December 15, 2020

 

KITA TERLAMPAU BERPOLITIK

(Fikrah Bangi:  802),

Bandar Baru Bangi: 29 Rabi`ul-Akhir 1442H. = 15 Disember 2020M. (Selasa).

 Tidak  ada kekalutan politik berlaku di negara ini lebih teruk berbanding dengan kekalutan politik yang berlaku antara Mei 2018 hingga kini. Menjelang pilihanraya ke 14 pada  bulan Mei  berkenaan rakyat dimabukkan dengan GST yang dianggap membebankan rakyat disamping dengan isu-isu yang lain seperti tol , minyak dan sebagainya. Maka rakyat dengan penuh harap telah membuat perubahan membawa kepada  tumbangnya kerajaan BN pada pertengahan Mei 2018.

Namun  setahun Pakatan Harapan memerintah sebagaimana dikritik oleh Daim Zainuddin, tidak berlaku perubahan sebagaimana diharapkan.  Sementara negara pada masa yang sama menyaksikan pembongkaran rasuah besar-besaran. Mereka yang tertuduh diseret ke muka pengadilan.

Sementara rakyat resah dengan harapan yang tidak tertunai, mereka juga mula menyedari, hak-hak yang selama ini dinikmati mula terhakis,lantaran itu, mulai dari  2019 berlaku perubahan keyakinan, kalau selepas PH menang,mereka dapat memenangi beberapa PRK diadakan, terutama di Selangor, perubahan keyakinan rakyat berlaku secara berturut-turut dari awal 2019 pihak BN memenangi PRK seperti di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau.

Rakyat dimabukkan terus dengan pergolakan politik antara Dr. Mahathir dan Muhyiddin Yassin yang membawa kepada perletakan jawatan Mahathir dari Parti Bumiputra Bersatu, menyebabkan kekosongan jawatan Perdana Menteri, manakala dari satu pihak berlaku pergolakan antara Presiden PKR dan Timbalannya  Azmin Ali yang membawa terpecatnya Azmin dari PKR.

Sementara itu Umno dan Pas yang menyedari banyak kepentingan Melayu dan Islam terhakis, membawa kedua parti itu berunding ke arah kerjasama yang kemudian melibatkan Bersatu yang mencadangkan Kerajaan Perpaduan yang kemudian dikenali dengan Perpaduan Nasional. Manakala satu pihak lagi dikenali dengan Pakatan Harapan yang Anwar Ibrahim sebagai pemimpin.

Pengunduran Mahathir dari pemerintahan PH, membawa kekosongan pimpinan dan berlaku perebutan antara pimpinan politik terutama dari PKR yang menjuarai PH dan Muhyiddin yang mengambil alih pimpinan Bersatu yang telah dikosongkan oleh Mahatrhir. Beliaudianggap memimpin PN, walaupun Umno berpendapat mereka lebih berhak memimpin.

Di atas kebijaksanaan Yang DiPertuan Agong Al Sultan `Abdullah yang telah menginterview pimpinan PH dan PN dan ahli-ahli parlimen membawa kepada Tan Sri Muhyiddin terpilih menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sejak itu yang mengetuai pemerintahan Pakatan Nasional tidak terlepas dari gugatan untuk menjatuhkannya, lantaran majoriti yang dimiliki PN tipis  hanya beberapa suara. Di samping itu Kerajaan di bawah Perdana Tan Sri Muhyiddin sebaik menerima pimpinan dari bulan Mac 2020 diuji dengan masalah  besar,  iaitu wabak Covid-19 yang menyerang negara dan dunia.

D-tengah-tengah  ancaman wabak Covid-19, maka Pakatan Nasional juga menghadapi ancaman politik yang amat  tidak menyenangkan rakyat, kerana dalam masa wabak sedang melanda negera sejak Mac 2020 dan telah mengalami tiga gelombang dan masih belum dapat di atasi – sedang menunggu vaksin yang dijangka dapat meredakan wabak kini, orang politikterus bertelagah,  dan hari ini merupakan puncak yang dihadapi oleh PN. Belanjawan bagi tahun 2021, menghadapi tentangan dari pihak pembangkang.

Semalam  berita menyatakan, bahawa veteran Umno seperti Tengku Ghazali bersama Dr. Mahathir dari Pejuang menyatakan mereka tidak menyokong belanjawan bagi bacaan ketiga. Keadaan yang sama ditegaskan oleh Anwar Ibrahim selaku Ketua  Pembangkang di Parlimen.

Semasa artikal ini ditulis perbahasan sedang rancak di Parlimen, kita menunggu keputusan sama ada petang ini atau esok. Adalah satu  mala petaka bagi negara jika pihak kerajaan ditewaskan di dalam Parlimen yang boleh membawa kepada perubahan pemerintahan tanahair. Kita harap pihak yang berpolitik lebih memikirkan nasib rakyat yang tertekan dengan masalah Covid-19 dan ekonomi. Sepatutnya semua pihak memberi kerjasama ke arah meringankan beban yang dihadapi rakyat. Semua pihak harus bersabar, jika mau menukarkan pemerintahan tunggulah Pilihanraya ke 15 yang dijangka tidak berapa lama lagi.

Walau bagaimana kita berharap sesuatu yang baik berlaku hasil dari persidangan parlimen yang akan  membuat keputusan petang ini atau esok.

Sekian.

No comments:

Post a Comment