December 26, 2020

 

POLITIK  BERMASALAH: FOKUS PAS

(Fikrah Bangi:  812),

BBB: 11 Jamadil Awwal 1442H. = 26 Disember 2020M. (Sabtu).

 

Dapat dikatakan bahawa menjelang dan hingga 2020 kebanyakan parti politik di negara kita adalah bermasalah dan permasalahan ini diwarisi hingga kini. Pas dianggap sebuah parti yang utuh. Kerja politik dilihat sebagai amanah dan tidak sepatutnya berlaku penyelewengan. Parti berpegang pada prinsip Islam, lantaran itu amat jarang kita lihat berlaku penyelewengan di kalangan ahli parti. Dalam tempoh ramai ahli politik  terseret ke pengadilan, kerana rasuah, maka isu rasuah tidak berlaku di kalangan ahli – yang berlaku mungkin kepada bekas ahli. Namun kekuatan parti ini bergantung kepada ahli orang Islam dan Pas bertapak di negeri-negeri di mana ramai orang Melayu Islam. Tradisi ini berlaku sejak dari zaman awal kemerdekaan dan Pas menguasai seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan kerusi-kerusi tertentu pada peringkat negeri yang lain.

Pihak parti yang lain menyedari tentang kekuatan Pas, tetapi terhad dan menjadi aset penting bagi mengukuhkan kekuatan pemerintahan. Pas pada dasarnya bersendirian, kecuali pada zaman pemerintahan Mageran 1970 Pas bersama menubuhkan Barisan Nasional, tetapi kemudian ditendang keluar selepas Tun Hussein Onn menggantikan Tun Razak. Selepas itu Pas adalah bersendirian.

Kesedaran ke arah kerjasama dengan parti yang lain berlaku pada zaman Presidin Pas di bawah Dato` Fadzil Noor. Ini berikutan dari usaha menuntut keadilan terhadap Anwar Ibrahim yang pada masa itu dipenjara. Isu ini amat menarik perhatian rakyat, lantaran itu terjalin kerjasama antara Pas dan Dap dan menggerak kepada penubuhan PKR pada 4 April 1999 dengan Wan Azizah menjadi Presidennya.

Kerjasama  yang asalnya digerak oleh tuntutan keadilan supaya melepaskan Anwar dari tahanan membawa kepada kerjasama politik antara Pas, Dap dan PKR melalui gagasan yang dikenali sebagai  `Alternatif`. Ini adalah merupakan kerjasama kedua bagi Pas bersama parti lain. Agak menarik untuk dilihat, bahawa pada masa itu tiada masalah kerjasama antara Pas dan Dap.

Parti Alternatif mendapat sokongan rakyat. Isu membela Anwar sebenarnya menjadikan rakyat membenci Presiden Umno dan BN. Dalam pilihanraya yang disertai Pakatan Alternatif yang dikenali dengan Pakatan Rakyat  menentang BN, memperlihatkan kejayaan kerjasama antara Pas dengan PKR dan Dap. Pakatan Alternatif berjaya menguasai Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Pengusaan ini berterusan dari 1999 (Pilihanraya ke 11) hingga pilihanraya ke 13. Hingga ke tempoh ini Pas dilihat utuh dan bekerjasama secara baik dengan PKR dan Dap. Walau bagaimana timbul perselesihan antara Pas dan Dap dalam perkara berhubung dengan soal agama dan hak-hak orang Melayu. Keretakan dilihat mula berlaku di dalam Pas sendiri, sebelum daripada itu, tidak pernah berlaku. Ketidakselesaan bermula dari wujudnya di dalam parti antara golongan yang mendapat didikan agama  dari aliran agama dengan golongan yang mendapat didikan aliran bukan agama, termasuk dari lulusan bukan agama dari luar negara. Kelainan pendidikan ini sering membawa pergeseran dari pendekatan politik yang membawa kepada penentangan terbuka terhadap pimpinan parti. Keadaan ini membawa kepada perpecahan dalam Pas. Ini menyedarkan kerugian yang  akan dihadapi oleh Barisan Alternatif. Keberadaan Pas penting di dalam Alternatif yang dikenali juga sebagai Pakatan Rakyat bagi mengekalkan sokongan orang Melayu yang kuat dengan Islam. Namun perpecahan di dalam Pas  tidak dapat dielak dari nerlaku yang membawa kepada penubuhan parti dari belahan parti  Pas, iaitu Parti Amanah Nasional (PAN) pada 16 September 2015 dengan Presiden Amanah ialah Mat Sabu dan Timbalannya Salahuddin Ayob. Amanah dilihat sebagai  mengambil tempat di dalam Pakatan Rakyat. Pas kembali mendepani politik negara secara bersendirian. Tanpa kerjasama Pas dapat mengekalkan pemerintahan di Kelantan dan Terengganu di dalam pilihanraya ke 14 pada Mei 2018, tetapi hilang dari bertapak bersama di negeri-negeri lain dari Kelantan dan Terengganu. Misalnya kehilangan sokongan di Selangor yang sebelum daripada itu menguasai 15 kerusi, tetapi tinggal hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri di Selangor. Kekurangan kerusi berlaku di Kedah, Perak dan beberapa negeri yang lain.

Apakah Amanah dapat menggantikan tempat Pas dalam pemerintahan negara  ?

Sebenarnya kenaikan pemerintahan baru selepas pilihanraya ke 14 yang dikenali dengan Pakatan Harapan, dilihat tidak dapat memenuhi harapan rakyat. Pergolakan dan ketidakpuasan hati berterusan hingga 2020 dalam mana gelanggang politik terbuka kepada perubahan termasuk dengan kerjasama Pas.

Namun Kerajaan sekarang dilihat sebagai  bertahan di dalam cabaran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment