BERSIH KUBUR SEBELUM RAMADHAN
(Fikrah Bangi: 202),
BBB, 15 Sha`ban 1440H. = 22 April 2019M.
(Isnin).
Sama ada ia adalah menurut kehendak agama
atau adat, bersih kubur adalah amalan yang baik, kerana jika sekian lama ianya
tidak dibersih tentulah ianya dipenuhi semak. Kubur adalah tempat disemadikan
orang yang dikasihi oleh waris, sewajarnya ianya diziarahi dan dibersih.
Demikianlah menjadi adat yang murni setiap tahun penduduk melalui masjid dan
surau mengadakan gotong royong membersih kubur.
Pada
permulaan Bandar Baru Bangi dibuka (1977) penduduk yang kematian keluarga menumpang
ke bumi si mati di Kuburan Sungai Tangkas lama, di tepi jalan di pinggir bukit di ketepian anak Sungai
Langat tidak jauh dari Kampus UKM ke Kajang. Selepas sekian lama menumpang di
tanah perkuburan di sini dan kawasan yang sempit dan hampir penuh itu, pihak
kerajaan memperuntukkan sebidang tanah seluas 32 ekar di tanah bukit kini
bersebelahan dengan Germa Institute,
juga berdekatan dengan Taman Universiti juga di Sungai Tangkas. Perkuburan ini
mula digunakan pada tahun 2000 (Pada masa Penulis menjadi ADUN Kajang). Pada
masa itu agak jauh, tapi kini kelilingnya sudah di kelilingi taman-taman
perumahan dan institusi-institusi..
Tanah perkuburan ini diletak di bawah
pengurusan Masjid Al-Hasanah yang masjid ini mula digunakan pada tahun 2000
tersebut. Kemudian apabila Masjid Al-Umm mula
digunakan secara rasmi (Oktober
2018) pengurusan Tanah Perkuburan baru Sungai Tangkas ini disertai sama oleh
Masjid Al-Umm.
Pagi ini Ahad (21 April 2019), pihak Masjid
Al-Hasanah dan Masjid Al-Umm menganjurkan Gotong Royong bagi membersihkan kubur
di Sungai tangkas sebagaimana diadakan sebelumnya secara tahunan, semperna
menjelang Ramadhan. Gotong royong bermula dari jam 8.30 pagi dihadiri jamaah
dan penduduk, khususnya yang mempunyai waris meninggal di situ. Jumlah mereka
lebihkurang 200 orang.
Antara yang hadir
ialah Nazir Masjid Al-Hasanah saudara Sufyan dan Setiausaha En. Khalil, Nazir
Masjid Al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar, Setiausaha Sdr Feisal dan Penolong Setiausaha saudara Fadhli dan
jamaah dari kedua-dua buah masjid, surau-surau dan orang ramai, khususnya
waris-waris bagi arwah yang telah meninggal. Turut serta ialah Bekas ADUN Bangi
Ustaz Shafie Ngah, sukarelawan dari Hospital Zaharah, termasuk persediaan
sebarang kecemasan. Peserta-peserta sebagaimana diperingatkan di dalam
pemberitahuan di masjid-masjid dan surau-surau agar membawa peralatan yang
sesuai bagi gotong royong.
Kerja-kerja yang
dilakukan dari pagi ialah membersih kuburan dari tumbuhan liar (oleh waris),
memotong pokok-pokok liar dan mencantas dahan-dahan pokok yang membesar,
merumput dan menanam pokok-pokok hiasan. Membersih ruang tapak kubur yang akan
digunaka dan membersih bahu jalan dan tepian sempada kubur. Tumpuan khusus
ialah membersih dalaman dan luaran surau
- juga tempat urusan jenazah yang agak kotor dan terbiar. Pihak MPKj
dihubungi untuk mengangkat longgokan sampah yang dihimpunkan. Kerja-kerja
berterusan sehungga jam 11.00 apabila peserta rehat dan minum dan makan (nasi
lemak) yang dibawa oleh pihak penganjur dan yang volunteer.
Dalam
perbincangan semasa rehat antara Nazir-Nazir, Bekas ADUN dan sama dijemput penggali kubur, bahawa
kuburan yang pada masa ini meliputi empat
ruang yang diguna adalah berjumlah kurang dari 2,000 kubur telah
digunaka (satu ruang 500 dan ada yang masih belum penuh). Pihak penggali kubur
(En. Bongek dibantu anaknya) diminta patuhi
ruang yang ditentukan untuk minimumkan penggunaan tanah bagi kuburan
akan datang. Menurut En. Bongek ukuran bagi kubur ialah 7 x 3 kaki persegi,
tetapi jarak antara kubur ialah tiga kaki (lima kubur sekali digali bagi
persediaan awal), tapi menurutnya, jarak tiga kak diambil untuk mengelak dari
terlempau dekat dengan kubur yang baru dikebumikan. Dalam perbincangan , adalah
diharap waris bagi si mati tidak meninggikan lingkungan kubur lebih dari 3 inci
dan sekali-kali jangan membuat tingkat. Ada yang buat tiga tingkat. Waris juga
tidak dibenarkan membuat tempat duduk di tepi kubur apalagi tidak wajar didirikan
pondok, kecuali oleh pihak pengurusan. Menurut Nazir Masjid Al-Hasanah, ``Kita
terlepas dari mendapat peruntukan bagi pembaikan yang diperuntuk oleh
pihak Pejabat Daerah, kita cuba
mendapatkan sebahagiuan dari peruntuka RM200,000 pada tahun hadapan, khususnya bagi
membaiki surau yang telah rosak.
Walau bagaimana
urusan perkuburan dan yang berhubung dengannya akan dibincangkan di dalam
pertemuan antara nazir-nazir masjid dan di dalam meyuarat nazir-nazir yang
dianjur oleh PAID dari masa ke semasa.
Sekian.
Catatan:
Ada kesila[an di
dalam makalah semalam 21.4.2019. Bandar
Melayu dimaksudkan ialah Kampung Baru, Kuala Lumpur, bukannya Bandar Malaysia.
Walau bagaimana kita menunggu kejayaan perlaksanaannya. Rancangan membangunkan
Kampung Baru sudah berkali-kali dirancang dan hingga kini belum menjadi
kenyataan. Kesilapan adalah dikesalkan. Maaf.
No comments:
Post a Comment