BBB, 14 Muharram 1438H. = 15 Oktober 2016M. (Sabtu):
Antara tokoh kesufian yang disebut oleh
Al-Sarraj ialah `Imran bin Hus*ayn (S*= S*ad).
Dari segi sejarah `Imran bin Hus*ayn pada
peperangan Khaibar tahun ke 7H. beliau datang kepada Rasulullah s.a.w.
berbai`ah dan menerima Islam. Beliau memilih Islam secara jujur dan tulus hati
dan berikutan penerimaan Islam wataknya menyerlah sebagai seorang yang kuat
beribadat dan sangat menyintai Allah Subhanahu wa Ta`ala. Jiwanya amat sensitif
dan lembut diorientasi seni alami dan seni rohani yang dialami dari kehidupan
dan pengalaman ta`abbudiyyahnya.
Sebagai seorang sahabat dan turut
berinteraksi dengan Rasulullah s.a.w. terdapat sejumlah Hadith yang
diriwayatkan oleh Imran bin Hus*ayn. Antaranya - bermaksud:
Daripada `Imran bin Hus*ayn r.`anhuma
berkata, bersabda Nabi s.a.w.,`` Sebaik-baik kamu ialah yang berada pada
kurunku, kemudian yang mengikuti mereka itu, kemudian yang mengikut mereka itu.
Berkata `Imran, Aku tidak tahu aku menyebut Nabi s.a.w. selepas dua kurun atau
tiga. Bersabda Nabi s.a.w., sesungguhnya selepas kamu kaum yang khianat dan
tidak amanah, mereka menjadi saksi dan tidak dapat dipegang dengan penyaksian
mereka. Mereka bernazar dan tidak tunaikan, ternyata mereka amat loba kepada
dunia.`` Riwayat Bukhari.
Hadith: Daripada `Imran bin Hus*ayn r.a.
berkata: Bersabda Nabi s.a.w. bermaksud:
``Malu tidak datang melainkan dengan
kebaikan.`` Riwayat Bukhari.
Hadith: `Imran bin Hus*ayn r.a. berkata,
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Keluar kaum dari neraka dengan shafa`at
Rasulullah s.a.w., maka mereka masuk syurga. Mereka dinamakan `Bekas
Jahannamiyyin`. Riwayat Bukhari.
Hadith: Daripada Imran bin Hus*ayn r.a.
bahawa Nabi s.a.w. bersabda (berdo`a) bermaksud:
``Wahai Tuhanku ilhamkan daku jalan
pertunjukan (rushdi) dan selamatkan daku dari kejahatan diriku.``. Hadith
Bukhari.
Amran bin Hus*ayn adalah merupakan seorang
yang alim pada zamannya, kuat beribadat dan takut kepada Allah. Dengan
kedudukan kealimannya, maka pada zaman Sayyiduna `Umar al-Khattab beliau
dipilih oleh Khalifah `Umar Al-Khattab sebagai guru bagi mengajar dan
membimbing penduduk Basrah dengan keilmuan Islam.
Di sana `Imran bin Hus*ayn menjalankan
tugasnya dengan baik. Walau pun sebok
dengan tugas mengajar dan menerima aduan dan pertanyaan tidak mengganggunya di
dalam tumpuan ibadatnya kepada Allah. Namun di dalam beribadatnya, beliau tidak
suka diganggu, agar tidak hilang konsentrasi hati dan jiwanya terhadap Allah.
Sifat ta`abbudiyyah dan jiwa kesufian yang
ada pada diri `Imran bin Hus*ayn menjadikan jiwanya lembut, cintakan
keharmonian dan kedamaian. `Imran berkesempatan hingga zaman Khalifah `Ali bin
Abi Talib, tetapi tatkala berlaku konflik antara `Ali dan Mu`awiyah dan
terjadinya peperangan yang terkenal dengan peperangan Siffin dan pertikaian
politik yang berlarut-larutan, `Imran bin al-Hus*ayn tidak menggemari konflik
yang berlaku di dalam kalangan umat Islam sendiri. Oleh kerana tidak bersetuju
dengan konflik berkenaan yang membawa kepada perpecahan umat, `Imran bin
Hus*ayn mengambil sikap berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya beliau menggesa kalangan umat
agar berusaha membela dan menegakkan Islam. Jiwanya sentiasa cenderung kepada
masjid dan lebih banyak dihabiskan masanya di sana beribadat dan mengajar.
Namun mutakhir dari umunrnya `Imran bin
Hus*ayn mendsepani ujian Allah. Dia mengalami penyakit di dalam perut yang
berlanjutan. Apa yang digambarkan oleh Al-Sarraj di dalam kitabnya Al-Luma`
adalah antara rintihan `Imran yang menghadapi ujian sakit, bercampur dengan
perasaan seni dan seni rohani. Menurut Al-Sarraj `Imran bin Hus*ayn pernah
mengungkap dengan bahasa puitis dan intuitif;
``Inginku kiranya diriku menjadi tanah,
nescaya menmghembus ke permukaanku angin sepoi-sepoi bahasa, dengan demikian
aku tidak mengalami azab dari Allah !``
Ungkapan ini lebih bersifat perluahan rasa hati yang
sebenarnya tidak mungkin terjadi, tatapi sebagai pengluahan perasaan, kelembutan
perasaan, juga mencerminkan kebimbangan diri `Imran dengan dosanya menyebabkan dirinya kena azab
di akhirat kelak.
Berkata Thabit al-Bannani, juga seorang
sufi, bahawa rintihan yang dikeluarkan oleh `Imran bin Hus*ayn adalah cerminan
dari penderitaan yang dialami. Menurut Thabit al-Bannani, bahawa ~Imran bin Hus*ayn
menderia sakit di dalam perutnya dalam masa yang lama – dikatakan selama 33
tahun. Dia mengadu dan mengharapkan kepada Allah kesembuhan penyakit, dari satu
segi penyakit yang dialaminya membawa diri makin dekat dengan Allah, walaupun ada masa dia meikirkan,
kadang-kadang menjadi kejadian Allah seperti bumi lebih baik dan tak bermasalah – tiada dosa. Ini sebenarnya
mencerminkan keinginannya mendekati Allah tanpa membawa kotoran.
Menurut Thabit al-Bannani
sahabat-sahabatnya pernah menziarahinya dalam masa sakitnya, `Imran tidak
melarang mereka menziarah, bahkan melahirkan harapan, semoga ianya sebagai
kaffarah yang dapat membuka jalan bagi dirinya
mendekati Allah dan meningkatkan kecintaan terhadapNya.
Daripada apa yang telah dipaparkan jelas
`Imran bin Hus*ayn, sejak menerima Islam
merupakan seorang yang patuh kepada ajaran Islam. Dia mendalami agama Islam dan
mempraktikkannya di dalkam kehidupan. Dia terkenal sebagai seorang yang kuat
beribadat. Kelayakannya di dalam keilmuan Islam sehingga melayakkannya menjadi
pendakwah sehingga dihantar oleh Sayyiduna `Umar al-Khattab ke Basrah – Kota Keilmuan,
mengajar di sana.
Kehalusan jiwa `Imran ditambah lagi dengan
ujian yang dihadapinya, iaitu mengalami sakit di dalam perutnya yang
berpanjangan. Ini mempertingkatkan lagi rasa keinsafan. Dari jiwa seni dan
kehalusan ketasawufan mempertajamkan persepsinya terhadap makna kehidupan yang
fana ini. Pandangan hidupnya diungkapkan di dalam luahan rasanya, bersama
dengan permohonan kepada Allah agar terus terbimbing ke jalan yang lurus dan
benar dan tidak menjadikan dosa sebagai penghalang, bahkan menjadikan dirinya
terus memohon keampunan Allah
Sekian.
No comments:
Post a Comment