BBB, 16 Muharram 1438H. = 17 Oktober 2016M.
(Isnin):
Abu Nasr al-Sarraj mengambil Abu al-Darda`
dari kalangan sahabat sebagai contoh
kesufian di dalam kehidupan kerohanian.
Siapa Abu al-Darda`, dapat ditanggapi dari
petikan ringkas berhubung dengan tokoh kerohanian ini.
Catatan Al-Sarraj adalah sebagaimana berikut:
``Adapun Abu al-Darda` r.a., maka
sesungguhnya ia telah berkata:
``Adalah aku seorang saudagar pada zaman
Jahiliyyah, maka sesungguhnya aku telah masuk Islam, maka aku berkehendak
menghimpunkan antara perniagaan dan ibadah, maka aku tidak mampu menghimpun
antara keduanya. Aku merasa ibadah lebih memberi kesan kepadaku daripada
perniagaan. Katanya ditanya (mendapat fikiran)
Ummal-Darda` r.`anha tentang kelebihan ibadat Abi al-Darda` r.a., maka
katanya, tafakkur dan i`tibar.
Dapat difahami bahawa Abu al-Darda` sebelum
Islam adalah saudagar atau tokoh perniagaan seperti Abu Sufyan dan sebagainya.
Ia tergolong sebagai hartawan pada zamannya. Dia sebenarnya dapat mencapai
keseronokan daripada kekayaan harta yang
dimiliki. Namun selepas keislamannya dia menemui kenikmatan yang lebih tinggi
dari keseronokan kekayaan yang didapati. Dia mau merangkumi dan memiliki secara
serentak antara keseronokan memiliki harta yang dengan banyak kemudahan yang
dapat dicapai berbanding dengan yang tidak berharta dan dalam masa yang sama
dia juga mau mencapai semaksimum kenikmatan dari segi kerohanian ! Sebenarnya
hasrat sedemikian bukan menjadi larangan di dalam Islam, lantaran ramai tokoh
yang kaya dan berkedudukan di dalam Islam dan dipandang tinggi dari segi agama
dan masyarakat, seperti Sayyidina `Uthman bin`Affan, Abdul Rahman bin `Auf dan
ramai lagi. Lagi pula dengan mempunyai harta banyak kebajikan yang dapat
dilakukan . Misalnya dengan mempunyai
harta yang banyak dapat dikeluarkan zakat bagi membantu asnaf-asnaf, dapat memberi
sedekah dan bantuan, dapat mewakafkan kepada orang ramai dan berbagai kebajikan
yang dapat dibuat. Tetapi bagi Abu al-Darda` merasakan bahawa dia tidak dapat
mencapai kedua-dua tujuan secara serentak dan maksimum, baik mencari harta
untuk kebajikan dan mencapai kesempurnaan ibadat dalam masa bersamaan.
Abu al-Darda`sebenarnya sudah dapat merasai
keseronokan memiliki harta kekayaan yang ketara keseronokan bersifat nyata,
misalnya mempunyai kediaman yang besar, mempunyai kenderaan yang selesa ,
berpakaian yang mahal, makan minum yang lazat dan sebagainya. Umumnya
keseronokan dirasai secara fizikal dan nyata. Kini dengan mendalami keilmuan,
hikmat dan hakikat didapati, bahawa nikmat akal dengan berilmu lebih tinggi
darjatnya daripada nikmat kekayaan yang bersifat nyata. Bukankah dengan berilmu
banyak pengetahuan dinikmati, banyak rahsia-rahsia kejadian Allah dapat
difahami. Ianya merupakan nikmat akli yang tidak boleh dibeli dengan harta
lahiri, juga Abu al-Darda` melalui berbagai pengajian keilmuan, khususnya yang
bersifat rohani didapati bahawa, ianya lebih nikmat dan membahagiakan jiwa dan
memberi ketenangan yang tidak dicapai melalui harta. Lantaran itu Abu al-Darda`
memilih dan memberi tumpuan kepada ilmu dan aspek-aspek kerohanian.
Abu al-Darda` menuju kepada apa yang
dikatakan oleh Umm al-Darda`, iaitu kepada tafakkur dan i`tibar dari kejadian
Allah yang mendorong diri dan jiwanya kepada kekaguman terhadap ciptaan Allah,
ta`abbudiyyah terhadapNya dan kecintaan terhadapNya. Semuanya adalah merupakan
kenikmatan akal, jiwa dan rohani yang bersatu ke dalam dirinya.
Adalah satu yang lumrah apabila akal
tergarap dengan kefahaman terhadap hakikat alam dan rohani meningkat tinggi
dari persepsi dan penghayatan, maka ianya menggarap jiwa yang mengalami dan
menghayati dan meningkat jiwa berkenaan
dari jiwa yang biasa kepada akal dan jiwa yang gemerlap dengan keindahan
dapatan dan kehalusan perasaan, maka adalah menjadi kebiasaan membawa kepada seseorang itu terkeluar dan terhambur dari
kata-katanya sebagai kata-kata hikmat yang mendalam maknanya. Ini misalnya berlaku kepada
Sayyiduna `Ali bin Abi Talib k.w. yang mana minda dan jiwanya bagai perbendaharaan intan permata, dan setiap
yang terkeluar dari mulutnya ianya sebagai taburan intan permata. Dalam maksud
terkeluar kata-kata hikmat yang tinggi maknanya. Demikian adalah menjadi
kebiasaan bagi tokoh-tokoh rohani yang mendalam dari segi kerohanian, maka apa yang
diucapkankannya mendalam dan indah berseni rohani dari segi ungkapan
sebagaimana dapat dihayati dari kata-kata Al-Junayd, Sari al-Saqati, Al-Tustari,
Zakariyya al-Ansari dan sebagainya. Ada
pula ungkapan-ungkapan yang bersifat falsafah dan rohani sebagaimana yang
dingkapkan olehj Al-Shadzili, Ibn `Ata
Allah al-Sakandari, Ahmad Zarruq, Ibn `Ajibah dan sebagainya.
Dalam perkembangan jiwanya dari orientasi
ibadat dan kerohanian Abu al-Darda` terarah kepada peningkatan perbendaharaan
dalaman dirinya. Orientasi utama yang mempengaruhi diri dan ungkapan-ungkapannya adalah dari
ayat-ayat- Al-Qur`an yang mempunyai aspek kerohanian dan juga hakikat-hakikat
kejadian. Dalam hal ini boleh dikatakan Abu al-Darda` antara yang mula
mencetuskan pandangan –pandangan ketasawufan secara rohani dan kefalsafahan.
Misalnya ungkapan yang dikaitkan
dengannya, seperti,
``Kebaikan, walaupun sebesar zarrah dari
orang bertaqwa lebih berat dan lebih baik dari orang yang terpedaya dan
lalai.``
Dan katanya tatkala beliau diminta panduan,
maka dijawabnya secara tawaduk dan merendah diri, katanya;
``Aku bukan ahli renang... aku takut
tenggelam !. (Petikan dari Sejarah 133 Wira Terbilang, 2009: 248-249).
Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh
Abu al-Darda` bermaksud:
Daripada Abi al-Darda` r.a. berkata,
bersabda Rasulullah s.a.w., ``Adalah dari do`a Nabi Daud a.s. Ya Allah sesusungguhnya aku
memohon kecintaan Engkau dan kecintaan orang yang mengasihi Engkau dan kerja
yang menyampaikan daku kecintaan akan Dikau. Wahai Tuhanku, jadikanlah
kecintaan Engkau lebih cinta kepadaku
dari diriku dan keluargaku dan daripada air sejuk.`` Riwayat Al-Tirmidzi.
Tidak banyak Hadith yang diriwayatkan oleh Abu
al-Darda` tetapi Hadith di atas menjadi amalan dan kecintaannya. Kenikmatan
yang jauh berbeza dari keseronokan harta yang pernah dikecapinya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment