April 18, 2017

ISTILAH MAQAM DAN HAL


BBB, 20 Rajab 1438H. = 17 April 2017M. (Isnin):
Dua istilah di atas adalah istilah yang penting di  dalam pembicaraan tasawuf. Pengarang tasawuf yang awal yang menampil dan membicarakan persoalan mengenai ahwal dan maqamat ialah Abu Nasr al-Sarraj di dalam bukunya yang berjudul Al-Luma`, dan diulas lebih detail oleh Al-Kalabadzi di dalam bukunya Al-Ta`arruf. Menurut  Al-Sarraj:
``Ahwal ialah suasana yang dialami hati dari segi ketasawufan.``
Dan al-Junayd menambah, ``Suasana yang dialami hati ini tidak kekal dan mungkin bertukar kepada situasi yang lain.
Dan Al-Kalabadzi menambah, ``Hal bukan sesuatu yang disungguhi dalam mendapati seperti melalui mujahadah, ibadat dan riyadiyyat, sebagaimana yang berlaku bagi maqamat.
Ada yang membezakan antara hal dan maqam, bahawa hal ialah suasana yang berlaku pada hati, seperti muraqabah, qurb (dekat), mahabbah, takut,, harap, shauq, al-uns, tama`ninah, mushahadah, yakin dan sebagainya.
manakala maqam ialah maqam hamba berhadapan dengan Allah Ta`ala  daripada ibadat, mujahadah dan riyadhat seperti taubah, wara`, zuhud, faqr, sabar, tawakkal, redha dan sebagainya.
Walau bagaimana perbezaan antara hal dan maqam tidak begitu jelas dan adakala semacam berlaku pertindihan. Sebab itu Al-Kalabadzi umpanya tidak memecahkan persoalan kepada hal dan maqam sebagaimana dilakukan oleh Al-Sarraj. Demikian dengan  Al-Qushairy juga tidak memecahkan persoalan kepada dua kategori berkenaan. Sebaliknya persoalan maqam dan hal dirangkum pembicaraan sebagai sebahagian daripada istilah-istilah kesufian. Bahkan aspek-aspek yang dikategorikan oleh al-Sarraj di bawah ahwal dan maqamat disekalikan pembicaraan di bawah aspek-aspek maqamat.
Al-Maqam sebagai satu istilah kesufian, kata Al-Qushairy:
``Maqam ialah apa yang ditahqiq oleh seorang hamba dengan pentahapannya dari segi adab dari apa yang dia sampai kepadanya dengan jenis keadaan yang dialami (tas*arruf) dan dia tahqiq dengannya dengan apa yang dituntut dan ujian-ujian yang dilalui. Maqam bagi seseorang ialah tempat yang dia capai dan berada. Iaitu hasil dari kerjanya dengan riyadhah (latihan) bagi  memenuhi syarat-syaratnya.
Maqam sebagai tempat yang dicapai, maka dia berubah atau meningkat dari satu maqam kepada maqam yang  lain selama dia tidak melengkapi keperluan maqam berkenaan. Kerana siapa yang tidak bersifat qana`ah baginya, maka tiada sah baginya tawakkal, dan siapa yang tidak ada tawakkal baginya tidak sah baginya penyerahan. Demikian siapa yang tidak bertaubat baginya, maka tidak sah inabah baginya, dan siapa yang tidak ada wara` tidak sah baginya zuhud.
Dan maqam ialah tempat pendirian atau tempat yang dia masuk dan berada padanya. Dan tempat keluar. Maka tidak sah bagi seseorang berubah maqam, melainkan dengan shuhud diletakkan baginya oleh Allah kepadanya kepada sesuatu maqam, agar dengannya sah baginya maqam menurut binaan yang sah.
Bergandingan dengan maqam ialah hal atau ahwal.
Al-hal, menurut pendapat kalangan sufi, ialah makna atau suasana yang datang kepada hati di luar jangkaan dan tanpa sengaja, tidak dengan tarikan dan tiada usaha dari rasa gembira atau duka, rasa lapang atau kesempitan atau shauq atau bimbang, gerun atau goncang.
Disimpulkan bahawa  ahwal ialah kurniaan, manakala maqamat dari kesungguhan.
Ahwal datang dengan `ayn wujud dan maqamat terhasil dengan usaha yang dilakukan.
Yang bermaqam berada pada maqamnya dan yang berhal boleh berpindah dari halnya.
Disoal Dhu al-Nun al-Mis*ri  dengan siapa `al-`arif`. Maka katanya. ``Dia adalah di sini, dan dia pergi.``
Berkata setengah shaykh, bahawa al-ahwal seperti kilat, maka jika ia kekal, maka dia adalah pembaharuan dirinya.``
Dan kata mereka  itu, `ahwal` seperti  pertapakan di hati dan berlalu pada waktu itu.``
Lalu mereka berpuisi:
Jika ia tidak menghilang tidaklah hal dinamakan
Maka setiap yang berubah maka dia adalah hilang
Lihat pada yang sementara apabila habis  masa
Apabila tidak berlalu, maka dipersoal `hal` apa ?
Ada yang menyimpang pendapat yang mengatakan hal kekal, maka yang tak kekal adalah seperti lintasan, tetapi jika berterusan maka dia adalah hal. Namun pendapat ini kurang disetujui, lantaran menjadikan hal dan maqam  bertindih pendapat.
Tentang ahwal  disoal kepada Al-Junayd, maka dijawab secara berpuisi:
Pancaran cahaya terpantul nyata
Yang tersembunyi ternyata semua.
Sesungguhnya  maqam dan ahwal dua mekanisme ukuran subjektif yang sukar ditentukan secara kualiti dari segi banyak sedikit. Dia adalah berdasarkan pertanda-pertanda. Namun antara keduanya maqam lebih mudah ditanggapi dan dikenalpasti, berlainan dengan ahwal lebih kepada lintasan yang berlalu dan sukar ditentu. Sebab itu ada yang mengelak dari menyusun aspek ahwal sebagaimana dapat disusun  aspek-aspek maqamat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment