December 24, 2020

 

2020:  TANGGAPAN

(Fikrah Bangi: 811),

BBB: 09 Jamadil Awwal 1442H. = 24 Disember 2020M. (Khamis).

Seminggu lagi akan berakhir tahun 2020. Ramai yang mengambil cuti akhir tahun bagi berehat, pulang ke kampung atau melancong dalam negeri, sesuai dengan ditarik sekatan rentas sempadan negeri akibat dari penularan Covid-19. Ini bukan bererti berakhirnya Covid-19, kerana penularannya masih berlaku. Selangor masih tinggi dari segi peningkatan wabak mengatasi Sabah.

Dalam tempoh akhir tahun ini juga  memberi peluang kepada kita membuat tanggapan  bermuhasabah melihat sejauhnanakah pencapaian atau sebaliknya  selama setahun – 2020 yang dilalui atau juga apakah perancangan yang mau dibuat bagi  tahun mendatang – sekiranya umur masih panjang.

Muhasabah dan penilaian boleh dilihat kepada berbagai-bagai aspek. Ianya boleh dilihat,misalnya:

1)    Politik pemerintahan negara

2)    Kesan Covid-19 yang menyerang negara dan dunia. Pencarian vaksin.

3)    Tugas dan amanah yang diberi masyarakat

4)    Tugas dan janji peribadi

5)    Kesihatan diri dalam meneruskan kegiatan.

Dan berbagai-bagai  persoalan lagi boleh dibicarakan.

Sebenarnya setiap orang mempunyai prioriti dan keutamaan di dalam menanggapi  memuhasabah dan menilaikan kegiatan,kemajuan atau sebaliknya di dalam setahun yang lepas.

Bagi  Penulis berpeluang melangkah ke tahun 2000 dan insya Allah melengkapi ke akhir tahun adalah merupakan bonus kehidupan yang dikurniai Tuhan. Pada akhir 1999 setelah Penulis mengakhiri tempoh perkhidmatan dan mulai masuk ke alam persaraan, pada masa itu pemimpin politik telah mempopularkan slogan  - `Wawasan 2020`. Malaysia akan mencapai tahap Negara Maju pada tahun 2020. Slogan ini pada masa itu dilihat begitu significant, bahkan boleh diibaratkan sebagai `keramat`.  Bagi Penulis pada masa itu yang sudah melewati umur persaraan (Pada masa itu usia persaraan wajib adalah 55 tahun), melihat – tipis dari segi kemungkinan untuk berkesempatan  dengan tahun 2020, kerana pada masa itu jangkaan umur adalah  78 tahun – Suatu tempoh masa yang jarang dicapai oleh kebanyakan orang. Sememangnya kini sebahagian besar kawan-kawan dan mereka yang seumur Penulis kebanyakannya telah meninggal dunia. Walau bagaimana kita hendaklah bersifat optimis dan meneruskan penghidupan selagi  diberi Tuhan peluang bagi meneruskan kehidupan dan pengisiannya.

Bagi Penulis azam meneruskan kehidupan ini telah Penulis rakamkan dalam sebuah puisi terawal Penulis yang diberi tempat di dalam Majalah Dewan Bahasa , (Mac, 1971, hlm. 136), berjudul:

Asas  Pribadi

Seorang  ditanya

Kiranya engkau diberi

Tempoh tiga hari

Tiga hari sebelum kau mati

Apa tindakmu ?

Dengan lekas ia menjawab

Aku akan semadi

Semadi hingga dinihari

Berbakti pada Rabbul Jalil.

Ia menekan

Tiga hari bukan suatu jaminan

Kau perlu  berpribadi

Asasnya  bukan tiga hari

Tapi seluruh hidupmu

Seluruh hidupmu.

Aku katanya

Akan terus jalani hidup ini

Bagai  kulalui

Baik tiga hari atau seminit lagi

Kerana aku memang jalani

Hidup yang kuanut

Mati hanya denyut jantung yang terhenti.

Universiti Kebangsaan.

1 Oktober 1970.

 

Puisi di atas sudah setengah abad usianya, di atas prinsip yang Penulis tulis, maka demikianlah Penulis  meneruskan kegiatan  hidup ini dan dapat menyaksikan berbagai peristiwa yang berlaku, termasuk tahun 2020 bakal; diperkatakan yang disifatkan sebagai zaman pencapaian kemajuan Wawasan 2020.  Benarkah sedemikian ?

 

Sekian.

No comments:

Post a Comment