April 3, 2019

JANGAN CABAR DAN MENCELARUKAN DASAR PENDIDIKAN NEGARA !


JANGAN CABAR DAN MENCELARUKAN DASAR PENDIDIKAN NEGARA
(Fikrah Bangi 183),
BBB, 27 Rejab 1440H. = 03 April 2019M. (Rabu).
Kita tidak faham, jika seorang berkedudukan sebagai Peguam Negara dan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Pendidikan tidak berpihak kepada mempertahankan sistem pendidikan negara yang selama ini berjalan dengan baik. Isunya ialah keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) diketuai Peguam Negara  mengiktiraf UEC menduduki CLP  tanpa merujuk kepada Dasar Pelajaran Negara dan mendapat kelulusan Kabinet. Tindakan ini disifatkan sebagai mencabar dan melanggar Perlembagaan Negara (UM, 3.4.2019: 1).
Sebelum itu tindakan Tommy Robert – Peguam Negara, dianggap tidak sensitif terhadap Dasar Pendidikan dan Perlembagaan Negara berhubung dengan pengiktirafan yang disifatkan sebagai gopoh dan tidak sensitif terhadap  Dasar Pelajaran dan Perlembagaan Negara, manakala Teo Nie Ching Timbalan Menteri Pendidikan pula semacam turut sekongkol dengan kelulusan dan mengucap tahniah di atas kejayaan terhadap Tommy Robert. Yang lebih anih lagi Menteri Pendidikan Muszlee Malik menganggap perkara tersebut tidak berkait dengan Kementeriannya.
Sikap yang diambil oleh Peguam Negara, Menteri Pendidikan dan Timbalannya telah menimbulkan kemarahan banyak pihak. Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong Penyelidik Utama di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia, kesal dengan tindakan mereka yang berkenaan, kerana dengan sewenang-wenang mencabar dasar  pelajaran dan Perlembagaan Negara. Dekan Pengajian Undang-Undang dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Prof. Dr. Murtadha, meminta kelulusan perlu dikaji semula. Menurutnya keputusan yang dibuat adalah semata-mata memberi keuntungan kepada pengajian swasta. Manakala Tan Sri Dr. Rais Yatim yang pernah menjadi Menteri Undang-Undang membidas Tommy Robert yang disifatkan tindakan mengiktiraf UEC mendatangkan risiko terhadap dasar negara.
Banyak yang membidas hujah Tommy, pengiktirafan berdasarkan penerimaan beberapa buah universiti di London terhadap  UEC dan membelakangkan Dasar Pendidikan dan Perlembagaan Negara. Hujah Teo Nie Ching juga tidak dapat diterima kerana kononnya kelulusan bagi UEC  dikehendaki lulus Bahasa Melayu sebagai salah satu syarat. Ianya tidak sama dengan status kelulusan Bahasa Melayu di dalam SPM.
Pokoknya sebagai menurut aturan sebarang keputusan yang hendak diambil perlu merujuk kepada Dasar Pelajaran Negara dan mendapat kelulusan Kabinet
Sementara itu Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Profesor Dr. Muhammad Hatta Shaharom menjelaskan bahawa persoalan pengiktirafan belum diputuskan dan menunggu keputusan Pasukan Petugas Dasar UEC – DBP yang akan menilai dari berbagai aspek sebelum mengambil keputusan mengiktiraf atau sebaliknya. Ianya perlu dilihat dari segi Dasar Pelajaran dan Perlembagaan Negara. Kita berharap kenyataan Ketua Lembaga Pengarah ini benar dan dapat difahami pengiktirafan belum diberi (UM, 3.4.2019: 2). Kita harap pertimbangan hendaklah berasaskan dasar pendidikan dan Perlembagaan Negara.  Jika ini kedudukan sebenarnya, jelas tindakan yang diambil oleh Peguam Negara dan Timbalan Menteri Pendidikan  yang juga berkelulusan Undang-Undang itu dapat disifatkan sebagai tidak sabar dan gopoh.
Adalah diharapkan bahawa kelulusan yang menjadi  asas bagi  berbagai syarat , khususnya SPM hendaklah menjadi syarat utama baik bagi keperluan mengambil peperiksaan yang lain, bagi menyambung pengajian, malah syarat bagi memohon pekerjaan.Syarat ini selama ini telah berjalan dengan baik. Kita tidak mau ada pihak yang mencari jalan pintas  bagi mendapat kelulusan dengan mengabaikan syarat dan keperluan yang selama ini telah berjalan dengan baik. Jika jalan pintas yang sengaja dicari oleh pihak-pihak  tertentu dan pihak kerajaan tidak bertegas, maka dasar pendidikan kita kelak akan bercelaru.
Kita berharap pihak yang diberi amanh mengendalikan Kementerian Pendidikan lebih peka dan mengutamakan dasar pelajaran dan Perlembagaan Negara.
Sekian.

No comments:

Post a Comment