April 24, 2017

GHAIB DAN HADHIR BERLAKU DALAM KEADAAN BIASA DAN INTIM JIWA


BBB, 26 Rajab 1438H. =  23 April  201`7M. (Ahad):
Dari segi bahasa biasa, maka kedua-dua istilah di atas mudah, iaitu `Ghaib`, iaitu sesuatu yang hilang dan tiada berdepan.  Bermaksud seorang itu hilang daripada keadaan sekeliling, lantaran memberi tumpuan kepada sesuatu. Misalnya minda, jiwa dan dirinya memberi tumpuan terhadap sesuatu, sehingga lupa atau ghaib di dalam istilah tersebut terhadap kelilingnya. Perkara ini adalah biasa terjadi. Misalnya  di bawah tekanan dan tumpuan yang memerlukan seseorang menyiapkan sesuatu tugas, misalnya untuk persediaan menghadapi peperiksaan. Dia mungkin lupa dari makan minum dan lupa ``ghaib` dari keadaan keliling, kerana memberi sepenuh perhatian terhadap pelajaran.
Keadaan juga boleh berlaku, misalnya bukan kerana tekanan, tetapi lantaran kerana terlampau minat dan memberi tumpuan. Misalnya seorang ahli seni yang mengukir atau menghias masjid dengan motif-motif  yang bersifat geometrik atau alam fauna dan flora yang berdiri di atas tangga atau di tempat tinggi, tanpa menyediakan kaedah keselamatan, boleh menyebabkan dia lupa berada ditempat tinggi, dan dalam keadaan asyik dengan alam seni kreatif boleh menjadikan dia terlupa dan bergerak – tanpa keselamatan menyebabkannya berbahaya dan jatuh. Banyak lagi contoh konsep `ghaib` dari ingatan dan tumpuan.
 manakala `Hadhir`, ialah  hadhir dan wujud berdepan . Hadhir di sini adalah dalam maksud sedar, hingga melupakannya dari yang lain. Konsep khusyuk dapat dikaitkan misanya di dalam solat. Bagi yang dapat menumpukan sepenuh jiwa dan konsentrasi dalam bertawajjuh kepada Allah menjadikan dia hadhir dan penuh tumpuan terhadap Allah, sehingga apa yang berlaku di luar adalah tidak di dalam kepeduliannya.  Pernah diceritakan seorang yang khusyuk di dalam solat, tidak terganggu khusyuknya , walaupun ia ditusuk panah. Kesakitan dirasa selepas ia selesai menunaikan  solat dan apabila mata panah dicabut dari badannya.
Menurut Al-Qushairi, `al-Ghaib` ialah ghaib atau hilang hati daripada mengetahui apa yang berlaku daripada ahwal makhluk dengan tumpuan rasa terhadap apa yang datang ke atasnya., kemudian hilang dari sentuhan dengan dirinya dan yang lainnya dengan datangnya ingatan terhadap pahala atau  memikirkan tentang azab sebagai balasan. Contohnya sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Rabi` bin Khaitham, bahawa dia pergi menemui  Ibn Mas`ud r.a., maka dia melalui sebuah bengkel tukang besi, maka dia melihat kepingan besi di atas tempat pembakaran, maka dia pengsan dan tidak sedarkan diri hingga esoknya. Maka tatkala dia pulih dari pengsannya dia ditanya daripada apa yang berlaku. Maka katanya aku teringat terhadap keadaan ahli neraka di dalam api. Maka ini adalah contoh ghaib yang melebihi dari hadnya hingga dia menjadi pengsan.
Dan diriwayat daripada `Ali bin al-Husain, adalah dia dalam keadaan sujudnya, maka dia jatuh  terbakar di dalam rumahnya,  maka dia disoal tentang halnya. Maka katanya, ``Membakarkan daku oleh nyalaan api yang besar. Kemungkinan ianya adalah ghaib dari sentuhan rasanya, ya`ni dikashafkan  dengannya daripada hak Allah Subhanahu wa Ta`ala,
Berbagai pendapat mengenai peristiwa  di atas menurut ahwal mereka itu.
Antara pendapat yang masyhur, bahawa pada permulaan hal, menurut  Abu  Hafs al-Naisaburi, tukang besi meninggalkan bakaran, sedangkan dia di dalam bengkelnya, maka dibaca oleh seorang qari akan ayat Al-Qur`an, maka turun ke atas hati Abi Hafs oleh warid yang melupakannya dari sentuhan rasanya, maka dia memasukkan tangannya ke dalam api dan mengeluarkan kepingan besi yang terbakar dengan tangannya, maka dilihat oleh muridnya yang demikian, maka katanya, ``Ya ustadz apakah ini ?``. Maka dilihat oleh Abu Hafs apa yang nyata berlaku kepadanya, maka ditinggalkan bengkel bakarannya.
Contoh seterusnya tentang  ghaib, Adalah Al-Junayd duduk dan di sampingnya isterinya, maka masuk kepada mereka Al-Shibli, Maka isterinya mau melindungkan dirinya, maka berkata kepadanya Al-Junayd, ``Tidak ada masalah bagi engkau dengan kehadiran Shibli, duduklah. Dan berterusan Al-Shibli bercakap dengan Al-Junayd hingga menangis Al-Shibli. Berikut dari tangisnya berkata Al-Junayd kepada isterinya, berlindunglah, sesungguhnya Al-Shibli telah pulih dari ghaibnya.
Adapun tentang hadhir  (hudhur),
Maka sesungguhnya hadhir dengan hak, kerana apabila ia ghaib daripada makhluk, maka dia hadir dengan haq, dengan makna seolah-olah dia hadir, yang demikian kerana mengatasi dzikir al-haq di atas hatinya, maka dia hadir dengan hatinya mendepani Allah Ta`ala, menurut kadar ghaibnya daripada makhluk dan dia hadir dengan yang haq. Maka jika dia ghaib dengan keseluruhan, maka kehadirannya menurut kadar keghainbannya.
Maka jika dikatakan seorang itu hadhir, maknanya dia hadhir dengan hatinya kepada Tuhannya tanpa lalai daripadanya, bahkan dikatakan ia dimukashafah dengan  hatinya oleh Allah menurut tahap hadhirnya.
Al-Qushairy, membawa contoh, bahawa Dhu al-Nun al-Misri menghantar seorang muridnya untuk menyampaikan sesuatu kepada Abu  Yazid. Setibanya murid berkenaan di kediaman Abu Yazid, murid tersebut  bertanyakan penghuni rumah untuk menemui Abu Yazid. Penghuni rumah menjawab, dia tidak mengenali Abu Yazid dan juga dia mencari Abu Yazid. Oleh kerana tidak diketemui Abu Yazid, murid berkenaan pulang dan melaporkan kepada gurunya dia tidak menemui Abu Yazd dan penghuni rumah yang ditanya tidak mengetahui Abu Yazid.
Mendengar jawapan muridnya Dhu al-Nun menangis, menyedari yang Abu Yazid di dalam hadhir terhadap Allah dan melupai yang lain.
Mesejnya, ialah bahawa hadhir dapat berlaku kepada seseorang `abid yang mempunyai peringkat jiwa yang tinggi dan tertumpu sepenuh perhatian terhadap Allah Subhanahu wa Ta`ala, misalnya di dalam munajat, solat, do`a dan sebagainya.
Jika ghaib dan hadhir boleh berlaku di dalam suasana kehidupan biasa bagi yang menumpukan sepenuh minda, jiwa dan raga, maka demikian juga dia dapat berlaku bagi `abid yang bersih jiwa dan menumpukan sepenuh diri, jiwa, minda dan konsentrasi terhadap Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment