October 15, 2016

MENCONTOHI MU`ADZ BIN JABAL: ELEMEN TASAWUF


BBB,   13  Muharram  1438H. = 1`4 Oktober 2016 (Juma`at):
Mu`adz bin Jabal,  adalah seorang yang berilmu, tahu membezakan antara yang halal dan haram dan berkemampuan mengeluarkan fatwa, maka menurut Al-Sarraj, bahawa Mu`adz bin Jabal adalah tergolong dari kalangan sahabat yang berjiwa sufi. Al-Sarraj di dalam menyebut para sahabat Nabi s.a.w. meletakkan Mu`adz adalah tokoh yang menjadi teladan kesufian. Al-Sarraj hanya menyebut  satu riwayat sahaja tentang Mu`adz bin Jabal menurutnya,
``Adapun mengenai Muadz bin Jabal r.a, maka sesungguhnya  meriwayatkan  mengenainya oleh Al-Harith bin `Umayrah berkata, ``Aku duduk bersama Mu`adz bin Jabal, r.a. dan dia dengan cara duduk yang baik berkata, ``Bercermat dengan tindakan, maka aku berjanji mengasihi engkau.``.
Mu`adz bi Jabal adalah dari kalangan kaum Ansar. Beliau adalah salah seorang daripada 70 orang yang menyertai kumpulan yang pergi ke Bai`ah  al-`Aqabah Kedua. Pada masa itu Mu`adz adalah merupakan seorang anak muda yang berseri-seri muka, bergigi putih teratur dan berwajah tampan. Seorang muda yang cekap menarik dan berpotensi sebagai pemimpin. Jadi Mu`adz adalah merupakan salah seorang yang dikategorikan sebagai `Al-Sabiqun  al-Awwalun`.
Mu`adz sebagai seorang yang cerdas mendalami keilmuan Islam dan menguasai bidang fiqh dengan baik dan mahir berhubung dengan hukum hakam keislaman, sehingga beliau mendapat pujian Rasulullah s.a.w. Baginda pernah menyebut bermaksud:
``Yang terlebih alim dari kalangan umatku tentang halal dan haram ialah Mu`adz bin Jabal.``.
Beliau menghampiri dari segi kecerdasan dengan `Umar al-Khattab.
Bila Islam bertambah luas perkembangannya hingga ke Yaman, Rasulullah dipohon untuk menghantar guru bagi mengajar dan membimbing penduduk Yaman hal ehwal Islam. Orang paling layak dilihat Rasulullah s.a.w. tidak lain dari Mu`adz bin Jabal.
Bila Mu`adz mau dihantar sebagai misi dakwah dan pengajaran ke Yaman, Rasulullah s.a.w. bertanya Mu`adz, Dengan apakah engkau menghukum wahai Mu`adz ?
Maka dijawab oleh Mu`adz.
``Dengan Kitab Allah.``. Maka berkata Rasulullah, ``Kalau engkau tidak dapati di dalam Kitab Allah  ?
Maka jawab Mu`adz, aku menghukum dengan Sunnah Rasulullah. Maka kata Rasulullah, Kalau engkau tidak dapat dalam Sunnah Rasulnya ?, Maka kata Mu`adz, ``Aku berijtihad dengan fikiranku tanpa melakukan sia-sia. Maka berseri-serilah wajah Rasulullah dan Baginda berkata,
``Al-hamdulillah yang mentaufik perutusan Rasulullah dengan apa yang diredha oleh Rasaulullah.
Semasa di Yaman Mu`adz bin Jabal telah menjalankan peranan dan memutuskan hukuman dengan baik. Perutusan Mu`adz sebagai pendakwah dan guru yang menyampaikan dakwah dan pengajaran berdasarkan kepada kitab Allah dan Sunnah Rasul menjadi panduan penting bagi kalangan yang terlibat dengan dakwah dan pengajaran perlu mendalami kedua-dua bidang keilmuan. Konsep ijtihad yang difahamkan dari jawapan Mu`adz terhadap soalan Rasulullah menjadi asas penting dari segi fatwa.  Konsep ijtihad dan kemampun berijtihad mempunyai pra-syarat yang seharusnya dipatuhi. Antaranya berilmu, mendalami Al-Qur`an dan Hadith di samping perunbdangan Islam itu sendiri. Kini mengeluarkan fatwa dan ijtihad tentang sesuatu perkara yang baharu, dikendalikan oleh institusi Mufti, bahkan ada lembaga yang lebih tinggi seperti di Malaysia dikenali sebagai `Jawatankuasa  Fatwa Kebangsaan.
Semasa Rasulullah s.a.w. wafat di Madinah, Mu`adz yang dilantik oleh Rasulullah s.a.w. k e Yaman  masih bertugas di Yaman, bahkan pada masa Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq menjadi Khalkifah al-Rashidin  Pertama, Mu`adz dihantar kembali oleh Abu Bakar bertugas mengajar di Yaman. Tetapi pada zaman Khalifah `Umar bin al-Khattab beliau diperintah `Umar berkhidmat di Syria. Tetapi beliau tidak sempat berkhidmat lama di Syria.
Walau apapun Mu`adz adalah lambang ulama` yang mengeluarkan fatwa dan mengajar keilmuan Islam. Kedudukannya diakui dan diperkukuh oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda Baginda yang bermaksud:
``Mu`adz bin Jabal Imam `ulama di hari kiamat.
Dari segi tasawuf sebagaimana Al-Sarraj mengambil Mu`adz bin Jabal sebagai contoh kesaufian, maka dapat diambil panduan bahawa.
Ketasawufan adalah melibatkan sama keilmuan, bahawa orang Islam yang berilmu dan komited dengan keilmuannya, jujur dan menyebarkan keilmuannya dengan dakwah dan pengajaran adalah merupkan ciri ketasawufan dan orang yang sedemikian juga membawa elemen sufi. Lebih dari itu dilihat bahawa kesufian tidak terhad kepada yang bersifat peribadi, tetapi juga melibatkan masyarakat. Contoh berjuang dengan ikhlas bagi menyebarkan ilmu pengetahuan, khususnya keilmuan yang berkait dengan Islam adalah juga merupakan elemen kesufian. Bahkan usaha memperbaiki kehidupan masyarakat misalnya mendidik masyarakat dengan ilmu dan akhlak supaya ikhlas dari segi amalan, menjauhi diri dari perkara-perkara dilarang seperti menipu, rasuah dan menyuruh berbuat baik adalah merupakan elemen ketasawufan. Tasawuf bukanlah dilihat hanya kepada individu tersendiri terasing bagi mendekati Allah, tetapi melibatkan segala amalan yang baik yang melibatkan masayarakat adalah merupakan peranan dan tujuan ketasawufan. Bukankah aspek-aspek keakhlakan adalah merupakan sebahagian dari bidang ketasawufan ?, Jadiu tasawuf hendaklah dilihat sebagai wasilah bagi memperbaiki dalaman diri dan wasilah bagi memperbaiki masyarakat dengan nilai-nilai murni sebagaimana yang dapat dicontohi dari misi Mu`adz bin Jabal yang dihantar oleh Rasulullah ke Yaman dan pilihan Rasulullah s.a.w. ini  dikekalkan oleh para sahabat Baginda.
Mu`adz bin Jabal adalah contoh `ulama`, pendakwah dan pendidik sepanjang zaman.

Sekian.

No comments:

Post a Comment