BBB,
04 Muharram 1438H. = 05 Oktober
2016 (Rabu):
Adalah diterima bahawa kehadiran Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi
(m. 378H.) dengan karangannya yang berjudul Al-Luma` adalah membawa pendekatan
penting bagi tasawuf Sunni. Beliau hadir selepas Abdullah al-Mubarak (m. 181H.) dengan
karangannya yang berjudul al-Zuhd wa al-Raqa`iq dan Imam Ahmad bin Hanbal (m.
241H.) dengan karangannya yang berjudul Al-Zuhd dan Al-Wara` yang menekankan
pendekatan ilmu kerohanian dengan zuhud dan wara`.
Penggunaan istilah tasawuf berlaku secara
popular adalah pada kurun ke 3H. Dan lahir
menurut pengantar bagi kitab Al-Luma` dua madrasah tasawuf Sunni, iaitu:
Pertama: Madrasah Al-Imam Abu al-Qasim
al-Junayd (m. 297H.) di Baghdad yang
menjadikan mimbar-mimbar masjid sebagai kaedah dakwah dan dari halaqah-halaqah
pengajarannya melahirkan ramai pengikut-pengikutnya. Dari madrasah ini kemudian
melahirkan karya-karya tasawuf sebagai cahaya panduan dan menggariskan kaedah
pendekatan.
Kedua:
Madrasah Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi (m. 378H.) bertempat di Nisabur,
iaitu madrasah yang menjadikan kitab penulisan, khususnya Al-Luma` dan
kitab-kitab pendukung-pendukungnya sebagai ma`had-ma`had yang mengeluarkan
pelajar-pelajar istimewa yang meletakkan turath tasawuf yang menjadi ikutan dan
perluasan penyebarannya. Dalam kata pengantar kitab Al-Luma`, ditegaskan Abu
Nasr al-Sarraj al-Tusi dia sesungguhnya sebesar-besar pengarang tasawuf dan
guru bagi ramai sufi. Al-Luma` tidak dapat dinafikan adalah Turath tasawuf yang
merupakan cahaya panduan dan ikutan (Muqaddimah Kitab al-Luma`: 7).
Dari segi pendekatannya, bahawa Al-Sarraj
adalah pengarang yang awal yang membicarakan tentang asal usul tasawuf, maksud
tasawuf dan takrif-takrif yang dipetik dari berbagai pendapat. Dengan
penerangannya memberi kefahaman terhadap istilah-istilah, pertumbuhan dan
perkembangan keilmuan tersebut yang didasarkan kepada tokoh-tokoh sufi yang
terkenal dan mu`tabar.
Bukan tidak ada yang menyangkal terhadap
keilmuan tasawuf dan menganggapnya sebagai keilmuan yang baru. Al-Sarraj
menjawab dan menghujahkan bahawa Ilmu Tasawuf adalah berdasarkan sumber
utama - Al-Qur`an dan Al-Hadith. Dia
seperti ilmu-ilmu keislaman yang lain
yang lahir selepas perkembangan Islam seperti ilmu akidah, fiqh dan sebagainya
. Jika fiqh atau ilmu shari`ah mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri dan
menekankan amalan-amalan zahir seperti taharah, solat, zakat, puasa, haji,
jihad dan sebagainya, maka keilmuan tasawuf lebih menekankan persoalan batin seperti penekanan pada pembersihan
hati, ikhlas, zuhud, wara` sabar, shukur dan yakin. Kedua-dua ilmu termasuk
akidah adalah lengkap melengkapi.
Satu sumbangan yang penting di dalam
pendekatan ilmu tasawuf yang dilakukan oleh Al-Sarraj ialah pendekatan yang
dinamakan maqamat dan ahwal yang dengan pendekatan ini memberi penerangan
tentang aspek-aspek yang dinamakan maqam dan hal yang baru dibicarakan.
Selepas membicarakan apa yang ditekankan di
atas, khususnya selepas persoalan maqam dan hal Al-Sarraj memberi tumpuan
kepada menjelaskan dengan lebih detail, bahawa sumber-sumber yang dijadikan
asas dan bagi perkembangan tasawuf tidak lain:
Kefahaman terhadap kitab Al-Qur`an dan apa
yang dibicarakan menurut Al-Sarraj adalah muwafakat dengan kitab Allah –
Al-Qur`an. Begitu juga dengan penghuraian dari segi pecahan-pecahan persoalan
seharusnya tidak bercanggah dengan Al-Qur`an.
Penekanan yang dibuat oleh Al-Sarraj,
bahawa sebagai sumber kedua bagi tasawuf, khususnya bagi pendekatan yang dibuat
oleh Al-Sarraj, ialah uswah dan mengikut perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. baik
dari segi kata, perbuatan, akhlah, ahwal dan pembawaan Baginda Rasulullah
s.a.w.
Satu yang menarik, bahawa Al-Sarraj
mengambil pendekatan, bahawa selepas sumber Al-Qur`an dan Al-Haduth, maka para
sahabat adalah menjadi sumber ketiga bagi pendekatan tasawuf bagi Al-Sarraj. Dari kalangan para
sahabat ini, maka kedudukan para khulafa` al-Rashidin adalah berada pada
barisan hadapan dari kalangan sahabat. Selepas
sahabat dari kalangan Khulafa` al-Rashidin, maka yang menjadi contoh
teladan bagi kesufian ialah kalangan para Al-Suffah yang jumlah mereka adalah
seramai lebih kurang 300 orang dan diikuti dari kalangan sahabat-sahabat yang
lain. Walaupun tidak disebut Al-Sarraj dari kalangan tabi`in dan atba`
al-Tabi`in, tetapi mereka antaranya dari kalangan sufi dan ulama`-ulama bagi
berbagai bidang disebut dan juga menjadi contoh teladan bagi kesufian.
Melengkapkan pembicaraan bagi kitab
tasawufnya `Al-Luma` Al-Sarraj memberi
ruang yang panjang berhubung dengan adab-adab di dalam bertasawuf. Ini termasuk
adab-adab di dalam ibadat-ibadat yang fardu dan berbagai-bagai ibadat yang
lain. Termasuk dibicarakan tentang adab bermusafir, bersahabah, berada di dalam
majlis ilmu, makan, berpakaian, berusaha mencari rezeki dan berbelanja, menziarah
orang sakit, kematian dan adab murid dengan guru. Turut dibicarakan tentang
al-sima`, dhauq dan wujdan, adab dari segi persuratan, di samping dibicarakan tentang tokoh-tokoh kesufian,
keistimewaan mereka sebagai contoh yang dapat diikuti.
Sebagai kitab permulaan yang langsung
membicarakan tentang tasawuf menunjukkan bahawa Al-Sarraj dengan
keilmuan-keilmuan yang dipelajari dan di dalami ia sebagai mendapat hidayah
dari Allah memperturunkan keilmuan yang memang telah dibicarakan pada zaman
sebelumnya, contoh Al-Junayd al-Baghdadi dan pengikut-pengikutnya ke dalam persuratan yang dapat dikatakan kitab tasawuf yang
begitu lengkap dan mengkagumkan, bahawa dengan penghasilan permulaan Al-Sarraj
dapat mengatur kitabnya dengan sempurna dan lengkap. Dapat dikatakan apa yang
dibincangkan di dalam pendekatan tasawuf kemudiannya, telah disebut oleh
Al-Sarraj. Kitab ini menjadi panduan bagi penulisan dan pengolahan bagi ilmu
tasawuf berikutnya.
Jika Ash`ari dan Maturidi meletakkan asas
bagi pendekatan akidah Sunni, Imam Malik, Shafie, Hanafi dan Hanbali meletakkan
pendekatan-pendekatan ilmu fiqh Sunni, maka Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi berjaya menyusun pendekatan bagi tasawuf
Sunni. Mereka melengkapkan asas bagi keilmuan tiga serangkai Islam, iaitu
akidah, shari`ah dan tasawuf. Ketiga-tiganya bersifat lengkap melengkapi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment