April 17, 2017

CORETAN TENTANG WAKTU: ANTARA PENDAPAT SUFI


BBB,  19 Rajab 1438H. = 16 April 201`7M. (Ahad):
Antara perkara yang berhubung dengan lafadz atau lebih tinggi istilah ialah perkara yang berhubung dengan  `Waktu`  yang turut dibicarakan oleh sufi. Waktu iaitu satu eleman yang kita tidak dapat pisahkan diri daripadanya. Kita hidup di dalam waktu. Setiap pagi kita bangun dari tidur, kita tidak dapat lari dari waktu – menjelang subuh, kita berada di dalamnya dan kita bergerak bersamanya, bahkan berenang bersama arusnya – arus waktu. Bersolat secara berjamaah, bersama menumpukan perhatian terhadap tadzkirah berasaskan firman Allah atau sabda Rasulullah. Lantas selepas bersalam-salaman sesama jama`ah, masing-masing secara tenang bergerak menuju tangga surau tua dan membilang anak-anak tangga melangkah ke bawah memakai selipar dan bergerak turun seorang demi seorang menapak pulang ke kediaman masing-masing  dengan waktu tetap mengiringi dan mengisyaratkan bahawa matahari mulai memecahkan tabir malam dan menebarkan cahaya pagi ke ruang maya, walaupun masih kelam, tetapi jalan-jalan mulai jelas kelihatan. Pokok-pokok kiri kanan jalan tegak dalam keheningan bagai sama hening tegak melahirkan kesyukuran bagi memulai perjalanan hari dari permulaan sebuah pagi, sedangkan kicau burung mulai kedengaran dari rimbun pokok, bahkan sebahagian mulai berterbangan memulakan hari mencari rezeki Ilahi.
Masa walaupun pada hakikatnya bergerak berterusan, tetapi dengan bermula hari dari pagi kelihatan lebih aktif. Dia seolah menggerakkan berbagai aktiviti. Mulai pagi ibubapa dan kenderaan-kenderaan mulai sebok menghantar anak-anak ke sekolah  atau ke pusat jagaan kanak-kanak. Sementara itu pekerja-pekerja pejabat, swasta dan pekerja-pekerja kilang masing-masing mengejar masa bagi menepati masa sempat ke tempat kerja bagi memulakan kerja. Semua tenaga kerja  diberbagai sektor, juga buruh, petani, peniaga  dan berbagai-bagai pekerja aktif bekerja menurut rutin pagi ke tengah hari dan dari bahagian tengahari ke petang. Kemudia pada waktu petang  pekerja pulang untuk berada di rumah bersama keluarga dan menikmati kerehatan bersama mereka.
Di dalam pertukaran hari rutin bekerja berulang hinggalah tiba hari-hari minggu memberri ruang untuk keluarga dan semua pihak menikmati rehat pada hujung minggu, sebelum kembali menurut rutin hari-hari kerja.
Apakah masa dengan gerak dinamiknya memberi peluang manusia meeruskan kehidupan  dan berlumba-lumba mencari pendapatan dan habuan dan peluang yang dapat diterjemahkan kepada erti kebahagian hidup yang antara perkiraannya mempunyai pendapatan yang selasa, berumah besar, berkenderan mewah dan melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan yang melambangkan kemewahan ataukah masa merendah dan menghinakan seseorang,  kelompok dan golongan tertentu menyebabkan mereka tidak bernasib baik, tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi, keluarga di dalam kesempitan dan mereka sentiasa di dalam kesusahan ? Ataukah masa adalah neutral menyediakan ruang ruang waktu yang membolehkan mereka yang rajin dan berpengetahuan merebut peluanfg bagi mencapai kejayaan atau sebaliknya.
Apakah masa sebenarnya adalah ruang terbentang yang menyediakan peluamg  bagi manusia berlumba tiada henti-hentinya, sehingga mereka keletihan dan di samping yang berjaya, ada yang jatuh dan tersungkur kegagalan ?
Apakah masa yang bergerak dari minit, jam, hari,minggu, bulan dan tahun dan kepada tahun-tahun selain dari menyediakan peluang dan kebahagian yang dapat diraihkan, juga sebenarnya dari satu pihak menderakan manusia dengan paksaan-paksaan yang seharusnya manusia tunduk bagi mencapai kebahagian, jika tidak mereka berada pada kaki gunung harapan yang tidak mampu di daki. Dan terus berada di dalam katinggalan. Adakah ini dapat dikatakan sebagai penganiyayaan terhadap mereka yang tidak bernasib baik, apalagi bagi yang berpegang pada falsafah negatif dan mengelirukan.  Sesungguhnya berbagai spekulasi dapat diandaikan, berbagai tanggapan dan tuduhan dapat dilontarkan.
Pada dasarnya masa dan kehidupan adalah peluang yang diberi  secara terbuka kepada sesiapa bagi mencapai kejayaan, keindahan dan kebahagiaan, iaitu dengan menurut tabi`i dan perintah yang diaturkan.  Sebaliknya jika bertindak menentang dia adalah mengundang kemusnahan. Sebaiknya dengan amal dan kebajikan membahagiakan. Sebagaimana firman Allah bermaksud:
Demi masa, manusia sesungguhnya dalam kerugiaan, melainkan mereka yang beriman dan beramal Salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan  dengan  kesabaran  (Al-`Asr:  1-3).
Menurut Al-Qushairy, ``Waktu menurut ahli al-tahqiq ialah sesuatu yang baharu dan mewahamkan bergantung hasilnya  pada tindakan atau perbuatan yang melakukannya (mutahaqqiq) misalnya dikaitkan dengan waktu seperti esok, seminggu, sebulan, setahun dan sebagainya. Ianya merupakan perkiraan berdasarkan pergerakan dan perjalanan waktu yang ditanda (tarikh) yang selalu  ilusi sifatnya.
Al-Qushairy juga memetik pendapat Abu `Ali al-Daqqaq r.h.a.  yang berpendapat, ``
``Waktu ialah apa yang engkau berada padanya, kalau engkau di dunia maka waktu engkau adalah dunia, dan kalau engkau berada pada hujungan, maka engkau berada pada hujungan, kiranya engkau dalam gembira, maka waktu engkau adalah gembira, demikian sebaliknya jika engkau berada pada dukacita, maka waktu engkau adalah dukacita. Maksudnya waktu ialah apa yang ghalib di dalam kehidupan yang dikaitkan dengan pergerakan masa.
Menurut Al-Qushairy, ``Waktu adalah bergerak dan berterusan dan tidak menunggu, siapa mengalami perlu menanggapi dan tidak boleh dtangguhkan, jika tidak engkau di hanyut dan  ketinggalan.
Tentang hal ini Al-Qushairy  menyebut ungkapan termasyhur sebagai pepatah `Arab bahawa,
``Waktu seperti pedang, jika engkau tidak memotongnya (menggunakannya), maka dia memotong engkau (berlalu dengan sia-sia).
Waktu dilihat sebagai terowong yang menjadi ruang laluan bagi segala kewujudan atau dia melewati kewujudan berkenaan. Jika diabai, maka ianya adalah kekosongan. Kepentingan waktu hendaklah diisi dengan perkara kebaikan, agar ianya menjadi wadah dan peluang yang dapat digunakan sebaik-baiknya. Waktu  bergantung pada pergerakan dan dinamika benda secara berterusan dan sebagaimana benda termasuk alam akan mengalami kemusnahan, maka waktu akan tergantung dan musnah dengan kemusnahan dan ketiadaan yang musnah. Dan yang tinggal adalah Yang Abadi yang di luar dari ruang dan tidak bersifat waktu ! Ianya adalah Abadi dan Kekal.

Sekian.

No comments:

Post a Comment