Bandar Baru Bangi, 25 Rajab 1438H. = 22
April 2017M. (Sabtu):
Istilah fana` dan baqa` yang bermaksud binasa dan kekal adalah dua
istilah popular dalam penggunaan biasa, dan lebih khusus di dalam keilmuan akidah. Di dalam ilmu akidah,
maka erti fana` sebagaimana di dalam kitab Risalah al-Tauhid, fana` bererti ada
kesudahan bagi wujud Tuhan. Atau dalam kata lain ada kebinasaan dan pengakhiran
yang ia adalah merupakan sifat mustahil bagi Allah Ta`ala.
Manakala erti kata baqa`, menurut Risalah
al-Tauhid berkenaan, ianya bererti kekal, sentiasa ada, tiada akhir, maka
hakikatnya ibarat daripada menafikan ada kesudahan bagi wujud Allah Ta`ala.
Baqa` adalah sifat yang wajib bagi Allah Ta`ala.
Namun menurut Al-Qushairy – dari dimensi
tasawuf, maka maksud fana` dan baqa` yang dibicarakan bukan dari pendekatan
akidah, tetapi Al-Qushairy, memaksudkan ialah fana` dan baqa` dari segi akhlak
kesufian dalam mana dimaksudkan dengan fana` ialah terjatuh dan rosak
nilai-nilai keakhlakan seorang sufi dan dimaksudkan baqa`, ialah berdayanya
seorang sufi berjaya menjaga dan mengekalkan dengan sifat-sihat kepujian
Kata Al-Qushairy, ``Mengisyaratkan oleh
kaum (sufi) dengan fana` ialah dengan
jatuhnya dengan sifat-sifat yang keji dan mengisyaratkan juga mereka itu dengan
baqa, iaitu mendirikan sifat-sifat yang mahmudah``.
Menurut Al-Qushairy, seseorang itu tidak
terkeluar dari kedua kategori ini. Maka dengan itu dapat dimaklumi, bahawa seseorang
berada pada salah satu kategori, katakan
dia berada pada kategori, mahmudah, maka tiadalah baginya tempat lawannya,
iaitu mazmumah. Sebaliknya siapa yang dikalahi oleh sifat mazmumah, maka
tertutup daripadanya sifat yang mahmudah.
Kata Al-Qushairy, ketahuilah, bahawa yang bersifat dengannya seorang hamba
adalah dilihat dan dinilai dari segi af`al, akhlak dan ahwal. Contoh perbuatan,
ialah segala urusannya secara ikhtiariah dan akhlak ialah pembawaannya di dalam
pergaulan, tetapi dia mungkin berubah di dalam muamalah dan kira bicaranya. Dan
ahwal ialah yang datang kepada seseorang hamba dari peringkat permulaan,
kemudian beralih selepas memastikan di atas cara yang bersih.
Jika dilihat kepada pendekatan yang dibuat
oleh Al-Qushairy ini berhubung dengan
konsep fana` dan baqa` ada hubungan dengan konsep akhlak, bahawa
dengan terjatuh kepada perkara-perkara keji dari segi akhlak seperti kekejian
dari hati seperti hasad dengki, atau dari panca indera, seperti melihat kepada perkara yang haram, atau
terlibat dengan perkara-perkara yang berhubung dengan nafsu keji sepeti berzina
atau bersifat shaitan dan haiwan seperti marah dan sebagainya, maka orang sedemikian
disifatkan sebagai fana dengan kekejian, sebaliknya orang bersifat dengan sifat-sifat
terpuji, seperti sifat-sifat yang dilalui di dalam maqamat dan ahwal dan
akhlak-akhlkak terpuji yang lain, maka dikatakan orang sedemikian baqa dengan sifat-sifat kepujian.
Adalah dilihat apa yang dimaksudkan oleh
Al-Qushairy adalah tepat dengan apa yang
diolah oleh Al-Ghazali di dalam Ihya` `Ulum al-Din yang melihat konsep fana
dari segi etika itu diistilahkan oleh
Al-Ghazali dengan istilah `Al-Muhlikat`, iaitu sifat-sifat yang membawa kepada
kebinasaan.
Aspek-aspek muhlikat ini disebut oleh
Al-Ghazali seperti:
Kekejian hati, kekejian nafsu, syahwat,
kekejian lidah, sifat marah, kasihkan dunia, bakhil, megah, riya`, takabbur,
`ujub dan ghurur.
Manakala aspek yang menjayakan disebut,
iaitu:
Taubat, syukur, takut dan harap, faqr dan
zuhud, tauhid dan tawakkal,, mahabbah, shauq, uns, redha, ikhlas, muraqabah,
muhasabah, tafakkur dan mengingati mati.
Jika diperhati pada aspek-aspek munjiyat
ini ada persamaan dengan aspek-aspek yang dibicarakan di ahwal dan maqamat.
Persoalan buruk dan baik adalah sama antara
Al-Qushairy dan Al-Ghazali, namun dilihat dari penggunaan istilah yang
digunakan oleh Al-Ghazali, iatu `al-muhlikat` bagi akhlak-akhlak keji, dan `al-Munjiyat`
bagi akhlak-akhlak terpuji adalah lebih tepat, lantaran menggunakan istilah
fana` dan baqa` walaupun diberi huraian
maksud dari setiap istilah berkenaan, adalah lebih baik bahawa istilah fana`
dan baqa` menjadi istilah akidah yang identik dengan keilmuan akidah.
Apa yang dapat dilihat bahawa apa yang
dinisbahkan kepada kategori fana` dan baqa` diutarakan secara intuitif dan
wajdan dan bukan secara jelas dan terang sebagaimana yang dihurai secara jelas
oleh Al-Ghazali dan melibatkan pada pengalaman nyata yang dialami manusia yang
berjuang di dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan dan keselamatan di dalam
kehidupan, namun terdapat sebahagian daripada mereka terjatuh dan binasa di
dalam lembah kehinaan.
Dilihat pada orientasi kesufian lebih
menekankan pada peningkatan insan kepada Tuhan dan kurang menekankan
pembicaraan pada tahap manusia biasa yang berdepan dengan nilai buruk dan baik.
Sebagai contoh ungkapan yang bersifat
intuitif kerohanian dan wajdan adalah sebagaimana dipetik oleh Al-Qushairy
melalui gubahan puisi berikut:
Ada kaum yang sesat di bumi kontang
Ada kaum sesat di medan percintaan
Mereka fana`, kemudian fana` dan fana`
Mereka baqa` dengan baqa`di sisi Tuhannya.
Jelas bahawa ungkapan puisi sememangnya
bersifat kreatif dan imaginatif, juga persoalannya, iaitu fana` yang diasosiasikan dengan bumi kontang melambangkan kerosakan akibat dari sifat-sifat keji yang
dilakukan, manakala persoalan kedua
dilambangkan dengan cinta ketuhanan yang semestinya berunsur kebaikan yang membawa kepada baqa`
di sisi Tuhan. Baqa` bagi hamba ialah
sifat-sifat baik yang didukungi, dan baqa` Tuhan ialah sifat Baqa`nya yang
tidak baharu. Ertinya ada aspek yang boleh mengelirukan dari segi peristilahan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment