April 28, 2017

MASALAH AL-SITR DAN AL-TAJALLI: MEMAHAMINYA


BBB, 30 Rajab 1438H. =  27 April 2017M. (Khamis):
Dua istilah yang agak rumit untuk dihuraikan. Istilah ini dapat dirujuk kepada Al-Qur`an antaranya  untuk  `al-sitr` bermaksud:
``Dan semasa kamu berselindung ketika melakukan dosa di dunia dahulu, bukankah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan dosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu) – (Fussilat: 22).
Al-Sitr  (berselindung atau tersembunyi) bermakna  seperti sirr yang popular penggunaannya dalam tasawuf. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan jika engkau kuatkan suara (nyaringkan) dengan  do`a permohonanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui yang  sirr (rahsia) dan tersembunyi.`` (Taha: 7).
Manakala bagi perkataan `tajalli`, seperti firman Allah bermaksud:
``Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang kami telah tentukan itu dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa merayu dengan berkata, ``Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepada aku (akan DzatMu yang Maha Suci), supaya aku dapat memandang kepadaMu.`` Allah berfirman, ``Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi lihatlah ke gunung itu, maka jika ia tetap berada pada tempatnya, nescaya engkau dapat melihatKu.``
Maka tatkala Tuhannya `Tajalli` (menzahirkan kebesaranNya), kepada gunung itu, maka tajalliNya menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia, ``Mahasuci Engkau, wahai Tuhanku, aku bertaubat kepadaMu dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)``, (Al-A`raf: 143).
Daripada ayat Al-Qur`an dapat difahami makna:
Al-Sitr = Suatu yang rahsia (terlindung)
Al-sirr = Mendekati makna al-sitr yang bermaksud tersembunyi dan rahsia.
 Tajalli =  menzahirkan, memanifestasikan.
Dari petikan di atas kita berdepan dengan maksud `rahsia`, tersembunyi, sesuatu yang tidak nyata dari segi pandangan. (Allah tidan dapat dilihat secara alamiah nyata).
Dan dari petikan ayat Al-Qur`an di atas Nabi Musa secara naluri berkeinginan melihat ``Allah`. Allah memeberitahunya ianya tidak mungkin. Allah memperlihatkan kebesaraNya dengan menyuruh Nabi Musa melihat ke arah bukit, maka dengan tajalliNya bukit menjadi hancur lebur dan Nabi Musa jatuh pengsan. Dia tidak mampu melihatNya.
Apa yang mau diterangkan oleh Al-Qushairy dengan dua istilah di atas, al-sitr  dan tajalli.
Katanya, `Al-Sitr, ialah istilah yang digunakan bagi kalangan awam, tertutup bagi al-sitr, dalam erti kata tersembunyi.
Dan khas, berterusan tajalli, tidak tertutup.
Menurut Al-Qushairy, sebagaimana di dalam khabar, bahawa Allah Subhanahu wa Ta`ala apabila bertajalli kepada sesuatu, maka khusyuklah orang yang tertutup dengan gambaran syuhudnya dan yang bertajalli (sahib al-tajalli).
Bagaimana konsep  tajalli dimaksudkan oleh Al-Qushairy bagi kalangan sufi ? Sedangkan Nabi Allah Musa tidak mampu melihat Tuhan dan apabila Dia bertajalli, bukit hancur lebur dan Nabi Musa jatuh pengsan.
Dari segi akidah tauhid, bahawa melihat Allah dengan mata kepala, terutama di dalam dunia adalah tidak mungkin, lantaran tidak mungkin yang abadi berada bersama dengan yang baharu dan fana. Kecuali di akhirat sebagaimana digambarkan di dalam ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Wajah-wajah mereka yang berseri pada masa itu melihat kepada Tuhannya.`` (Al-Qiyamah: 22-23).
Menurut Ibrahim al-Laqqani di dalam al-Jauharat al-Tauhid menyatakan di dalam bait bermaksud:
``Daripadanya melihat dengan mata jelas
Akan tetapi ianya tanpa kayfiyat dan batas.
Ertinya penglihatan yang layak bagiNya. Ini merupakan pendapat kalangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, tetapi bagi Mu`tazailah tidak mungkin berlaku penglihatan antara yang Qadim dan Kekal dengan yang baharu dan binasa.`
Baik pada kalangan sufi dan orang awam, bahawa tidak mungkin melihat Allah dengan secara mata kasar, sebagaimana jelas dari peristiwa yang berlaku pada Nabi Musa di Bukit Tursina.
Kemungkinan yang lain Tajalli Allah kepada manusia antaranya:
Tajalii Akliah:
Melalui akal, dalam mana kita memahami wujud Allah melalui ilmu yang dengannya kita memahami konsep ketuhanan yang dari bukti-bukti akliah kita meyakini.
Tajalli Alamiah:
Kita melihat kejadian alam sebagai ciptaan Allah yang indah, maka kita mengkagumi dan menghayati, maka dengan penghayatan kita membesarkan Pencipta yang tajalli melalui ciptaanNya yang indah dan mengkagumkan.
Tajalli Hati-Rohani
Kita menerima rahmat dan kurniaan Allah yang banyak. Kita bersyukur, bahkan mengasihi dan mencintaiNya sehingga kepada peringkat tertinggi Cinta Ilahi, lantaran kita bukan saja memahami, menghayati bahkan mesra dan mencintaiNya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment