PIMPINAN DAN
ULAMA` GUNA KEINDAHAN BAHASA
(Fikrah
Bangi: 810),
BBB:
08 Jamadil-Awwal 1442H. = 23 Disember 2020M. (Rabu).
Keindahan
bahasa turut digunakan oleh pemimpin di dalam menyampaikan amanat dan ulama` di
dalam menyampaikan pengajaran. Dengan menggunakan ungkapan-ungkapan yang indah
fikiran-fikiran yang bernas bertambah indah dan meningkatkan fikiran kepada
yang bersifat falsafah, pengajaran dan peradaban. Sebagaimana sifat sastera
ianya boleh membawa makna yang konotatif dan dapat ditafsirkan secara luas dan
mendalam. Seorang Ketua Adat misalnya bercakap tidak secara direct, tetapi
menggunakan kiasan. Ibarat dan kata
perbilangan:
Kata adat
banyak kiasan,
Ditunjuk
dia, tetapi bukan,
Bergulung
pendek, panjang direntang,
Tak faham
kalau tak direnungkan.
Dalam
perbincangan di kalangan anak buah dan masyarakat semua pihak diambil kira,
yang lama diperbaharui, kurang sama dilengkapkan dan yang lebih buat
kebajikan. Ibarat kata perbilangan:
Usang-usang
diperbaharui,
Lapuk-lapuk
dikajangi,
Yang
elok dipakai,
Yang
buruk dibuang.
Kalau
singkat minta disambung,
Kalau
panjang minta dipotong,
Kalau
koyak minta ditampal,
Adat
dipakai baru,
Kain
dipakai usang,
Kuat
kerana maufakat
Berbalah
undang mudarat.
Ketua
selalu berdepan masalah, ianya adalah ujian kepimpinan. Kepimpinan yang bijak
dapat menyelesaikan masalah. Ibarat kata perbilangan:
Tidak
ada keruh yang tak jernih,
Tidak
ada kusut yang tak selesai,
Kusut
benang cari ujung dan pangkal,
Kusut
rambut ambil minyak-sikat dan ungkai
Sesat
dihujung jalan balik ke pangkal jalan.
Bulat
air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.
Dalam masyarakat sebagaimana pemimpin dipatuhi
dan diikut arahan, guru sama berkedudukan di tengah masyarakat. Darinya diambil
pengajaran dan diamalkan. Guru tidak saja mengajar menurut ayat dalam
kitab,tetapi juga menggunakan kaedah keindahan bahasa untuk menarik pengajaran
seperti menggunakan bait-bait sebagai inti pengajaran yang dapat dihuraikan
secara panjang lebar sebagai tafsiran.
Raja
Ali Haji seorang ulama besar dari Riau
abad ke 19 menggunakan gurindam
dan syair disamping karangan-karangan kitab yang dihasilkannya. Beliau dapat
menukarkan imej gurindam yang biasanya bersifat
rakyat, gurau dan sindiran kepada yang berjiwa agama seperti Gurindam Dua Belas
yang sarat dengan pengajaran keagamaan. Contoh:
Barangsiapa tiada memegang agama,
Sekali-kali
tiada boleh dibilangkan nama.
Barangsiapa
mengenal Allah,
Suruh
dan tegahnya tiada ia menyalah.
Apabila
terpelihara mata,
Sedikit
cita-cita.
Apabila
terpelihara kuping,
Khabar
yang jahat tidaklah damping.
Hati
itu kerajaan dalam tubuh,
Jikalau
zalim segala anggota pun roboh.
Mengumpat
dan memuji hendaklah fikir,
Di situlah
banyak orang tergelincir.
Pekerjaan
marah jangan dibela,
Nanti
hilang akal di kepala.
Jikala
hendak mengenal orang yang mulia
Lihatlah
kepada kelakuan dia.
Demikian
beberapa petikan dari Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji yang sarat dengan
pengajaran dan pendidikan agama.
Sama
ada ungkapan perbilangan adat atau gurindam Dua Belas, jelas ketinggian akal
Budi Melayu yang mencerminkan ketinggian peradaban bangsa berkenaan yang
sepatutnya menjadi tauladan dan panduan kehidupan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment