MESYUARAT MERUMUSKANAN KEPENTINGAN DAN ARAH
TUJU
(Fikrah Bangi: 207),
BBB:
21 Sha`ban 1440H. = 27 April 2019M. (Sabtu):
Mesyuarat adalah penting bagi satu jamaah,
kumpulan, bahkan pemerintahan. Telah dibicarakan bahawa seorang tokoh, walau
bagaimana bijaksana dan berpengalaman tidak mampu mengendalikan sesuatu pentadbiran yang mempunyai jamaah dan
kumpulan, melainkan melalui permaufakatan. Pentadbiran mungkin melibatkan ahli
kariah, atau kumpulan politik dan sebagainya.
Pergerakan ke arah bermesyuarat mungkin
dicetuskan oleh sesuatu tujuan yang baik bagi kepentingan jamaah. Misalnya
dalam satu kawasan yang baru dihuni – kawasan perumahan baru, disedari misalnya
banyak permasalahan yang perlu dibaiki
dan perlu dibuat aduan kepada pihak pentadbiran di bandar bagi tempat yang
dihuni. Permasalahan tidak dapat dilakukan secara individu, sebaliknya perlu
bertindak secara berkelompok. Lantas masyarakat melihat tokoh yang berpengaruh
yang ada hubungan dengan masyarakat dan
pihak pentadbiran, maka ianya ditunjuk dan diharap dapat mengambil inisiatif
mengadakan pertemuan antara penduduk. Dari tujuan yang baik terbentuk satu jawatankuasa
tidak rasmi yang mengambil inisiatif bagi menyelesaikan masalah penduduk. Maka
diadakan pertemuan antara penduduk yang berjumlah puluhan orang yang mnenjadi
peneroka yang memulakan perpindahan ke kawasan perumahan baru berkenaan. Hasil
dari pertemuan telah mewujudkan `Jawatankuasa Kebajikan Penduduk`. Dari
pertemuan dapat memilih seorang Ketua yang dikenali dengan `Pengerusi Kebajikan
Penduduk` dengan sama dilantik ialah Setiausaha, Bendahari dan beberapa orang
Jawatankuasa.
Pengerusi yang dilantik memang dilihat oleh
penduduk orang yang berwibawa, berkelulusan dan berkedudukan Pentadbir bagi
institusi yang kebanyakan penduduk bekerja di institusi berkenaan. Dia bukan
saja seorang pentadbir yang cekap, berpengaruh, tetapi mempunyai kedudukan di
Majlis Perbandaran yang dia juga dilantik menjadi ahli di dalam Lembaga
Perbandaran.
Apakah yang diharapkan dari Pengerusi dan
jawatankuasa yang dilantik. Mekanisme yang penting bagi Pengerusi ialah
mengadakan Mesyuarat bagi membincangkan mandat dan harapan penduduk kepada Badan
Kebajikan Penduduk berkenaan. Dapat dilihat pimpinan yang dilantik adalah orang
yang paling berwibawa dan sesuai. Mekanisme bagi membincangkan keperluan
penduduk ialah melalui mesyuarat. Pengerusi hendaklah mempunyai visi dan misi
bagi kepentingan penduduk. Dia adalah pemimpin bagi persatuan Kebajikan,
Pemimpin dalam mesyuarat dan diharap darinya dengan bantuan jawatankuasa
persatuan dapat mencetuskan gagasan dan cadangan bagi kepentingan penduduk.
Misalnya sebagai satu kawasan yang baru
dihuni dan tidak ada persatuan atau badan yang lain sebelum darinya, maka
Pengerusi dan jawatankuasa dapat menggariskan keperluan-keperluan yang patut
dicadang dan dilaksanakan. Misalnya Pengerusi melihat:
1) Banyak perumahan yang mereka huni mengalami
kerosakan dan perlu secara kelompok membuat aduan kepada pihak pemaju
memperbaikinya.
2) Jalan-jalan perumahan perlu diturap.
3) Perlu didirikan kedai dan pasar awam untuk
memudahkan penduduk mendapat keperluan harian
4) Penduduk memerlukan sebuah surau bagi
memungkinkan mereka beribadat secara jamaah dan menjalankan berbagai kegiatan
kebajikan
5) Untuk jangka panjang bangunan sekolah Rendah dan menengah perlu segera didirikan.
Hasil dari mesyuarat dapat dilihat
cadangan-cadangan yang bernas dan dijadikan tugas yang patut dilaksanakan.
Mesyuarat terus diadakan dari masa ke masa bagi melaksanakan tugas dan
berbagai-bagai perkara yang berhubung dengan penduduk. Pengerusi dilihat
berwibawa dan dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan baik.
Dengan berkat mesyuarat dan berpesatuan
kebajikan, maka Persatuan Kebajikan berkenaan melalui mesyuarat diangkat
menjadi `Persatuan Penduduk` yang peranannya lebih besar dan mencabar.
Pokoknya dari keperluan setempat bersifat
kebajikan, akhirnya Persatuan Kebajikan berkembang menjadi Persatuan Penduduk
yang berwibawa yang banyak membawa kemajuan kepada penduduk. Hasil dari
mesyuarat-mesyuarat melahirkan tokoh pimpinan yang banyak berjasa kepada
penduduk.
Sekian.
No comments:
Post a Comment