December 4, 2020

 

LUNTURKAH  PERJUNGAN  MEMERTABATKAN PERADABAN NEGARA-BANGSA  MELALUI  BAHASA ?

(Fikrah Bangi:  791),

BBB:  18 Rabi`ul-Akhir 1442H. = 04 Disember 2020M. (Juma`at).

Pada zaman tradisi, bahasa Melayu diperkukuhkan dengan penyebaran agama Islam di rantau Alam Melayu. Bahasa Melayu dilihat sebagai bahasa yang murni yang tidak banyak dicampuri oleh istilah-istilah luar yang mengganggu kemurnian bahasa  seperti bahasa Jawa yang dicampuri dengan istilah Sanskrit  Hindu-Buddha yang boleh mengelirukan fahaman  bilabercampur misalnya dengan istilah-istilah keislaman. Lantaran itu, bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa perantaraan menyibarkan dakwah keislaman di Alam Melayu. Bahasa Melayu tidak setakat dipilih menjadi perantaraan dakwah, tetapi melalui bahasa tersebut dan pengenalan tulisan jawi berdasarkan huruf Al-Qur`an dengan beberapa tambahan huruf menjadi huruf bagi tulisan yang dikenali dengan tulisan jawi. Melaui tulisan ini terhasil dengan banyaknya kitab-kitab melalui berbagai bidang ilmu, khususnya  keislaman.  Bahasa Melayu mempunyai karya-karya besar yang mencirikan identiti dan jati diri bagi  peradaban Melayu. Misalnya karya ketatanegaraan seperti Sejarah Melayu,Taj al-Salatin, Bustan al-Salatin, Tuhfat al-Nafis dan Nasihat Segala Raja-Raja yang  begitu lengkap bagi membicarakan tentang pemerintahan dan ketatanegaraan. Peradaban Melayu mempunyai karya epik – Hikayat Hang Tuah yang mencerminkan ideal kewiraan negara. Paling banyak ialah karya yang merupakan kitab-kitab  di dalam berbagai-bagai bidang keilmuan Islam yang ribuan jumlahnya.  Terdapat banyak penulisan di dalam tibb (perubatan Melayu) dan bahasa Melayu amat kaya dengan   bentuk-bentuk dan karya sastera.

Bahasa Melayu, khususnya selepas kedatangan Islam menjadi bahasa pentadbiran dan pemerintahan. Sebagai contoh bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran di Melaka, Aceh, Johor Riau dan sebagainya. Lebih daripada itu bahasa tersebut menjadi bahasa perdagangan yang digunakan oleh pedagang-pedagang bukan saja Islam, tetapi oleh pedagang-pedagang yang bukan Islam. Dari faktor di atas bahasa Melayu menjadi bahasa lingua-franca  di Alam Melayu.

Dapatlah dikatakan dalam fasa perkembangan Islam di Alam Melayu bermula dari abad ke 12M. sehingga kepada abad 20M, maka Islam telah memainkan peranan utama di dalam menyibarkan Islam di Alam Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa intelektual yang mampu membicarakan persoalan falsafah, akidah, perundangan, tasawuf dan keakhlakan. Bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran dan pemerintahan, bahkan bahasa Melayu menjadi bahasa perniagaan dan perdagangan. Pendek kata Islam berperanan penting di dalam meningkat dan memartabatkan bahasa Melayu dari bahasa daerah dan tempatan kepada bahasa Intelektual , pentadbiran dan kemasyarakatan.

Perkembangan bahasa Melayu menghadapi gangguan dengan berlakunya penjajahan di Tanah Melayu sejak awal abad 20 apabila dijajah British, gangguan sedemikian juga  berlaku di Indonesia, apabila negara itu mengalami penjajahan dari penjajah Belanda. Selama setengah abad bahasa Melayu  tergugat. Sistem pendidikan dilakukan oleh British menurut sistem pendidikan yang sesuai dengan polisi dan kepentingan penjajahan.  Keadaan sedemikian berlaku kepada bahasa Melayu di Indonesia di bawah penjajahan Belanda yang dasar pelajaran adalah menurut kepentingan Belanda.

Pendidikan di Malaysia yang ketara ialah dengan penubuhan Malay College, Kuala Kangsa (1925). Pengajian di sini dikhususkan kepada kalangan elit yang menjadi pentadbir-pentadbir bagi pemerintahan British. Manakala sekolah-sekolah adalah menurut keperluan British, iaitu sekolah di dalam aliran berbahasa Inggeris hingga ke peringkat  menengah  menurut penilaian Cambridge, manakala pendidikan dalam bahasa Melayu hanya diwujudkan pada peringkat sekolah rendah sahaja yang melayakkan mereka yang belajar mampu mengenal huruf, membaca  dan mengira yang dapat menjalankan urusan antara pentadbir British dengan rakyat setempat. Manakala  pengajian yang bersifat rakyat dan pengajian agama tidak diberi perhatian oleh British. Sikap British terhadap pendidikan Melayu berterusan sehingga ke zaman kemerdekaan (1957). Dalam masa tersebut pendidikan berbahasa Melayu terabai dan tiada saluran bagi menyambung pelajaran ke peringkat atas.

Semangat dan kesedaran terhadap nasib bahasa Melayu adalah timbul  bersama dengan perjuangan kemerdekaan tanahair. Semangat berkubar-kubar adalah berlaku dalam tempoh setengah abad selepas kemerdekaan. Dalam masa tersebut lahirnya:

·         Dasar Pelajaran Razak  (1956) yang menjadi indukbagi  Dasar Pelajaran Kebangsaan yang melahirkan pendidikan melalui Bahasa Melayu pada peringkat menengah rendah(SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya Sijil Tinggi Persekolahan (STPM).

·         Terdirinya Dewan Bahasa dan Pustaka sejak awal kemerdekaan bermula di Johor Bharu yang dipimpin oleh Ungku Aziz dan kemudian berpindah di Kuala Lumpur. Antara pemimpin yang bersemangat dan berjasa dalam memperjuangkan bahasa Melayu ialah Syed Nasir bin Ismail, Hasan Ahmad dan  Awang Sariyan.  Melalui Dewan Bahasa dan Pustaka banyak terhasil buku-buku yang bersifak akademik dan sastera yang mempertingkatkan bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka juga menerbitkan majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera. Dewan Budaya, Dewan Siswa dan Dewan Pelajar yang menjadibahan bacaan para pelajar dan masyarakat.

·         Mulai  18 Mei 1970 mulai didirikan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjadi pengajian tinggi yang menggunakan Bahasa Melayu  sebagai bahasa perantaraan. Penggunaan bahasa Melayu diikuti oleh Universiti Malaya yang telah dibuka di Malaysia sejak (1959). Penggunaan bahasa Melayu diikuti oleh Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan juga oleh universiti yang lain yang lahir selepas itu. Ini tidakbererti berlaku pengabaian terhadap bahasa Inggeris yang diakui sebagai bahasa International yang penting. Dengan kelahiran universiti yang berjumlah dua puluh buah (IPTA) mempertingkatkan  penggunaan dan kewibawaan bahasa Melayu.

·         Dalam masa setengah abad dari kemerdekaan lahir  gerakanbahasa dan sastera yang memperjuangkan peningkatan bahasa Melayu. Misalnya lahir PENA, GAPENA dan berbagai pertubuhan bahasa dan sastera pada peringkat negeri dan daerah. Mereka mengadakan kegiatan bahasa dan sasterapada peringkat negara dan antarabangsa. Tokoh yang memimpin gerakan bahasa dan sastera ialah Profesor Ismail Hussain dan beberapa yanglain. Dalam masa tersebut banyak lahir karya-karya bahasa dan sastera yang mempertingkatkan penggunaan bahasa dan  sastera  yang menjadi jiwa bagi perkembangan bahasa. Kerjasama bahasa juga diadakan antara negara yang melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Seperti kerjasama dengan Indonesia, Brunei, Singapura, bahkan dengan pengajian  universiti di London, Leiden dan beberapa tempat yang lain.

·         Dalam tempoh setengah abad  ini dari desakan pejuang dan aktivis bahasa dan sastera diwujudkan hadiah-hadiah sastera, pengiktirafan kepada para sasterawan dengan wujudnya tokoh yang dinobatkan sebagai sasterawan negara. Banyak karya-karya bermutu yang lahir dari gerakan bahasa dan sastera.

Dalam tempoh setengah  abad  ini bahasa dan sastera Melayu semarak berkembang. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi. Bahasa pengajian pada peringkat pengajian tinggi, bahasa pentadbiran dan politik pemerintahan.

Tetapi mulai dari awal abad 21, tiba-tiba terjadi kesuraman dari  usaha meningkatkan  wibawa bahasa Melayu ke peringkat peradaban yang lebih tinggi. Banyak usaha-usaha yang dapat dilakukan, tetapi perjuangan mempertingkatkan  bahasa berkenaan semakin suram.   Mengapa ?

 

Sekian.

No comments:

Post a Comment