BBB, 23 Rajab 1438H. = 20 April 2017
(Khamis):
Ada kesamaan elemen antara proses seni kreatif
dan seni rohani, bahkan dari segi penggunaan istilah seperti tawajud dan wajdan
ada kesamaan. Ada semacam kebebasan dalam proses kreatif dan ada kecenderungan
ke arah sedemikian dalam pengungkapan seni rohani, tetapi ianya hendaklah
dikawal dengan akidah.
Bagi memahami konsep di atas dan ada
hubungan dengan persoalan-persoalan kerohanian yang lain, maka diperturunkan
rajah tiga segi berikut dan kaitan dengan persoalan yang diperkatakan:
Akidah
I-
/ I *
Tasawuf / l *
Estetika
/ l *
/ l *
/ l *
/
----------------l------------------*-
Shari`ah
ISLAM
Bagi membincangkan istilah tawajud, wajdan dan wujud, perbincangan
kembali bertolak dari skema tasawuf di
dalam Islam dan dimanakah kedudukan istilah-istilah berkenaan.
Dalam rajah tiga segi di atas yang melambangkan Islam, maka di dalam Islam
kedudukan akidah adalah paling penting dan utama dan dilambangkan kedudukannya
paling atas. Tanpa akidah atau rosak akidah merosakkan komponan yang lain,
lantaran itu semua aspek yang lain hendaklah menyelaraskan diri dengan akidah.
Semua yang lain akan rosaak jika tidak betul dari segi akidah. Tidak betul atau
rosak akidah menyebabkan seseorang itu terpinggir dari Islam. Kesempurnaan
akidah ialah dengan mempelajari ilmu akidah agar iman
adalah betul.
Komponen seterusnya yang penting ialah
shari`ah. Seorang Islam mestilah mengamalkan rukun-rukun Islam secara betul.
Amalan seseorang juga adalah bergantung dengan
kesempurnaan pegangan akidah.
Manakala komponan ketiga ialah tasawuf yang
diistilah di dalam Hadith riwayat Abu Hurairah, sebagaimana Rasulullah s.a.w.
menjawab pertanyaan Jibril berhubung dengan, apa itu, iman, Islam dan ihsan. Tasawuf
adalah merupakan pecahan dan huraian lanjut dari ihsan dan bukan suatu kemestian yang perlu
dipelajari, tetapi dia adalah merupakan pemurnian yang lahir dari penghayatan
terhadap akidah, shariah dan lebih-lebih lagi tasawuf. Dalam kata lain kedalaman terhadap
bidang-bidang berkenaan membentuk dalam jiwa semarak rasa kagum terhadap kekuasaan
Allah, kagum terhadap ciptaanNya yang
indah atau gerun terhadap bala bencana dan kemusnahan yang berlaku. Ini
menimbulkan berbagai-bagai perasaan dalam
menghayati, mengkagumi dan kegerunan yang menghidupkan rasa yang boleh tumbuh
dan berkembang apa yang diistilah tanggapan yang intuitif dan halus yang dikenali sebagai tanggapan yang
bersifat seni.
Cetusan yang bersifat seni juga lahir dari
elemen yang bersifat ta`abbudiyyah. Kesetiaan terhadap perintah Allah, keharuan
di dalam menjalankan ibadat seperti haji dan contoh anjuran-anjuran agar hidup
dalam keadaan bersaudara di kalangan Islam dan tolong menolong antara manusia
menimbulkan kekaguman terhadap kemurnian Islam mencetuskan rasa indah dan
mengkagumi kesempurnaannya.
Cetusan halus dan murni dan lebih tinggi
adalah lebih ketara dari ilmu tasawuf. Ilmu tasawuf sebagai ilmu memurnikan
diri, mempunyai pendekatan bagi menyucikan diri dalam mendekati Ilahi, iaitu
dengan meningkatkan kualiti diri dari aspek-aspek maqamat dan ahwal sebagai
satu pendekatan tasawuf. Dari segi maqam seperti taubat, wara`, zuhud, faqr,
sabar, tawakkal dan redha.
