LEBIH BAIK PENERUSAN DARI PEMUTUSAN: JANGAN
MALU !
(Fikrah Bangi: 201),
BBB,
17 Sha`ban 1440H. = 21 April 2019M. (Ahad):
Kita bergembira melihat Projek Bandar
Malaysia yang terganggu pembinaannya, diteruskan pembinaannya sebagaimana
diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia semalam. Menurut Sinar hari ini PH tidak perlu malu meneruskan
projek yang dibangun oleh BN sebelumnya (Sinar, 21.4.2019: 6). Sebenarnya sikap
gentleman sepatutnya ditunjukkan sejak dari ambilalih pemerintahan dari BN.
Seharusnya ungkapan adalah ``PH akan meneruskan segala projek yang dilakukan
oleh BN dan menambahbaik apa yang perlu.`` Masalahnya pada peringkat permulaam
pengambilalihan pemerintahan bahawa PH mau adakan perubahan drastik, sesuai
dengan `Zaman Baru dan Malaysia Baru !` Usaha menghitamkan segala apa yang dilakukan
sebelumnya dilakukan. Maka terdengarlah pada peringkat permulaan. Tiada konsep
Ketuanan Melayu, Disyorkan JAKIM
dihapuskan ! MARA dimultirasialkan, UITM untuk saemua kaum, demikian FELDA dan
berbagai-bagai pendapat yang diutarakan. Maka dengan spontan mendapat reaksi
penentangan, terutama dari orang Melayu. Sindrom ini menakutkan mereka hingga
kini.
Namun selepas realiti tersingkap, tidak
mungkin apa yang dilakukan untuk diputuskan kelangsungannya. Sedikit demi
sedikit kewarasan dan kesedaran timbul dan pada hakikatnya banyak apa yang
dilakukan sebelumnya terpaksa diteruskan. Sudah tentulah kerana ada
kebaikannya. Tanah Lapangan Terbang Lama di Sungai Besi itu pernah dituduh pada
zaman kerajaan BN sebagai dijual kepada Kerajaan Cina ! Hari ini ditukar bagi
menarik sokongan Melayu, bahawa ia akan dijadikan Bandar Melayu Moden ! (BH,
21.4.2019: 1). Benarkah ? Alangkah bagusnya jika benar-benar menjadi realiti.
Kita tunggu untuk penyaksian.
Sebenarnya PH tidak perlu malu sebagaimana kata Sinar hari ini untuk
meneruskan apa yang telah dilakukan oleh BN dahulu. PH sebenarnya telah
meneruskan Pan Borneo Highway Projek terbesar BN yang menjadi kebanggaan BN,
rakyat Sabah dan Sarawak dan projek ini sedang berjalan. PH juga meneruskan
Projek ECRL yang dirangka oleh BN dan kerana kebaikannya terpaksa diteruskan
dengan pengubahbaikan untuk mengurangkan kos. Pokoknya ia adalah projek BN.
PH menggunakan isu GST bagi menjatuhkan BN
dan berjanji menghapuskan GST, tetapi pola dan konsep cukai seperti dilakukan
oleh BN itu tidak dapat dihapuskan, jika tidak negara tidak mempunyai sumber
kewangan yang mencukupi ! Cukai itu sebenarnya ditiru dengan perubahan nama
SST. Khabarnya mekanisme sama, dan dikatakan beban yang ditanggung pengguna
tidak begitu sangat berbeza. Tapi persoalan SST ini sengaja tidak dibicarakan
secara telus untuk diketahui rakyat hakikat sebenarnya. Begitu juga janji PH
mau hapuskan Tol !, tapi dari segi rasionalnya tidak dapat dihapuskan
seluruhnya. Lantaran itu PH bermain dengan rhetorik dari segi penghapusan yang
dijanjikan di dalam manifesto PH. Tol terpaksa diteruskan sebagaimana dilakukan
oleh BN, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat atau sebelum pilihanraya ke 15 !
Sebenarnya tugas pemerintah yang mengambil
alih pemerintahan perlu meneruskan apa yang baik sebagaiomana yang tersebut di
atas dan memperbaiki apa yang tidak baik. Secara jujur ia sepatutnya tidak
menghitamkan apa yang tidak hitam. Misalnya persoalan mengenai kerugian Tabung
Haji dipersoalkan. Apakah benar apa yang diperkatakan atau ada sindrom
menghitamkan apa yang lepas. Masyarakat ingin mengetahui hakikat sebenarnya –
Rujuk, ``Betulkah Tabung Haji semakin teruk ? (MM, 21.4.2019: 7).
Jika sebenarnya sesuatu institusi itu
bermasalah seperti FELDA, kewajipan bagi kerajaan baru hendaklah memperbaikinya
dan tidak semata-mata mengecam. Kita memuji PH mengembalikan pinjaman sara
hidup peneroka FELDA sebanyak RM1,500 sebulan sebagaimana pada zaman kerajaan
BN. (Sinar, 21.4.2019: 1).
Jika kebanyakan projek adalah meneruskan
projek BN, apakah projek utama yang mau dilakukan oleh PH. Apakah makna
Kerajaan Baru, Zaman Baru dan Malaysia Baru ?
Sekian
No comments:
Post a Comment