BBB,
22 Muharram 1438H. = 23 Oktober 2016 (Isnin):
`Abdullah bin `Umar atau ringkasnya Ibn `Umar adalah tidak lain dari anak `Umar ibn al-Khattab. Dilahirkan di Makkah
sebelum Hijrah dan turut sama berhijrah ke Madinah bersama keluarganya.
`Abdullah dididik oleh keluarganya
dengan nilai Islam dan memberi komitmen yang tinggi terhadap Islam. Beliau amat
rapat dengan Rasulullah, di samping salah seorang adik beradiknya adalah isteri
Rasulullah s.a.w. Pada ketika berlakunya peperangan Badar, `Abdullah mendaftar
diri sebagai salah seorang tentera yang mau menyertai peperangan berkenaan,
tetapi oleh kerana ianya masih dianggap di bawah umur, maka dia tidak dibenar menyertai peperangan tersebut.
Meskipun Ibn `Umar masih muda, beliau
adalah seorang pemuda yang cerdas dan berhati terang. Dia mempelajari berbagai
ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah di masjid Madinah dan sepanjang
penyertaannya dengan Rasulullah. Melalui didikan secara langsung beliau menjadi
seorang yang tinggi akhlak, cermat, hati-hati dan berhemah tinggi. `Abdullah bin
`Umar cuba mengikuti peribadi dan apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sehingga
apa peristiwa yang pernah dilakukan pada suatu tempat dan bila dia
berkesempatan akan dilakukan sebagaimana pernah dilakukan oleh Rasulullah. Dia
amat teliti dari segi pengambilan Hadith dari Rasulullah s.a.w. dan cuba
mengelak dari berlaku kesalahan ambilan, kekurangan atau tambahan. Dia kemudian
menjadi sebagai guru yang dirujuk pendapatnya tentang berbagai-bagai perkara,
tetapi dia amat cermat di dalam memberi jawapan atau fatwa yang diajukan
kepadanya. Jika sesuatu yang ditanya di luar dari pengetahuannya, maka ia tidak
menjawabnya. Ia juga mengelak dari melakukan ijtihad, meskipun dengan ijtihad,
jika betul. maka dia akan mendapat dua pahala, dan jika tersilap akan mendapat
satu pahala. Ia mengelak dari membuat ijtihad, takut dari berlaku kesilapan.
Kedalaman ilmu pengetahuan Ibn `Umar
melayakkannya menjdai kadhi atau Hakim Negara. Beliau pernah dipanggil oleh
Khalifah `Uthman bin `Affan dan menawarkannya jawatan Kadhi atau Hakim Negara.
Tetapi Ibn `umar menolak. Apabila ditanya mengapa dia menolak jawatan berkenaan.
Dia merujuk kepada kata-kata bermaksud,
tiga kadhi yang berhukum, dua daripadanya masuk neraka. Khalifah `Uthman akur
dengan hujah Ibn `Umar, tetapi tidak menggalakkan diperbesar-besarkan, lantaran
jika semua berpegang sedemikian akan
kosong jawatan dan mengganggu perjalanan pemerintahan.
`Ibn `Umar walaupun dia bersifat zuhud,
taqwa dan wara`, beliau adalah seorang peniaga, bahkan saudagar yang berjaya
yang dapat dikatakan kehidupannya dan kelurganya dalam keadaan senang lenang,
tetapi dengan kekayaan yang ada padanya,
dia tidak lokek dan sentiasa menderma. Jika jamuan diadakan, maka turut
dijemput fakir miskin bersama. Selain dari suka menderma, kegemarannya ialah
beribadat malam. Beliau berpegang dengan sabda Rasulullah s.a,w. yang
bermaksud:
``Sebaik-baik hamba ialah yang beribadat
kepada Allah dan jika ia bersolat pada malam hari, maka diperbanyakkan.``
Amalannya yang lain termasuklah membaca
Al-Qur`an, tahajjud, witir dan zikir.
Bila berlaku peristiwa pembunuhan terhadap
Khalifah `Uthman bin `Affan, beliau pernah dipujuk bagi menggantikan tempat
`Uthman, tetapi beliau menolak. Beliau tidak mau melibatkan diri dalam politik.
Berhubung dengan pertelingkahan antara `Ali – Mu`awiyah beliau berkecenderungan
membela `Ali, tetapi dia mengekang diri dari melibatkan diri dalam konflik.
Namun beliau menegur terhadap kekejaman Hajjaj bin Yusof governor pada zaman
Mu`awiyah sehingga beliau pernah dianam oleh Hajjaj, tetapi Hajjaj tidak berani
bertindak terhadap Ibn `Umar.
`Ibn `Umar seorang yang berusia lanjut - 85
tahun hingga berkesempatan pada zaman pemerintahan Mu`awiyah. Di dalam memenuhi ruang waktu yang dikurnia
Allah dia memenuhinya dengan ibadat dan pengajaran. Beliau adalah salah seorang
ulama` terkenal padsa peringkat awal sama seperti `Abdullah bin `Abbas, `Abdullah bin Mas`ud dan lain-lain lagi.
Beliau juga terus menyampaikan Hadith-Hadith Rasulullah, tetapi dengan penuh
teliti dan mengelak dari berlaku kesalaham pertambahan dan pengurangan. Sebagai
perawi Hadith, maka Hadith-Hadith yang diriwayarkan tidaklah sebanyak seperti
oleh Abu Hurairah, Anas bin Malik dan beberapa yang lain. Beliau meriwayatkan
antaranya:
1) Dari Abi `Abd al-Rahman `Abdillah bin `Umar
al-Khattab r.`anhuma berkata: ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud),
``Dibina Islam atas lima perkara, mengucap, tiada Tuhan melainkan Allah dan
bahawa Muhammad adalah Rasulullah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan
zakat, dan Haji ke Bayt dan puasa Ramadhan,
Meriwayatkannya oleh Bukhari dan Muslim.
2) Daripada Ibn `Umar r.`anhuma, bahawasanya
Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud), ``Aku disuruh memerangi manusia hingga mereka bershahadah bahawa tidak
ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah, dan merela mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Maka
apabila mereka lakukan sedemikian terpeliharalah mereka itu dariku darah mereka
dan harta benda mereka, melainkan dengan
Haqq Islam dan hisab mereka itu di atas Allah Ta`ala. Riwayat Bukhari dan
Muslim.
3) Daripada Ibn `Umar r.`anhuma berkata,
``Rasulullah s.a.w. memegang dua bahuku sambil berkata: Jadikanlah kehidupan di
dunia engkau sebagai orang dagang atau penyeberang jalan. Dan adalah Ibn `Umar
r.`anhuma berkata, ``Apabila engkau di waktu petang jangan menunggu pagi. Dan
apabila engkau di waktu pagi jangan menunggu petang, ambil kesempatan waktu
sihat sebelum sakit dan daripada hidup engkau sebelum engkau mati.``
Diriwayatkan oleh Bukhari.
(Hadith-Hadith di atas
dari al-Arba`in al-Nawawiyyah).
4) Berkata Ibn `Umar, ``Tidak sampai hamba kepada
hakikat takwa hingga hilang apa yang meragukan di dalam dada.
5) Daripada `Abdullah bin `Umar r.`anhuma daripada
Nabi s.a.w bersabda (bermaksud), ``Seorang muslim ialah yang orang-orang muslim
selamat daripada lidahnya dan tangannya. Dan orang yang berhijrah ialah yang berhijrah
dari apa yang dilarang Allah daripadanya
6) Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa
seorang leleki bertanya Nabi s.a.w.
``Manakah Islam yang baik ?, Maka bersabda Baginda, ``Engkau memberi makan
(kepada faqir miskin) dan memberi salam
kepada orang yang engkau kenal dan yang engkau tidak kenal.
(Hadith-Hadith di atas dari Jawahir
al-Bukhari wa Sharh al-Qistillani).
Demikianlah watak dan peribadi `Abdullah
bin `Umar yang berusaha mengikuti Rasulullah sebagai uswah hasanah. Dia
berusaha mendapatkan ilmu pegetahuan dan mendalam dari segi keilmuan. Dia tidak
menyenangi dengan konflik-konflik politik yang berlaku pada zamannya dan
bersikap berkecuali. Dia lebih menumpukan kepada ibadat dan melakukan
kebajikan. Ibn `Umar adalah contoh yang ideal dari segi ketasawufan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment