BBB, 21 Rajab 1438H. = 18 April 2017M. (Selasa):
Dalam membina sesuatu istilah tasawuf,
walaupun dia dilihat sebagai satu yang rohani, tetapi tidak terpisah dari
pengalaman alamiah. Bahkan ianya menjadi asas yang dipertingkatkan kepada yang
bercirikan tasawuf. Selepas membicarakan tentang maqam dan hal yang ibarat menjadi jalan yang direntasi oleh pejalan
rohani, maka Abu al-Qasim `Abdul Karim bin Hawazin membicarakan di dalam
Al-Risalat al-Qushairiyyah istilah, iaitu `Al-qabdh` yang dapat diterjemah
sebagai `Terikat ketat` dan `al-bast*` yang kita terjemahkan sebagai `terbuka
lawas`.
Apakah huraian yang diberi oleh Al-Qushairy
terhadap dua istilah ini. Menurutnya:
Al-qabdh dan al-bast* ialah dua hal selepas
meningkat hamba daripada hal khauf (takut}
dan al-raja` ( harap). Maka kata Al-Qushairy,
al-qabdh ialah bagi al-`arif pada
kedudukan khauf bagi mendekati. Adapun
(al-bast), ialah tahap `arif pada
kedudukan al-raja` bagi mendekati.
Kata Al-Qushairy lagi, bahawa perbezaan
antara al-qabdh, al-khauf, al-bast* dan al-raja`,
``Bahawa al-khauf adalah melihat kepada
masa mendatang, sama ada takut luputnya yang ditakuti, atau terjadi perkara
yang mendukacita dan penghalangan.``
Demikian juga al-raja` sesungguhnya, ia cenderung kepada
yang dikasihi dengan melihat pada masa hadapan. Atau melihat pada kemungkinan hilang perkara yang
menghalang.
Adapun qabdh adalah perkara yang terhasil dalam konteks
masa yang dialami. Demikian juga dengan al-bast.
Pendekatan yang diambil , awalnya oleh
al-Sarraj ditingkatkan al-Kalabadzi dan diteruskan oleh Al-Qushairy dapat
dikatakan pendekatan bagi kualiti perjalanan kerohanian secara klasik yang diambil
seperti ketiga-tiga tokoh, tetapi bukan suatu pendekatan kemestian. Perlu
diingat tiada digunakan pendekatan ini pada zaman Al-Ghazali (m.505H./1111M.),
beliau tidak mengambil pendekatan ini di dalam penbdekatan tasawufnya yang
bercirikan akhlak.
Pendekatan hal dan maqam dengan bertolak
dari persoalan qabdh dan khauf serta al-bast dan al-raja, adalah perdekatan
yang bersifat alamaiah yang dipertingkatkan misalnya melalui pendekatan ibadat
dan ditingkatkan kepada kerohanian. Dia juga tidak terlepas dari elemen
psikologi yang ditingkatkan kepada aspek kerohanian.
Apa yang dikatakan bertolak dari elemen
alamiah, bahawa di dalam kehidupan manusia dan bagi meneruskan survival, bahawa
manusia tidak terlepas dari menghadapi ancaman di sebalik harapan. Mereka takut
berdepan berbagai-bagai musuh seperti kelaparan, ancaman keselamatan dan penyakit. Ini adalah merupakan elemen
al-qabdh sebagaimana yang dibicarakan Al-Qushairy. Perlu disebutkan bahawa elemen al-qabdh yang
di dalamnya rasa takut dari satu segi mencetuskan daya dinamik di dalam jiwa
manusia. Mereka berusaha bagi mengatasi kelaparan, mencari perlindungan bagi
menjamin keselamatan dan berusaha dengan berbagai cara dan kaedah bagi menghendar
diri dari penyakit. Apa yang dibicarakan kelihatan manusia tertolak kepada
sudut yang menakutkan dan dia seolah terikat dan terganggu.
Adapun daripada al-bast juga tidak
terkeluar dari elemen alamiah. Ianya bertolak dari sudut pandangan yang positif
yang melihat kejadian alam ini adalah dari Rahmat Allah. Dari RahmatNya banyak kurniaan-kurniaan yang
dinimati hamba. Dari alam yang indah menenangkan, darinya ditimba rezeki yang tidak putus-putus. Hidup dalam kedaan
selesa, cukup dari makan minum, pakaian, perlindungan dan berbagai-bagai
keperluan yang lain. Ini melahirkan rasa syukur. Namun sebagai hamba manusia
tidak putus-putus mengharapkan kepada Allah dari segi keselamatan, kenikmatan
dan kebahagiaan. Manusia patuh pada perintah Allah dan melakukan berbagai
ibadat yang dituntut. Pun begitu banyak harapan yang dihantarkan kepada Allah.
Dia bersifat positif dan secara positif percaya Allah terus mengkabulkan
permohonannya. Ini adalah gambaran sikap al-bast hamba yang patuh kepada Allah
dan menggantungkan harap secara positif yang diterjemahkan kepada sikap raja`
itu.
Dalam kata lain kaum sufi, khususnya
seperti Al-Sarraj, Al-Kalabadzi dan
Al-Qushairy yang mengambil pendekatan
maqam dan hal, menggunakan elemen alamiah kepada elemen tasawuf. Mekanisme
psikologi rohani diaplikasikan, bahawa di dalam perjalanan kualiti dalam menuju
kepada Allah aspek khauf yang dikaitkan dengan al-qabdh adalah satu cara
melihat bahawa jiwa dan rohani manusaia meningkat melalui mekanisme takut.
Manusia takut kepada Allah, lantaran itu mereka patuh beribadat kepada Allah
dan melakukan segala suruhanNya dan puncak takut bahawa manusia yang melakukan
maksiat dan dosa, maka akan menerima balasan `neraka`.
Adapun pandangan yang lebih mesra dan
terbuka yang dikaitkan dengan al-bast, adalah pandangan positif yang bersifat
kasih mesra dan cinta. Ini adalah hasil dari melihat, bahawa Allah mencipta
alam dengan rahmat dan kasih mesra. Lantaran itu manusia sama menerima nikmat
kehidupan yang senang, selesa dan gembira dan hidup di kalangan manusia secara
berkasih sayang dan bertolong-tolongan. Lantaran apa ertinya hidup jika tiada
peduli antara satu sama lain, dan tiada kemesraan dari segi kehidupan dan
pergaulan. Melihat kepada nikmat kurniaan Ilahi, maka manusia sebagai hamba
patuh kepada berbagai suruhan Allah dan menjalankan ibadat dengan penuh mesra
dan kasih cinta pada Ilahi. Sebagai hamba, walaupun manusia tetap mengharap
kurniaan Allah berterusan dan berdasarkan pandangan positif dia yakin Allah berterusan
mengurniakan nikmatNya kepada hamba-hamba. Sudut pandangan ini adalah
mencerminkan sifat raja` yang dikaitkan dengan istilah al-bast.
Walau bagaimana, dari segi realiti,
walaupun seorang hamba menerima nikmat, tetapi dia juga tidak sunyi dari
menghadapi ketakutan, pada tahap alamiah ketakutan misalnya pada kemiskinan,
penyakit, kemalangan dan sebagainya. Ertinya bagi manusia ada gembira dan ada
takut, yang kedua-duanya bergandingan
dan menjadi elemen bagi mendekati Allah
Subhanahu wa Ta`ala.
Mekanisme ini juga diguna dan dilihat
sebagai wasilah perjalanan kualiti kerohanian. Insan takut kepada Allah dari
dosa yang dia terjatuh dan melakukannya. Ini membimbang dan menakutkannya. Ini
membuat ianya lebih berusaha melakukan ibadat dan kepatuhan, di samping dari
satu pihak yang lain juga manusia mendekati Allah dari segi kerohanian dan
meningkatkan kualiti diri dengan syukur, tawakkal redha dan sebagainya.
Kedua-duanya adalah dua ujian yang didepankan oleh Allah kepada manusia yang jika diterima dan dikendalikan dengan
baik adalah memberi faedah kepada hamba dan meningkatkan kualiti rohani dalam perjalanan kepada Ilahi,
sebagaimana firman Allah:
`Wa Allahu yaqbid*u wa yabsut*u wa ilaihi
tur ja`un.``
Bermaksud:
Dan sesungguhnya Allah menyempitkan dan
melapangkan, dan kepadaNya lah kamu dikembalikan.`` (Al-Baqarah: 245).
Demikian significant istilah al-qabdh dan
al-bast dengan al-khauf dan al-raja`.
Sekian.
No comments:
Post a Comment