October 28, 2016

USAMAH BIN ZAID DAN BILAL BIN RABAH MENYENTUH KENANGAN


BBB, 26 Muharram 1438H. =  27 Oktober 2016 (Khamis):
Dua tokoh di atas mendamba peristiwa yang menyentuh kenangan berbeza.
Menyebut Usamah, segera kita teringat kepada seorang anak muda usia dalam lingkungan 18 tahun yang  dilantik Rasulullah menjelang Baginda wafat untuk memimpin  pasukan tentera bagi memerangi Sham. Sesudah tentera di bawah pimpinan Usamah ini bergerak dan belum tiba ke medan peperangan, berita kewafatan Rasulullah s.-a. w. sampai dan pasukan tentera di bawah Usamah ini pulang kembali ke Madinah.
Selepas Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq dilantik menjadi khalifah, Kenangan terhadap apa yang telah diatur Rasulullah s.a.w. beliau tidak sanggup merubahnya dan menggerakkan kembali tentera di bawah kepimpinan Usamah tanpa menghiraukan kritikan, bahawa Usamah masih anak-anak dan belum matang dan kurang pengalaman di dalam perang. Abu Bakar, Khalifah Yang Benar, sekali-kali tidsak akan merubah apa yang dipilih dan ditentu oleh Rasulullah s.a.w sebelumnya.
Ada beberapa faktor mengapa Usamah bin Zaid dipilih. Antaranya memberi semangat kepada  Usamah menuntut bela di atas kematian ayahnya  Zaid di dalam Peperangan Mu`tah sebelumnya. Zaid adalah anak angkat Radulullah s.a.w., pemilihan Rasulullah adalah tepat dengan misi tersendiri. Pada masa Khalifah  Abu Bakar ada kalangan umat Islam yang murtad dan adalah kawasan yang Usamah akan serang iaitu Abna, di Sham termasuk yang murtad. Apabila berita serangan dari tentera Islam di bawah pimpinan Usamah sampai kepada kabilah-kabilah Qaadhah dam  A`bil di Abna nereka  ketakutan dan meminta bantuan dari tentera Rum. Pihak  Usamah memberi amaran kepada mereka yang murtad di Abna sama ada menyerah atau perang. Dengan jangkaan bantuan dari tentera Rum sampai, mereka memilih untuk berperang dan perang meletus, tetapi pihak Rum yang diminta hantarakan bantuan tentera tidak dihantarkan. Akhinya tentera di bawah pimpinan Usamah mencapai kenangan dan musuh  mereka mengalamai kekalahan,
Dalam hubungan peperangan di atas menampilkan makna tersirat, bahawa apa yang ditentukan oleh Rsulullah s.a.w. hendaklah diikuti, lantaran Baginda membuat pilihan terbaik.  Abu Bakar terkenal sebagai seorang yang setia kepada Rasulullah dan tidak mungkin dia akan menyalahi dari perintah Allah dan Rasulnya.
Megingatkan bahawa tenaga muda perlu tampil dalam bidang-bidang yang berkait dengan petahanan negara. Mereka perlu diberi tanggungjawab   mempertahankan negara, agama dan bangsa..
Di sebalik daripada anak muda Usamah yang mampu memimpin perang dan akhirnya mencapai kejayaan,  maka Bilal bin Rabah  dari Habashah  pula adalah datang dari kalangan `Hamba` kepada Tuannya Umayyah bin Khalaf di Makkah. Berita kelahiran Islam dibawa oleh Rasulullah  sampai kepada  Bilal bin Rabah dan beliau amat ingin mendapat maklumat dari Rasulullah tentang agama Islam dan mau menganut agama Islam. Bilal secara senyap-senyap menganut agama Islam.. Pengislaman Bilal sampai kepada Umayyah bin Khalaf - Tuannya. Bilal dipanggil dan dipukul oleh Tuannya dan menyuruh murtad kembali kepada kepercayaan Jahiliyyah. Bagi Bilal setelah beliau menerima Islam, maka tidak ada lagi  hasrat mau kembali kepada agama Jahiliyyah. Beliau rela  meghadapi kemungkinan-kemungkinan, maka dia tidak- sekali-kali menginggalkan Islam. Dia tidak takut kepada ancaman dari Tuannya. Bagi mempertahankan akidah pegangan, walaupun beliau dijemur dalam terik panas padang pasir, dipukul, diletak kepingan logam di atas dadanya agar ia kembali kepada agama Jahiliyyah, tetapi Bilal tetap tidak berganjak dengan pegangan tauhid. Bahkan apabila Bilal dipukul dan dijemur di tengah  padang pasir, beliau tetap mengulangi ungkapan Ahad !  Ahad !  Ahad !    Yakni berpegang dengan  tauhid  Allah.
Akhirnya pada suatu hari sedang Umayyah mendera dan memukul Bilal, Abu Bakar melalui dan melihat penyiksaan terhadap Bilal. Abu Bakar menawarkan tebusan bagi membebaskan Bilal. Tawaran Abu Bakar diterima  oleh pihak Tuannya Umayyah. Abu Bakar menebus Bilal bukan untuk diambil menjadi suruhan di rumah, tetapi dia dibebaskan serta merta dan bebas menghubungi berbagai-bagai lapisan masyarakat.
Sejak dari pembebasannya dia mendekati Rasulullah dan rapat dengan Baginda. Bilal menjadi muazzin atau Tukang bang  Rasulullah sepanjang hayat Rasulullah di samping seorang dua yang lain. Intimnya Rasulullah dengan Bilal dan Bilal dengan Rasulullah tercermin dari gambaran bahawa di akhirat kedengaran tapak kaki Bilal yang berjalan  di syuga. Selepas  Rasulullah meninggal bahawa beliau tidak dapat menahan kesayuan melihat bekas-bekas dan perintiwa dia bersama Rasulullah sepanjang di Madinah, sehingga bagi menghilang kepiluan, dia berpindah ke Syria. Dikatakan bahawa Bilal bermimpi, Rasulullah bertanya mengapa beliau meninggalkan Madinah dan tidak menziarahinya. Ini membuat kepiluan Bilal memuncak Dan dengan serta merta Bilal menunggang kenderaan dengan penuh kerinduan menuju ke Madinah. Tiba di Madinah tidak ada tempat yang paling utama menjadi penujuan Bilal,  lain dari menziarah maqam Rasulullah. Bayangkan betapa pilunya Bilal berhadapan dan berada pada maqam Rasulullah s.a.w.
Perkembalian Bilal yang membawa diri ke Syria itu diketahui orang ramai. Semua terarah kepada Bilal yang juga menjadi kerinduan orang ramai mau melihatnya. Lebih-lebih lagi mereka mau, kiranya Bilal dapat mengalunkan azan, sekurang-kurangnya dapat mengembalikan nostalgia semasa mereka bersama Rasulullah s.a.w. Bilal sendiri menjadi sebak mendapat permintaan dari orang ramai supaya dia mengalunkan azan. Dengan penuh berat dan rasa pilu dia menunaokan permintaan orang ramai.
Sebaik Bilal mengalunkan suara azaannya di Masjid Nabawi, nostalgia kepada zaman Rasulullah segera kembali. Ketika demikian bagaikan Rasulullah kembali  bersama jamaah dan ketika Bilal mengalunkan azan, maka mengalir berguguranlah air mata jamaah sebak sayu mendambakan peristiwa  bersama Rasulullah, sedangkan orang ramai disekitar kota Madinah bagai tersentak dan terpegun mendengar suara azan Bilal dan mereka bagaikan mimpi seolah-seolah Rasulullah kembali bersama mereka.
Demikian  kenangan  terhadap dua tokoh. Kenangan  terhadap anak muda -  Usamah yang seharusnya menjadi teladan  bagi anak muda yang seharusnya mempunyai semangat pembelaan dan  mempertahankan agama tanah air dan umat. Kedua  kenangan yang nostalgik terhadap kekukuhan akidah Bilal  terhadap Allah dan cinta beliau terhadap Rasulullah yang seharusnya menjadi contoh bagi setiap umat yang seharusnya berpegang teguh pada akidah dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.

Sekian.

No comments:

Post a Comment