BBB,
22 Rajab 1438H. = 19 April 2017M. (Rabu):
Istilah Haibah yang dapat diertikan sama
maksud dalam bahasa Melayu`haibat` manakala istilah al-uns dapat diertikan sebagai `mesra` atau jinak,
adalah gambaran hal atau watak pada satu pihak yang terbina pada seorang sufi
yang keduanya adalah kontradik. Pada satu pihak haibah dan uns adalah imej yang
terumus yang dapat ditanggap terhadap Pencipta yang mengukuhkn keyakinan dan
memesrakan pendepanan.
Menurut Al-Qushairi, haibah dan al-uns,
kedua-duanya berada pada tahap yang lebih tinggi daripada al-qabdh dan al-bast
sebagaimana yang telah dibicarakan yang bererti juga bahawa al-qabdh berada
lebih tinggi daripada al-khauf dan al-uns pula berada lebih tinggi daripada
al-raja`.
Apakah yang membina haibah ? Jika dilihat pada watak seorang, maka dia
adalah aura yang terbina pada seseorang. Tetapi haibah ini bukan tuntutan dan
pencarian, tetapi adalah sebagai imej yang terbina pada seseorang, katakan pada
diri sufi. Misalnya pada diri berkenaan
dilihat haibat dari segi perwatakan dengan pakaian yang melambangkan
kewarakannya. Pembawaan dan peribadinya yang tinggi. Dia seorang yang kuat
beribadat dan seorang yang berilmu pengetahuan zahir dan rohaninya.
Kata-katanya berhikmah dan menarik perhatian yang dari kata-katanya mencerminkan
kegemerlapan batinnya. Bila dia berada
di dalam majlis, seperti majlis ilmu, apa lagi jika dia sendiri mengajar, maka
ianya di kelilingi murid-murid yang setia menerima dan memungut kata-katra dan
keilmuan yang dihamburnya. Dapat dikatakan bahawa dia dihormati dan disanjungi,
maka dia dipandang haibah.
Berbanding dengan sebuah lagi istilah yang
kelihatan kontradik dengan haibah yang padanya juga ada unsur gerun, takut dan
disegani, tetapi al-uns yang bersifat
mesra yang merupakan aura yang juga terbina pada watak pada seseorang tokoh
sufi. Dia dipandang sebagai seorang yang bersih, murni bersifat lemah lembut,
amat sopan dan tinggi dengan akhlak.
Kemesraan yang terpancar darinya menyebabkan ia amat mudah didekati. Jika pada
haibah ada semacam kekuatan yang menggerunkan, maka pada al-uns, ialah
kelembutan yang mencairkan. Dia juga mempunyai daya tarikan yang mempengaruhi,
bahkan dengan sifat lemah lembut, jinak dan mudah didekati mudah pula menarik
pengikut-pengikut dan jika dia juga melibatkan diri dalam pengajaran, bimbingan
dan sebagainya mudah bagi watak sedemikian manarik pengikut-pengikut dan mereka
yang sanggup menjejakinya. Kedua-dua yang disebutkan bukan dibuat-buat, tetapi
adalah terbina dari orientasi kehidupan, amalan dan mujahadah yang dilalui
sehingga terbina menjadi identiti.
Baik haibah dan al-uns dapat dilihat kepada
dua aspek, iaitu aspek lahiri dan maknawi.
Aspek lahir ialah aspek-aspek yang dapat
dilihat awra wataknya dari segi luaran. Melihat pada segi fizikal yang tampan
(tidak semesti), berjanggut putih dan berjamban yang menambahkannya segak dan
tampan dengan pakaian yang kena dengan pembawaan dan peribadinya berserban,
berjubah putih dan bila berjalan segak dan tampan. Bila berada di dalam majlis,
seolah-olah dialah yang ketara kelihatan, sedang yang lain walaupun sama berada
tidak diberi perhatian.
Manakala aspek maknawi atau boleh
diistilahkan juga sebagai aspek batin ialah awra dalaman yang terpancar pada
watak individu berkenaan. Sebagai contoh dia adalah seorang yang berilmu
pengetahuan, kaya dengan ciri-ciri dan sifat-sifat rohani. Seorang yang kuat dan tekun beribadat.
Jika dia bercakap, misalnya melalui pengajaran ketara keluar darinya kata-kata
dan pengajaran permata kata yang bersifat nasihat, tinggi dari segi falsafah dan
diminati ramai dengan pengajarannya. Dia menjadi ikutan bagi pengikut-pengikutnya.
Sudah pastilah, dibandingkan antara aura
lahir dan maknawi, maka aura maknawi lebih bermakna, bererti dan lebih tinggi.
Bahkan jika tiada aspek maknawi dan dengan adanya aura lahiri sahaja, maka
tidak terbina dari segi kehebatan.
Sebagaimana haibah dapat dilihat dari segi
lahiri dan maknawi, maka demikianlah dengan al-uns. Dia dapat dilihat dari segi
lahiri yang watak individu berkenaan kelihatan fizikalnya menarik, bersih, manis muka dan mudah didekati. Dari segi
maknawi dapat dikatakan bahawa dia juga mempunyai keilmuan yang juga tinggi, juga
dia disenangi. Dengan akhlak dan peribadinya yang lembut dia juga mempunyai
ramai pengikut.
Kedua-dua sifat haibah dan uns mempunyai
kekuatan sendiri, dari segi luar dan dalaman. Kedua-dua adalah sifat-sifat terpuji. Ianya mungkin
sifat berasingan bagi sekurang-sekurangnya bagi kedua individu berlainan,
tetapi sifat-sifat yang kelihatan bertentangan itu, mungkin secara integrasi berhimpun pada satu watak. Pada watak ini
dilihat aura hebat, tetapi juga dari segi yang lain dia juga bersifat uns dan
mesra serta disukai semua.
Dilihat dari segi kesufian baik sifat
haibah, uns dan sifat-sifat positif yang lain yang terbina pada individu hamba,
bukanlah menjadi tujuan yang dicari dan seharusnya bukan dari agenda secara
sedar dicari. Fokus utama dari segi lahiri dan maknawi , ialah menjadikan diri
dan peribadi Rasulullah sebagai uswah diri dan pada tingkat yang lebih tinggi
yang juga melengkapi dari segi lahiri ialah menghayati kehaibatan Allah dan
juga mesra, kasih sayang dan rahmatNya kepada makhluk. Ini adalah sebagaimana
difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala yang bermaksud``Adalah bagi kamu
pada Rasulullah s.a.w. adalah contoh teladan yang baik.`` (Al-Ahzab: 21).
Baginda menjadi contoh bagi segala aspek,
baik zahir dan batin. Dan mencontohi Rsulullah s.a.w. ialah mengikuti dan mengamalkan
apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang antaranya terkandung di dalam
Al-Qur`an dan Hadith-Hadith Baginda.
Fokus yang paling utama ialah menyedari dan
menghayati kehebatan Allah Subhanahu wa Ta`ala yang kita mengimani dan
meyakininya. Bahawa Allah Subhanahu wa Ta`ala adalah mempunyai kehebatan
tertinggi baik dari segi lahir dan batin. Allah Subhanahu wa Ta`ala menyebut
kehebatan tentang dirinya di dalam ayat-ayat Al-Qur`an. Dialah Tuhan yang Berkuasa,
Berkehendak, Mencipta, Menghidup dan Mematikan, Membangun dan meruntuhkan. Dia
akan membalas mereka yang melakukan kejahatan dengan balasan neraka.
Sesungguhnya kehebatan Allah tiada tandingan.
Di samping kehebatan Allah juga bersifat
Mesra, memberi rahmat dan kasih sayang kepada makhluk, memberi rezeki,, memberi
kehidupan dan kesihatan. Memberi panca indera kepada makhluk, khususnya kepada
manusia. Dengan itu dia dapat menikmati keindahan yang dicipta Tuhan dan
mensyukuri dengan kuniaan dan segala amalan baik yang dikerjakan, insya Allah
dibalas dengan syurga, puncak segala nikmat yang dikurniakan.
Sebagai
kesimpulan bahawa kehaibatan dan kemesraan yang dihayati hamba di alam
ini seharusnya menjadi panduan dan rangsangan bagi memahami dan menanggapi
kehebatan, keagungan dan kemesraan Allah. Kehebatran pada hamba dan kemesraan
adalah nisbi berbanding kehebatan dan kemesraan Ilahi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment