December 18, 2020

 

PANTUN  AKAL  BUDI  MELAYU – PERBANDINGAN DENGAN HAIKU

(Fikrah Bangi: 805).

BBB: 03 Jamadil-Awal  1442H. = 18 Disember 2020M. (Juma`at).

Sebagaimana telah disebutkan, bahawa pantun adalah satu-satunya bentuk puisi tradisi dan kini Melayu. Ianya mencerminkan persepsi  alamaiah,  pemikiran, budaya dan peradaban Melayu. Profesor Ungku Aziz seorang intelektual dan budayawan Melayu adalah salah seorang pengkaji tentang  pantun Melayu dan ia merumuskan bahawa,`Pantun adalah  Cerminan Akal-Budi Melayu`. Bermaksud melalui pantun dapat diselami tentang pemikiran Melayu, adab dan Budi serta falsafah keindahan Melayu.

Jika hendak dibandingkan pantun dengan bentuk puisi dalam bahasa lain, ianya ada sedikit kedekatan dan  kesamaan dengan bentuk `Haiku`  puisi Jepun yang juga dari tradisi timur. Tetapi Haiku tidak ada pembayang dan maksud sebagaimana pantun dan tidak ada ukuran suku kata dan jumlah baris  khusus.

Haiku adalah puisi yang disifatkan sebagai puisi ringkas dalam beberapa baris. Ianya bersifat renungan terhadap fenomena alamiah sebagai intro dan berakhir dengan natijah yang selalunya bersifat benar dan sering berifat  ironi. Sebagai contoh:

Rehat di bawah ketapang halaman rumah.

Angin menderu dari puncak bukit,

Sehelai daun  kering  gugur di laman

Hidup ini berakhir dengan kefanaan !

 

Dalam  haiku ada intro yang ditanggap dari pengalaman alamiah. Contoh imej utama alamiah ialah pohon ketapang di halaman rumah di mana di bawahnya ada bangku, seseorang duduk berehat di bawahnya pada waktu petang. Imej alamiah angin menderu dari puncak bukit menggerakkan pohon ketapang, menyebabkan daun tua dan kering berguguran di laman. Imej ini menjadi perbandingan yang menginsafkan tentang ironi kehidupan, bahawa tiap-tiap sesuatu yang hidup seperti  pokok, haiwan, bahkan manusia akan berakhir dan gugur melambangkan kematian dan pengakhiran.

Haiku adalah bersifat penghayatan langsung tentang fenomena alamiah yang berubah dan berakhir dengan kefanaan. Demikianlah dengan kehidupan manusia akan berakhir dengan kematian. Ada ketajaman persepsi dan tanggapan mendalam mengenai kehidupan yang fana ini dalam haiku di atas.

Bandingkan dengan sebuah pantun yang membawa persoalan yang sama – kefanaan dan kematian:

Halia  ini tanam tanaman,

     Ke barat  juga akan tumbuhnya;

Dunia ini pinjam-pinjaman

     Akhirat juga akan sungguhnya.

Dari segi bentuknya, haiku tiada pembayang  berbentuk (a. b) sebagaimana pantun  dengan suku kata  (10 suku kata setiap baris atau kerat). Antara haiku dan pantun sama dari segi persepsi alamiah, haiku diwakili pohon ketapang, sedang dalam  pembayang bagi pantun adalah tumbuhan yang dikenali dengan halia sejenas ramuan bagi memasak, bahkan menjadi ramuan minuman  dan makanan yang menyehatkan tubuh badan. Haiku membuat renungan dan pernyataan secara langsung tentang fenomena alam, ketapang dan gugurnya daun tua atau kering sebagai  imej dibandingkan  dengan kehidupan. Sedang pantun, pemantunnya  menghayati fenomena alamiah dari tumbuhan halia sebagai pembayang. Ungkapan dihasilkan secara teliti dengan menjaga jumlah baris dan suku kata bagi setiap baris  dan paling penting hujung bagi dua baris pembayang adalah (a, b).

Bagi haiku dan pantun membawa perutusan yang sama, iaitu tentang kefanaan alam yang melambangkan kehidupan yang akan berakhir dengan mati. Haiku membawa renungan dan falsafah tentang hidup dan mati, tetapi dalam pantun lebih jauh daripada itu, iaitu membawa keyakinan dan pegangan bahawa kihidupan tidak setakat di dunia sahaja, juga pengakhiran tidak setakat di dunia sahaja, tetapi menurut pegangan  - yang melibatkan keyakinan dalam agama Islam, pengakhiran  dan kematian tidak  setakat berakhir di dunia, tetapi akan menempuhi alam akhirat.

Puisi haiku  melibatkan persepsi alamiah renungan mendalam yang membawa kepada natijah kepada kehidupan yang berakhir dengan kefanaan.Ada elemen estetika dan kemanusiaan.

Manakala pada pantun ada persepsi alamiah, renungan dan penghayatan, ada ciri-ciri  estetika lahiri dan maknawi. Pada perutusan ada falsafah hidup dan keyakinan yang mengukuhkan pengajaran dan akidah keislaman.

Kedua-dua puisi menggambarkan keaslian bentuk puisi. Haiku bagi Jepun dan pantun bagi orang Melayu – Nusantara.  Ada pandangan hidup dan keyakinan. Kedua-duanya mencerminkan tentang kehalusan rasa, nilai budaya, peradaban dan pemikiran, sebagaimana disifakan oleh  Profesor Ungku Aziz, bahawa pantun adalah  `akal budi Melayu` dan haiku sebagai akal budi Jepun.

Sekian.

No comments:

Post a Comment