatakan sesuatu di atasnya, tidak di depan tiap-tiap sesuatu, dan tidak
dikatakan sesuatu didepanNya,tidak masuk
pada sesuatu, tidak seperti sesuatu dan tidak daripada sesuatu dan tidak pada
sesuatu . Mahasuci siapa dia seperti itu dan tidak seperti itu yang lainnya.``
Seorang lelaki bertanya `Ali tentang iman,
dia berkata.Iman di atas empat tonggak, iaitu, sabar, yakin, adil dan jihad dan
dia mensifatkan sabar di atas sepuluh maqam, begitulah juga yakin, adil dan
jihad yang tiap-tiap satu daripadanya sepuluh maqam. Kata Al-Sarraj, jika
demikian maka Sayyiduna `Ali k.w. orang yang mula-mula meletakkan pendekatan
berhubung dengan ahwal dan maqamat.
Adalah diriwayatkan, bahawa `Ali apabila
tiba waktu solat bergetar dan berubah warna wajahnya, Ditanya, Mengapa wahai
Amir al-Mu`minin ? Maka katanya, ``Tiba waktunya amanah Allah ke atas langit
dan bumi dan gunung ganang, maka enggan menerimanya dan ditawarkan kepada insan, maka diterima oleh
insan, Aku tidak mengetahui adakah aku melaksanakan tugas dengan baik atau
tidak.``
Demikian
sebahagian dari elemen-elemen tasawuf yang berkait dengan keempat-empat
khulafa` al-Rashidin.
Sekian.
No comments:
Post a Comment