BBB, 28 Rajab 1438H. = 25 April 2017M.
(Selasa):
Kedua-dua istilah di atas dapat kita
terjemahkan kepada `Rasa` dan `Minum`. Dimaksudkan kedua-dua perkataan ini
adalah bukan makna secara langsung, tetapi merupakan istilah sastera atau di
dalam bahasa `Arab ia adalah istilah `isti`arah` yang merupakan satu aspek
daripada ilmu balaghah.
Al-dzauq sama ada merujuk kepada rasa
dengan lidah yang boleh diberi makna `kecapan` atau boleh dimaknakan dengan
rasa dengan `sentuhan` kulit seperti dengan tangan, kedua-duanya sebenarnya
tidak tepat dengan kehendak rasa yang dimaksudkan.
Dzauq di sini, ialah kondisi atau `suasana`
bersesuaian di mana seorang, sama ada
ahli seni atau sufi berada yang mencetuskan `mood` yang menyebabkan ia
`tersentuh` - Sentuhan adalah melalui sama ada perasaan yang sentimental, hati
yang yang lembut atau latif atau akal yang sensitif yang antaranya sebahagian
atau keseluruhan bergerak secara serentak menanggapi suasana dan membuahkan
penghasailan. Kondisi, mood, tanggapan dan penghasilan (dapatan, contoh ilham) adalah elemen yang korilasi yang membawa kepada
penghasilan. Dzauq dapat dikatakan tidak
datang secara kosong dan kekeringan ! Demikian minum, bukan maksud minum biasa,
tetapi adalah penghayatan terhadap apa terhasil.
Jika diibaratkan `suasana` dapat
dibandingkan dengan hari hendak hujan. Hujan tidak turun secara tiba-tiba
tatkala hari masih terik panas, sebaliknya ada suasana sebelum hujan. Misalnya
angin berhembus dengan agak kencang, maka kelihatan awan hitam bergerak dan
bertambaha dari ketebalan awan, lantas wujudnya kilat dan guruh, dan jika lebih
kuat lagi, petir memanah ke berbagai
arah, kemudian maka turunlah hujan. Jadi ada suasana, sebab akibat yang
akhirnya puncak sebagai dapatan `shurb` atau diistilah sebagai wajdan sebagai hujan.
Demikian dalam pengalaman seni, contoh
suasana kasih sayang dan kecintaan dalam keluarga. Suasana pernyataan kasih
sayang, misalnya dapat dibandingkan dimeja makan yang terdiri dari suami-isteri
dan anak-anak. Dari wajah isteri yang lembut dan tenang bersama anak-anak yang
riang dapat diisti`arah dan ditashbihkan, apa yang mereka minum dan makan ialah
senyum dan kasih sayang. Apa yang didapati sebagai wajdan ialah kebahagian
hidup dalam keluarga.
Penulis selalu melihat bahawa proses seni
semacam ada persamaan dengan proses peningkatan ketasawufan yang mempunyai
tahap perkembangan dan peningkatan kepada tahap tertinggi. Ini kita namakan
proses seni rohani.
Dalam ungkapan Al-Qushairy proses seni dan semi rohani dikatakan bahawa,
``Dzauq diibaratkan apa yang mereka dapati
dari buah tajalli dan kashaf dengan apa-apa yang datang dan dihayati – bahkan
diistilah sebagai diminum.`` Apa yang
dilalui di dalam perjalanan kualiti seperti proses pemurnian jiwa melalui ahwal
seperti muraqabah, al-qurb,, khauf dan raja`, tama`ninah, mushahadah, shauq dan
mahabbah adalah proses penyucian yang
merupakan suasana yang dialami jiwa, yang menurut Al-Junayd bahawa ianya
berubah dan tidak kekal. Demikian juga peringkat maqam seperti taubah, wara`,
zuhud, faqr, sabar, tawakkal, redha
semuanya adalah merupakan tahap-tahap perjalanan kualiti rohani di dalam menuju
kepada peringkat tertinggi, iaitu `Cinta Ilahi`.
Perjalanan seni dan seni rohani semestinya
melalui garapan dan ujian yang dapat menguji kecekalan yang sebenarnya
memperkasakan jiwa di dalam menempuh berbagai ujian yang lain – yang merupakan
sebagai dzauq, yang jika teruji dia mencapai minuman yang disifatkan sebagai
pencapaian (wajdan).
Mendepani alam seni tidak mudah tanpa
ujian, lebih-lebih lagi seni rohani yang tinggi ujian dan menuntut kebersihan
dan kecekalan. Bagi ahli seni alamaiah misalnya, mereka yang tidak menghadapi
ujian dari berbagai pengalaman pahit, manis, derita, sengsara, susah senang,
maka jangan diangan dia dapat menjadi seniman sejati. Seorang yang hidup dalam
kemewahan dan tidak menghadapi ujian hidup dengan kesusahan, jangan diharap
dapat menjadi seorang ahli seni. Kehalusan seni, kedalaman dan keintiman digali
dari pengalaman. Berbagai jenis pengalaman yang dilalui, misalnya dari kepahitan
hidup dalam musim peperangan, kepayahan hidup kerana kemiskinan, menghadapi bala
penyakit dan kemalangan adalah contoh kepahitan yang menjadi manis pengalaman
yang dapat menjadi ilham yang baik dalam penghasilan karya-karya. Kadang-kadang
pengalaman sengaja dicari seperti mengembara, melibatkan diri dalam kerja
tenaga berat dan sebagainya.
Perjalanan kualiti kerohanian bagi kaum sufi adalah proses pembersihan dan
pembinaan kewajaan jiwa. Misalnya tuntutan bertaubah dari perlakuan dosa yang
lepas menuntut kekesalan dan maghfirah dari Allah Ta`ala bukan setakat
perluahan kata, tetapi disertai dengan amalan ibadah sebagai kaffarah terhadap
kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan, dan tidak semestinya diterima Allah,
Kesal terhadap kesalahan mengorientasikan jiwa sehingga bertukar watak yang
kalau dahulu bersifat jahat bertukar menjadi wara`, kuat beribadat, zuhud.
Jiwanya seharusnya tertuju benar-benar kepada Allah yang disifatkan sebagai
faqr kepadanya. Wataknya yang dahulu kasar dan bengis menjadi sabar dan dalam
proses yang panjang dia penuh tawakkal dan redha terhadap Allah dengan apa yang
dilalui dan dialami. Proses ini merupakan proses pemurnian yang juga dapat
dilihat sebagai `dzauq` kejiwaan yang dialami.
Selepas melalui proses pemurnian, maka
terbuka diri mengintimi diri kepada
Ilahi seperti merasa kedekatan diri dengaNya, yang membawa kepada mesra,
mushahadah dan mahabbah. Tidak semesti apa yang dilalui mencapai puncak yang
diibaratkan oleh Al-Qushairy sebagai `minuman` dalam bertajalli kepada Ilahi.
Sesungguhnya nikmat kerohanian adalah di dalam perjalanan kualiti,
ketidakjayaan bukan kegagalan, sebaliknya itulah tahap kerohanian dan kurniaan
diberi Allah kepada seseorang menurut kesesuaian. Niat yang baik membuahkan
hasil yang baik, walaupun tidak sempurna kesampaian.
Secara rumusan ini adalah merupakan proses
`dzauq` dan shurb` yang dilalui oleh tokoh-tokoh sufi besar seperti Al-Junayd,
Ibrahim bin Adham, Sulaiman al-Darani, Sari al-Saqati, Bishr al-Hafi, Ma`ruf
al-Karkhi, Sahl bin `Abdullah al-Tustari, Abu `Uthman al-Makki dan ramai lagi.
Dari gemerlap jiwa mereka yang mengalami proses peningkatan kerohnian dan dzauq
yang mendalam terhambur dari mulut
mereka kata-kata yang berharga yang menjadi panduan. Ia adalah sebagai proses
dzauq dan shurb yang dialami mereka. Contoh kepahitan dan kemanisan yang
dilalui ialah sebagaimana pengalaman, penghayatan dan pengluahan yang di alami
oleh Rabi`ah al-`Adawiyyah. Proses
dzauq, shurb dan wajdan tiada pengakhiran bahkan boleh terjadi berulang-ulang
sebagaimana puisi yang dipetik Al-Qushairy bermaksud:
Dia adalah gelas bersama minuman
Tanpa meminumnya kita kekeringan
Hairan, mereka meluahkan kecintaan
Lupa dia dari mendzikiriNya berterusan
Aku meneguk cinta gelas demi gelas
Dahaga berulang dan tak pernah puas !
Sekian.
No comments:
Post a Comment