BBB,
27 Rajab 1438H. = 24 April 2017M. (Isnin):
Istilah kesufian selanjutnya yang disusun
oleh Al-Qushairy ialah al-S*ah*wu dan al-Sukr. Kita terjemahkan kepada `Sedar`
dan `Mabuk`.
Istilah al-sahwu boleh juga diterjemahkan
kepada `jaga`, tetapi dia mungkin dianggap sebagai lawan bagi `tidur`, tetapi
sedar adalah lebih daripada makna jaga.
Kita, khususnya manusia di dalam kehidupan
secara normal mengalami dua situasi utama, iaitu sedar dan tidak sedar. Tidak
sedar adalah sebab tidur dan hilang ingatan.
Istilah Sedar dari segi lughah mempunyai
martabat-martabat.
Martabat biasa bagi seseorang, bahawa dia berada di dalam keadaan
normal, rasional, tidak lupa dan menjalankan aktiviti dan komunikasi seperti
biasa seperti pergi bekerja, menjalankan urusan, pulang dan rehat dan
berinteraksi dengan masyarakat seperti hadir ke majlis jemputan kahwin dan ke
masjid dan surau beribadat dan menggunakan masa istirihat bersama keluarga dan
sebagainya.
Sedar yang lebih tinggi, ialah kesedaran yang beserta dengan ilmu
pengetahuan. Kesedaran yang demikian jika dilakukan ialah berdasarkan ilmu dan dengan demikian bila
dilakukan sesuatu amalan, maka amalan dan pekerjaannya lebih baik. Orang yang
beribadat berdasarkan keilmuan yang dipelajari, maka ibadatnya lebih baik dan
sempurna, dan insya Allah amalannya diterima Allah dan mendapat ganjaran yang
lebih tinggi, bahkan menjadi panduan dan ikutan yang lain. Kesedarn berdasarkan
ilmu juga di dalam bidang-bidang kehidupan. Misalnya seorang menjalankan
perusahaan perniagaan atau pertanian lebih berjaya dari orang yang tidak
berilmu. Tahap tertinggi, ialah kesedaran orang yang berilmu, pakar dan berada
pada peringkat kepimpinan pada tahap tinggi dan menerajui bidang-bidang
kepakaran masing-masing.
Di sebalik kesadaran ialah yang tidak sedar, lalai dan lupa dan lebih
daripada itu orang yang tidak berakal. Kedudukan orang yang sedemikian ini
tentulah pada tahap bawah. Amal dan kerjanya tidak dapat diterima dan mungkin
tidak memberi hasil yang baik. Sekiranya ianya tidak berakal, maka dia
terkeluar dari taklif.
Adapun yang diperkatakan oleh Al-Qushairy,
ialah persoalam sedar dan sukr. Sedar menurutnya ialah sedar selepas berlakunya
ghaib (ekstrim) sebagaimana yang telah diperkatakan sebelum ini. Bagi memahami
aspek ini kita melalui aspek seni, bahawa untuk masuk ke alam seni dan mampu
menghasilkan sesuatu hasil seni yang bermutu, katakan seni puisi, khat atau
seni ragam hias bersifat geometrik, alam fauna dan flora, bahawa seorang
seniman tidak dapat menggubah atau mencipta selain dari berilmu perlu mood dan
situasi intuitif yang dapat meningkatkannya dari level biasa, ke level seni
yang menggetarkan jiwa seninya. Dikala itu baru dapat dia menanggapi ilham, dan
dapat menggubahkan dengan sesuatu yang
teradun dengan elemen seni. Proses dan pengalaman seni ini memerlukan masa dan tambahan masa. Penggubah perlu berada
di dalam alam seni yang mengharu, sedih, pilu, gembira, kudus, halus dan
berbagai lagi. Mood seni ini kadang-kadang menghanyutkan si penggubah ke level
yang dia terangkat dari suasana biasa. Alam seni dan suasana mempengaruhi watak
dan pembawaan ahli seni. Watak mereka
antaranya tidak normal, pelik dan hanyut dalam alam seni yang boleh disifatkan
mereka `kemabukan rasa`.
Dengan memahami proses seni dan ciptaan
yang bersifat alamiah, maka sebagaimana pernah kita katakan bahawa tasawuf dan
elemen yang ada di dalamnya ada semacam persamaan dengan proses ketasawufan – seni rohani intuitif dan wajdan
yang bersifat kudus.. Proses tasawuf, selain dari memerlukan bekalan keilmuan
Islam yang seharusnya luas, sebenarnya juga melalui proses penghayatan intuitif
dan wajdan, termasuk proses menghayati aspek-aspek alamiah secara rohani yang
menyedar dan hadir dalam diri tentang kekuasaan, kebesaran, keindahan dan
keagungan Tuhan, Proses yang dilalui berbagai-bagai aspek ahwal dan maqam,
misalnya dari taubat, takut, harap,
sabar, syukur, taqwa dan redha adalah proses konsentrasi dan rohani dalam menyucikan diri dan hati – termasuk melalui
ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah yang pada puncaknya distilah sebagai cinta Ilahi.
Cinta Ilahi ialah usaha mendekati dan intim
diri dengan Allah dan mencari keredhaan. Dalam mana seorang hamba beribadat
dengan penuh ikhlas serta melakukan segala perintah Allah dengan penuh mesra
dan cinta. Orang yang cinta sanggup melakukan apa saja bagi mendapat keredhaan yang dicintai. Dia dengan penuh
mesra berzikir, bertahmid, bertahlil, bertabhil, dan jika dia seorang penyair,
terluah darinya ungkapan-ungkapan puisi cinta Ilahi yang indah yang ramai dari
penyair sufi menggubah puisi-puisi cinta Ilahi. Seperti Rabi`ah al-`Adawiyyah
dengan cinta Ilahinya, bahawa cintanya bukan kerana maukan syurga dan tidak
kerana takutkan neraka, tetapi cintanya kepada DzatNya semata, atau cinta
Ketuhanan Jalaluddin Rumi yang mendayu-dayu rindu untuk kembali kepada Ilahi
yang darinya kita datang dilambangkan dengan `Seruling Bambunya.
Walau bagaimana tumpuan sepenuhnya terhadap
sesuatu, khususnya `Cinta Ilahi` boleh membawa kepada tingkatan yang lebih dari ghaib yang disebut sebagai `Sukr ` (mabuk).
Peringkat yang menghilangkan sedar, sebagaimana dialami oleh Al-Hallaj yang
membawanya mengungkapkan perkara-perkara yang kontroversi dari segi akidah. Sebab itu Al-Hallaj ditolak oleh kalangan
ulama`, termasuk dari kalangan sufi, walaupun ada sebahagian yang membelanya sebagaimana pernah diperkatakan.
Jadi peringkat `sukr` (mabuk) adalah
peringkat ekstrim dari segi ghaib hingga
ianya kembali sedar, sebagaimana
diungkapkan dalam puisi dipetik oleh Al-Qushairy:
Apabila subuh menyinsing maka bintang
istirahah
Sedar kembali baginya dari mabuk menggugah.
Pengalaman sedemikian juga berlaku di
kalangan orang seni yang terbawa di dalam kehidupan secara tidak keruan yang
tentulah tidak cocok dengan cara kehidupan normal.
Berakal dan rasional neraca pertimbangan
dalam Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment