ARUS BALIK DAN TSUNAMI POLITIK MELAYU ?
ANALISA RINGKAS
(Fikrah Bangi: 196),
BBB, 10 Sha`ban 1440H. = 16 April 2019M.
(Selasa).
Dua kenyataan keras dikeluarkan oleh tokoh
penting berikutan keputusan PRK Rantau pada 13 April lepas. Tun Daim Zainuddin
memberi amaran untuk melihat dalam tempoh 6 bulan adakah kerajaan PH mampu
membuktikan kejayaan mentadbir negara. (Sinar,
15.4.2019: 1). Manakala satu lagi amaran juga keras kepada kerajaan PH, oleh
Profesor Ke Ping, bahawa berlaku tsunami Melayu sejak PRK Cameron Highlands
pada 28 Januari 2019 membawalah kepada PRK Semenyih 2 Mac 2019 hinggalah kepada
PRK Rantau 13.4.2019. Mulai dari awal tahun 2019 memperlihatkan bahawa `Tsunami
Melayu` berlaku yang menenggelamkan PH pada ketiga-tiga PRK secara
berturut-turut.
Apa yang dikatakan oleh Tun Daim Zainuddin
adalah kebenaran. Sebelum daripada amaran terbarunya, beliau telah membuat
teguran tentang pentadbiran PH yang dikendalikan secara tidak berpengalaman dan
lemah. Beliau menyebut tentang janji-janji PH yang tidak ditunaikan dan
kelemahan dari segi ekonomi sehingga ditubuhkan Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (UM 12.2.2019:
3). Tetapi nampaknya tidak dapat meringankan beban rakyat yang bergelut dengan
kenaikan harga barang dan kesempitan
hidup yang mereka hadapi seperti mahasiswa, petani, nelayan, pekerja sawit,
penoreh getah dan buruh yang mereka terpaksa mengikat perut. Dalam konteks ini
Tun Daim mengeluarkan amaran kerasnya, agar apa yang dihadapi rakyat dapat di
atasi.
Berhubung dengan pendapat Profesor Ke Ping,
kita kurang bersetuju dengan kemenangan BN di ketiga-tiga PRK secara
berturut-turut mulai dari awal tahun 2019 itu sebagai `Tsunami Melayu`.
Ketiga-tiga PRK berkenaan tidaklah sampai kepada peringkat `Tsunami` sebagai
keputusan pilihanraya ke 14 pada 9 Mei 2018 yang memang boleh dinamakan
`Tsunami Rakyat`.
Kita masih melihat ianya masih sebagai `Arus Balik` yang makin deras, jika
tidak disekat boleh mengakibatkan `Tsunami`. Namun begitu kita setuju dengan
pendapat Prof. Ke Ping, bahawa Melayu menyedari bahawa `Melayu Semakin
dihancurkan !` (UM, 15 April 2019: 16). Ini dapat disedari Melayu, sebaik
kemenangan PH, pemudanya dengan angkuhnya menafikan `Ketuanan Melayu.. Raja-rajanya
dihina oleh mereka yang tidak bertanggungjawab di media-media sosial. Tindakan
tegas terhadap mereka wajar diambil, tetapi dikatakan, ``Undang-Undang Hina
Raja Tidak Kuat.`` (UM, 16.4.2019: 6). Sementara itu tanpa diperkatakan secara
langsung, usaha merendah dan mengkesampingkan bahasa Melayu sedang berlaku di
media-media letronak dan dalam acara-acara rasmi yang sewajarnya digunakan
bahasa Kebangsaan, tetapi tidak dilakukan. Ruang-ruang yang membicarakan rakyat
jelata sepatutnya disampaikan di dalam bahasa Melayu, tetapi dilakukan
sebaliknya. Kita merasakan secara tidak tersurat, bahawa bahasa Melayu dihina secara teratur dan berstrategik.
Berkata YB Xavier Menteri Air, Tanah dan
Sumber Asli (sahabat Penulis di dalam Dewan Negeri Selangor dulu), bahawa
beliau hairan bahawa pihak kerajaan PH telah mendedahkan penyelewengan Felda,
Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera, Kes IMDB dan lain-lain lagi, rakyat
khususnya Melayu sepatutnya menyokong
PH. Perlu diingatkan kepada Xavier, disebalik kes-kes berkenaan Melayu amat
merasa malu dan terhina, bahawa yang pecah amanah adalah Melayu, yang
menggelapkan Tabung-Tabung Amanah dan berbagai-bagai lagi kesalahan yang
diseret ke mahkamah adalah Melayu. Implikasinya bahawa yang tidak jujur Melayu,
yang menipu Melayu, yang mencuri adalah Melayu, yang tidak bermoral adalah
Melayu dan berbagai-bagai kehinaan terhadap Melayu. Inilah apa yang dikatakan
oleh Prof. Ke Ping bahawa Melayu semakin dihancurkan. Melayu tidak tahan lagi
dimalukan dengan berbagai elemen yang disebutkan dari awal di atas. Sebab itu
mereka mengambil tindakan bercanggah dari tindakan yang mereka lakukan pada 9
Mei 2018 yang lepas. Kesan moral dan tercalarnya identiti Melayu ini tidak
mudah dihilang, sebagaimana mudahnya dihilangkan kesan tampak dari segi ekonomi.
Imej, moral, psikologi, identiti dan jati
diri Melayu inilah sebagaimana dikatakan oleh Prof Ke Ping sedang dihancurkan ! Kasihan Melayu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment