MENDAMBAKAN KELUHURAN PERADABAN NEGARA BANGSA
(Fikrah Bangi: 780),
BBB: 16 Rabi`ul-Akhir 1442H. = 02 Disember 2020M. (Rabu).
Kita telah membicarakan tentang tamadun, yang mencerminkan kemajuan tampak hasil dari keilmuan yang dicapai oleh sesebuah ummah dan negara bangsa. Satu lagi kemajuan yang dapat dicapai oleh ummah dan negara bangsa ialah peradaban. Pencapaian peradaban adalah nilai yang lebih tinggi dari pencapaian tamadun, walaupun sebenarnya pada kebiasaan tamadun dan peradaban sering beriringan dalam kemajuan. Namun peradaban dilihat adalah lebih tinggi. Bagi pendekatan permulaan ini peradaban dilihat secara berasingan, selepas persoalan tamadun telah dibicarakan pada peringkat permulaan dan pada akhirnya dilihat secara bergandingan, bahkan berasimilasi.
Peradaban adalah berdasarkan kata akar, iaitu`Adab`. Istilah adab pada asalnya merujuk kepada nilai dan tingkah laku murni yang ada pada seseorang. Ia diakibatkan oleh didikan yang diterima oleh individu dan kelompok, bahkan sesuatu masyarakat. Misalnya seorang anak menghormati ibu bapa dan berkasih sayang sesama keluarga, baik dan menghormati jiran tetangga, mempunyai hubungan baik dengan kawan dan dikasihi ramai. Anak sedemikian, biasanya seorang yang mendapat didikan yang baik dari keluarga yang dari kecilnya dididik secara beradab, tidak bersifat kasar dan anak sedemikian diajar oleh keluarga,bahkan dihantar belajar mengaji di tempat-tempat pengajian dan dihantar kepada pengajian formal seperti sekolah yang juga menekankan adab di samping mendidik dengan keilmuan. Anak yang dididik dengan baik melalui pelajaran keluarga dan formal ini dan dikawal dari segi pergaulan,adalah menjadi anak yang beradab. Dengan didikan yang baik, insya Allah ia menjadi seorang yang jika berjaya dalam pelajaran menjadi anak yang berilmu, beradab dan bekerjaya yang baik.
Dari adab ini, istilah berkenaan dikembang dan diperluaskan kepada `Peradaban`. Dengan istilah peradaban ini ia memberi makna yang luas yang cirinya bersifat nilai yang melibatkan kemajuan nilai berkenaan di dalam berbagai-bagai bidang. Nilai berkenaan tercetus mungkin dari pencapaian individu dalam masyarakat yang mendukung masyarakat berkenaan dan menjadi identiti bagi masyarakat berkenaan, tetapi pada kebiasaan peradaban ini adalah merupakan nilai yang dicapai oleh masyarakat yang menjadi nilai, identiti dan jatidiri bagi masyarakat berkenaan. Peradaban yang unggul adalah lebih kekal dari tamadun yang dicapai oleh masyarakat.
Antara nilai yang mencirikan masyarakat berperadaban adalah:
· Ketinggian Ilmu
Ilmu bukan saja menjadi pra-syarat bagi tamadun, tetapi juga bagi peradaban yang mungkin dicapai oleh individu, tetapi lebih bagi satu masyarakat. Misalnya Babylon mencapai peradaban, lantaran negara yang telah berusia lebih dari sepuluh ribun tahun itu terkenal sebagai negara yang mengasaskan undang-undang yang menjadi elemenpenting bagi pemerintahan dan bernegara. Ketinggian peradabannya juga dilihat dari segi penggunaan tulisan yang dikira antara terawal di dunia.
Ketingguan ilmu hasil dari para ilmuan yang menghasilkan ilmu-ilmu. Penghasilan ilmu ditulis dan diwariskan kepada generasi-generasi berikutnya. Peradaban Islam dicapai dengan lahirnya ilmuan-ilmuan di dalam berbagai-bagai bidang dan mereka menghasilkan karangan-karangan di dalam bidang keilmuan masing-masing yang diwarisi hingga kini. Proses ini juga berlaku pada zaman moden dalam mana para ilmuan, terutamanya di universiti-universiti menulis menurut kepakaran masing-masing, menjadi panduan pengajian dan diwarisi generasi. Perkembangan ilmu tidak ada batasnya, berbagai-bagai ilmu moden diterokai dan dipelajari. Ketinggian yang dapat dicapai memberi kesankepada kemajuan masyarakat dan menjadi tanda aras bagi kemajuan dan peradaban negara bangsa.
· Ketinggian Budaya
Budaya sebenarnya amat rapat dengan peradaban. Budaya berasal dari akar kata `Budi`. Budi juga adalah bersifat nilai yang pada asalnya merujuk kepada kehalusan jiwa dan tingkah laku individu dan masyarakat dalam hubungan dengan individu dan masyarakat yang lain. Sebagai contoh budi antara kawan dan kawan yang lain yang saling membantu dan menolong antara satu sama lain. Hubungan antara jiran dengan jiran yang lain yang sering unjuk-mengunjuk makanan, menolong semasa kesusahan dan sebagainya. Pendek kata kehidupan berjiran sedemikian amat disenangi. Nilai budi berlaku dalam kelompok dan masyarakat. Secara menyeluruh misalnya antara identiti orang Melayu,khususnya masyarakat tradissi terkenal sebagai masyarakat yang berbudi. Banyak ungkapan yang menggambarkan tentang nilai dan luhurnya budi bagi orang Melayu, khususnya di dalam pantun yang menjadi ciri sastera Melayu yang unggul. Misalnya:
Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa
Sekalung budi seuntai bahasa,
Pusaka warisan budaya bangsa.
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati,
Bukan ringgit dipandang orang,
Budi bahasa rangkaian hati.
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
(Sekalung Budi Seuntai Bahasa, DBP, 1990).
Sesungguhnya budi amat tinggi dipandang orang Melayu dan menjadi ciri budaya bagi bangsa tersebut. Betapa arus moden berlaku, sewajarnya budi yang menjadi ciri budaya Melayu ini perlu dipertahankan.
Banyak lagi budaya yang mencirikan nilai bagi sesuatu negara bangsa. Contoh orang Cina terkenal dengan budaya kemahiran berniaga, orang Jepun rajin dan kreatif yang semuanya boleh dijadikan panduan yang mencirikan peradaban.
Sekian.
No comments:
Post a Comment