MEMPERTINGKATKAN AKTIVITI DAN KUALITI BAHASA NEGARA BANGSA
(Fikrah Bangi: 792),
BBB: 19 Rabi`ul-Akhir 1442H. = 05 Disember 2020M. (Sabtu).
Diperkatakan semalam , bahawa selepas tahun 2000 aktiviti bahasa kita bahasa Malaysia (Melayu), makin kurang diperkatakan, mengapa ? Adakah makin kurangnya keyakinan terhadap bahasa tersebut. Misalnya timbulnya cadangan PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris) sejak 1980an yang mencerminkan ketidakyakinan oleh pihak tertentu terhadap bahasa Melayu, walaupun PPSMI pernah gagal, tetapi ditimbulkan kembali oleh pimpinan bagi melaksanakannya. Atau mungkin kerana bahasa Malaysia sudah dianggap stabil. Misalnya universiti-universiti utama dinegara kita yang menggunakan bahasa Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putera Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan beberapa universiti yang lain berada pada ranking yang baik pada peringkat Asean, Asia dan Dunia. Ini mencerminkan bahawa tidak ada masalah dari segi penggunaan bahasa dari segi meningkatnya kualiti universiti-universiti di negara kita. Universiti-universiti berkenaan juga memberi kedudukan yang penting terhadap bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.
Berkurangnya perhatian terhadap bahasa Malaysia, mungkin dilihat bahawa bahasa itu tidak bermasalah dari segi penggunaannya di parlimen, penggunaannya dalam pentadbiran dan dalam bidang komunikasi. Pendek kata kini, hampir seluruh rakyat Malaysia mampu memahami dan menggunakan bahasa Malaysia. Jadi tidak ada kerisauan dari segi kemampuan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa negara bangsa.
Walau bagaimana apa yang diharap dan didambakan ialah supaya behasa kita menjadi bahasa yang unggul, bahasa yang mengidentiti dan jati diri bagi peradaban negara bangsa kita. Dilihat dari segi ini begitu luas dan banyak bidang yang perlu diterokai dan diisi sehingga bahasa kita setaraf dengan bahasa-bahasa utama di dunia dan diktiraf penggunaannya di Bangsa Bersatu dan berbagai forum antarabangsa.
Walau apapun perjuangan bagi menegakkan bahasa Malaysia (Melayu) kelihatan makin sepi dan terabai. Ini dapat dilihat dari beberapa contoh seperti:
· Tiadanya tokoh-tokoh dan aktivis-aktivis yang terus memperjuangkan bagi meningkatkan bahasa Malaysia sebagaimana wujudnya dalam tiga dekad selepas 1970an. Mereka seperti Hassan Ahmad dan Syed Nasir Ismail yang pernah menjadi Pengarah di Dewan Bahasa dan Pustaka. Begitu juga seperti Ismail Hussein yang pernah memimpin Gabungan Penulis Nasional dan beberapa pimpinan persatuan penulis yang lain.
· Sunyinya negara dari tokoh-tokoh bahasa yang sering menulis dan memberi pendapat tentang perkembangan bahasa. Dulu kita mempunyai tokoh-tokoh bahasa seperti Za`ba, Asmah Haji Omar, Nik Safiah Karim, Asraf, Awang Sarian dan beberapa lagi. Kini kita mempunyai banyak jabatan dan fakulti bahasa di universiti-universiti,tetapi tiada gagasan dan pandangan mengenai bahasa kita. Khususnya bagi meningkatnya ke taraf antarabangsa.
· Sepanjang kewujudan Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1956 hingga ke tahun 2000 badan ini begitu menonjol dari segi perjuangan bagi meningkatkan bahasa kebangsaan. Ramai tokoh dan banyak sekali penerbitan yang dilakukan. Mengapakan badan yang pernah disifatkan bertaraf universiti ini kini sepi dari kegiatan bahasa dan sastera ?
· Kementerian Pelajaran Malaysia yang Dewan Bahasa diletakdi bawah kementerian berkenaan, setakat pemerintahan baru dan terkini, nampaknya tidak memberi perhatian terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka. Kita tidak melihat – mungkin tidaksampai maklumat tentang perhatian yang diberi terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka, apa lagi perancangan yang diatur khususnya dari perkembangan bahasa dan sastera. Jika malapnya Dewan Bahasa,kerana tiada perhatian dari kementerian atau kementerian terlampau sebok dan tidak ada masa, tidakkah elok difikirkan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka dijadikan badan bebas dan mempunyai otonominya dan peruntukan tersendiri. Jika pimpinan di Dewan Bahasa itu yang menyebabkan lembabnya kegiatan berkenaan, maka tidakkah wajar dicari pimpinan yang lebih dinamik yang mempunyai misi dan visi yang jelas bagi meningkatkan bahasa Malaysia (Melayu) sebagai badan yang menjulang tinggi peradaban bahasa bagi negara bangsa kita. Pimpinan berkelayakan juga boleh dipinjam dari universiti
· Walaupun universiti-universiti awam di negara kita mencapai taraf yang baik dari segi ranking universiti-universiti pada peringkat Asean, Asia dan dunia, penonjolan dan peningkatan bahasa Malaysia, tidak ditonjolkan pada tahap yang wajar. Kita mendambakan ada beberapa buah universiti yang unggul dan berwibawa sebagai universiti yang mempunyai jabatan dan fakulti yang terkenal dengan kepakaran bahasa. Pimpinan ini wajar berada di Universiti Kebangsaan Malaysia, sebagai universiti yang diperejuangkan rakyat bagi meningkatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa unggul.Kita juga mendambakan wujudnya kerjasama antara universiti di dalam menjalankan penyelidikan dan meningkatkan kualiti bahasa Malaysia.
· Kita juga bertanya,kalau dahulu ada MABBIM (Majlis Bahasa antara Brunei, Indonesia dann Malaysia sebagai badan dan forum bagi meningkatkan bahasa serumpun, mengapakah kerjasama seperti ini tidak wujud lagi ? Tidakkah kerjasama antara negara juga antara universiti wajar dihidupkan bagi kepentingan ilmu dan bahasa serantau ?
· Kita mempunyai Asean yang sepatutnya tidak saja menjalin kerjasama dari segi politik dan ekonomi, sepatutnya diluaskan kepada bidang budaya yang antaranya melibatkan kerjasama di dalam bahasa. Selain dari segi penyelidikan yang dibuat pengajaran bahasa Malaysia dapat diperkenalkan ke negara-negara anggota, di samping diperkenalkan bahasa mereka ke negara kita. Kerjasama boleh dibuat dengan menawarkan tempat belajar kepada pelajar-pelajar negara-negara Asean belajar di universiti kita dan sebaliknya.
· Kita mempunyai puluhan universiti swasta di negara yang sebahagian pelajaradalah dari luar negara. Apakah polisi negara dari segi keperluan mereka mempelajari bahasa rasmi negara agar dapat diperkenalkan bahasa kita kepada pelajar-pelajar luar ini. Begitu juga bagaimana dengan polisi kita terhadap pelajar-pelajar luar yang datang belajar di universiti-universiti awam di negara kita agar mereka dapat mengenali dan memahami budaya dan bahasa rasmi negara.
· Pihak kerajaan,khususnya kementerian wajar memberi hadiah dan pengiktirafan kepada hasil penulisan akademik bermutu di dalam bahasa Malaysia terhadap penerbitan dan penulisan akademik yang dihasilkan di universiti dan penulisan yang bermutu wajar disebarkan ke tengah masyarakat.
· Pertandingan di kalangan pelajar di peringkat menengah dan universiti yang melibatkan peningkatan bahasa kebangsaan wajar diadakan dari masa ke masa yang memriahkan kegitan bahasa dan penggunaan.
Sudah tentu banyak lagi perancangan dan kegiatan yang dapat ditambah bagi meningkatkan kualiti bahasa kita yang mencerminkan peningkatan peradaban negara bangsa kita dari segi bahasa.
Sekian.
No comments:
Post a Comment