Begitu juga peningkatan dari segi ahwal
sepert muraqabah, qurb, khauf, raja`, al-uns, mahabbah, shauq, tama`ninah,
mushahadah dan yaqin.
Praktis rohani di dalam aspek-aspek maqamat
dan ahwal memurni dan menggarapkan kehalusan jiwa dan rohani di dalam mendekati
Ilahi. Dalam kata lain ianya mencetuskan
intuisi rohani sebagai estetika
rohani yang tinggi dari segi tanggapan dan pengungkapan. Adalah sesuatu yang
normal dan biasa hasil dari pengalaman intuitif dan rohani ini menjadikan
kalangan sufi mengungkapkan kehalusan rasa di dalam bentuk-bentuk puisi yang
biasanya kental dengan pandangan dan indah dari segi ucapan. Bahkan dapat
dikatakan bahawa penyair-penyair Islam yang terkenal adalah penyair-penyair
sufi. Mereka ialah seperti Maulana
Jalaluddin Rumi yang terkenal dengan puisi `Seruling Jerami`, Shamsuddin
Muhammad Hafiz yang terkenal dengan gubahan Rubai`nya yang indah, Rabi`ah
al-`Adawiyyah dengan Cinta ilahi. Dan ramai lagi seperti Sa`di, Jami, Firdausi,
Iqbal dan Amir Hamzah.
Puisi-puisi mereka adalah mencapai
peringkat estetika yang tinggi yang puncaknya mengarah kepada Ilahi.
Istilah-istilah yang dibicarakan oleh Al-Qushairy iaitu tawajud, wajdan dan wujud adalah
manifestasi yang bersifat intuisi rohani dan proses perjalanan kualiti kepada
Ilahi.
Persoalan wajdan , ialah pengalaman estetika
hasil dari tanggapan kasih, cinta ,
mesra dan kagum. Warna rasa dan gejolak dalaman mempengaruhi pejalan kualiti
rohani dan terluah dalam ungkapan yang menggambarkan pengalaman dalaman
ini. Sentuhan ini terluah dalam kata
yang indah, jika pengungkapnya seorang yang mahir berbahasa, lantas terungkap
dalam kata gubahan puisi yang indah. Istilah tawajud adalah gambaran `pergi
datang` dan berbolak baliknya tanggapan dan lintasan berkenaan. Ianya peringkat
belum matang dalam tanggapan. Sebagaimana kata Al-Qushairy, jika sempurna
tawajud adalah merupakan wajdan. Dari wajdan melahirkan daya kreatif yang
menyampaikannya kepada penghasilan sesuatu seperti ungkapan yang merupakan
dapatan (wujud). Misalnya dalam susunan kata prosa yang membawa mesej tertentu
atau dalam ungkapan puisi. Contoh puisi penyair Al-Mu`tazz yang begitu indah:
Basah
gelas oleh jernih bekas
Bintik mutiara singgah pada emas
Takjub kaum melihat keindahan
Cahaya air merah anggur berpantulan
Adalah warisan klasik Iram silam
Dari perbendaharaan Kisra warisan.
Untuk melahirkan ungkapan seindah di atas,
penyair menanggapi, berimaginasi dan bertamsil ibarat dari elemen
sejarah Parsi gemilang silam
keperbadingan gelas dan anggur, mutiara
dan emas yang mencetus pengalaman estetika yang indah dan seni.
Tawajud dan wajdan di dalam tasawuf adalah
mempunyai kesamaan proses yang menyampaikan kepada sesuatu tanggapan. Dia
berada di dalam suasana hal yang menggerakkannya kepada maqam-maqam yang
merupakan dapatan dan pencapaian. Perlu diingat proses menuju kepada apa yang
diistilahkan sebagai dapatan, katakan `mushahadah` adalah bersifat tanggapan rohani
yang tidak mungkin berlaku dalam realiti, kerana, jika demikian ia melanggar
aspek akidah yang menjadi pemutus yang hak dan mutlak antara benar dan batil.
Sekian.
No comments:
Post a Comment