BBB,
17 Muharram 1438H. = 18 Oktober 2016M. (Selasa):
Nama sebenar bagi Abu Dzarr al-Ghifari ialah
Jundub bin Janadah dari kabilah Ghifar sebuah perkampungan di padang pasir di
luar Makkah. Semenjak Rasulullah s.a.w. dibangkitkan dan Baginda masih menyeru
agama Islam secara senyap-senyap, tetapi berita kebangkitan ini telah sampai ke
telinga Abu Dzar. Berita tentang agama baru ini menggerak kuat hatinya untuk
mengetahuinya secara lebih dekat. Secara persendirian Abu Dzarr merentas padang
pasir ke Makkah dan berjaya menemui Rasulullah di persembunyian secara
persendirian. Beliau mendengar bacaan Al-Qur`an dan penerangan dari Rasulullah tentang
Islam dan lantas mengucap dua kalimah shahadah. Beliau adalah merupakan kumpulan
pertama enam orang yang terawal memeluk Islam. Abu Dzarr seorang keras
pendirian dan tidak takut menghadapi ancaman. Beliau bertekad tidak akan pulang
ke perkampungan Ghifari, tanpa mengumumkan tentang Islamnya. Dia pergi ke
Baitullah dan mengumumkan pengislamannya kepada orang ramai, menyebabkan beliau
dipukul. Berita sampai kepada `Abbas bin `Abdul Muttalib dan beliau pergi
mengingatkan kepada pembesar-pembesar Quraisy bermaksud,
``Tuan-tuan adalah pedagang-pedagang yang
berulang alik antaranya melintasi kampung Ghifari, tindakan tuan-tuan terhadap
Abu Dzar mengundang bala yang mungkin mereka
membuat sekatan terhadap jalan perdagangan.``
Abu Dzar bertanya Rasulullah apa yang
seharusnya dilakukan, beliau dinasihati Rasulullah agar pulang mendakwah kepada
penduduk kampungnya. Sekembalinya Abu Dzarr ke kampung, beliau telah berjaya
mengislamkan semua kaumnya baik kecil, besar, tua muda, lelaki dan perempuan, bahkan lebih
daripada itu beliau juga turut mengislamkam kabilah Aslam yang berjiran dengan
kampungnya.
Apabila Hijratul Rasul s.a.w. dan
sahabat-sahabat berhijrah ke Madinah, tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada
Rasulullah s.a.w. Abu Dzar memimpin kedua-dua kabilah – Ghifari dan Aslam sama
berhijrah dan menyokong Rasulullah. Pada ketika kesampaian kedua-dua kabilah di
pinggir Madinah dan kelihatan debu padang pasir menggelap pandangan, pada
jangkaan penduduk Madinah ada serangan musuh dari pihak Quraisy, tetapi
ternyata yang datang mengukuh sokongan ialah kabilah Ghifari dan Aslam yang
sungguh menggembirakan Rasulullah s.a.w. dan juga penduduk Madinah. Menyambut
mereka Rasulullah mengucapkan ungkapan yang menggembirakan mereka . Maksud
sabda Rasulullah s.a.w.
``Kabilah Ghiffar yang di ampunkan Allah
kepada mereka. Dan
Kabilah Aslam yang Allah menyelamatkan
mereka.``
Abu Dzarr bersama Rasulullah dan
sahabat-sahabat sama berdakwah dan berjihad menyibarkan Islam serta turut
mendalami keilmuan-keilmuan Islam yang disampaikan Rasulullah. Abu Dzarr
sendiri meriwayatkan Hadith-Hadith Rasulullah s.a.w. antara Hadith bermaksud:
Dari Abi Dzarr Jundub bin Junadah dan Abi `Abd al-Rahman
Mu`adz bin Jabal r. `anhuma daripada Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud:
``Takutlah kepada Allah di mana saja engkau
berada, ikutlah kejahatan dengan kebaikan boleh menghapuskannya dan bergaullah
dengan manusia dengan akhlak yang baik. Meriwayatkannya oleh Al-Tirmidzi. Dan
dikatakan Hadith Hasan dan pada setengah naskhah Hasan Sahih.
Pengajaran dari Hadith ini menjadi pegangan
Abu Dzar. Dia menegakkan kebenaran dan tidak takut kepada siapa melainkan
Allah, walaupun tindakannya menyebabkan beliau kehilangan kawan.
Menyebut tentang Abu Dzarr Al-Sarraj memetik
maklumat berhubung dengannya dengan mengatakan.
``Adapun mengenai Abu Dzarr r.a., maka sesungguhnya diriwayatkan
daripadanya, bahawasanya ia berkata, ``Perdirianku tentang kebenaran tentang
Haqq Allah Ta`ala, menyebabkan tidak ada
yang tinggal bersamaku seorang kawan. Sesungguhnya takutku pada hari hisab
tidak tinggal pada tubuhku sebarang daging. Dan keyakinanku pada pahala dari
Allah Ta`ala hingga tidak ada sesuatu di rumahku.
Kekerasan Abu Dzar di dalam menegakkan
kebenaran dapat dilihat dari sikapnya terhadap Mu`awiyah bin Abu Sufyan semasa
menjadi governor di Syria semasa pemerintahan Khalifah `Uthman bin `Affan dan Abu
Dzarr juga diutuskan ke sana dalam rangka mengukuhkan pemerintahan dan agama
Islam di sana. Abu Dzar tidak menyenangi sikap Mu`wiyah bin Abu Sufyan yang
hidup bermewah-mewah. Dia menentang secara terbuka dan berdebat dengannya,
menyebabkan Mu`awiyah tidak selesa. Apa lagi Abu Dzar menubuh sebagai satu NGO
yang terdiri dari suara rakyat jelata yang menyuarakan ketidaksenangan mereka
terhadap sikap Mu`awiyah yang melampau-lampau dari segi kemewahan. Mu`awiyah
merasa kedudukannya tergugat , kerana ia bukan saja ditentang oleh Abu Dzarr,
tetapi oleh rakyat jelata, menyebabkan Mu`awiyah menulis surat kepada `Uthman
yang menganggap tindakan Abu Dzarr merosakkan
kestabilan dan keamanan penduduk. Sayyiduna `Uthman menurut kehendak
Mu`awiyah dan memanggil Abu Dzarr pulang
ke Madinah bagi memudahkannya mengawalnya.
Oleh kerana pihak pemerintah tidak
mendengar kritikannya, maka apabila kemudiannya
beliau ditawarkan untuk menjadi Amir di Iraq, maka beliau menjangka
beliau akan menghadapi masalah yang sama sebagaimana di Syria, lantaran itu
tawaran yang dibuat kepadanya ditolak. Beliau tidak memandang pangkat dan elaun
bulanan yang bakal didapatinya, apa yang dipentingkan ialah kebenaran dan
perjalanan menurut batas keislaman.
Pada akhir hayatnya Abu Dzarr mengambil
keputusan untuk mengasingkan diri dari masyarakat. Dia dan isterinya memilih
tempat di Padang Pasir – tempat bernama Rabazah. Di sini dia bersama isterinya
menghabiskan sisa-sisa hidup dengan beribadah dan mendekati diri dengan Allah.
Selama lebih dua dekad dia berjuang bagi menegakkan Islam dan meninggal dalam
keadaan dagang. Tepat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. berhubung dengan
episod kehidupan Abu Dzarr yang bermaksud:
``Allah merahmati Aba Dzarr, dia berjalan
berseorangan (untuk menemui Rasulullah untuk menerima Islam), dia mati berseorangan dan akan dibangkitkan
secara berseorangan.``
Demikian episod hidup seorang yang
berprinsip. Dia meninggal terus berpegang dengan prinsip kebenaran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment