PANTUN
GENIUS PERADABAN MELAYU
(Fikrah
Bangi: 796),
BBB:
23 Rabi`ul-Akhir 1442H. = 09 Disember 2020M. (Rabu).
Dalam
perkembangan sastera Melayu tradisional, khususnya puisi, maka pantun adalah
satu-satunya bentuk puisi tradisi asli Melayu
dan paling popular di dalam sastera Melayu. Puisi ini, walaupun dikategorikan
sebagai tradisional, tetapi ianya tetap terkenal dan terus digunakan hingga
kini dan akan berterusan.
Berhubung
dengan asal usul pantun, tiada satu pendapat yang mengaitkan asal pantun dari luar dari budaya masyarakat Melayu.
Membicarakan bila lahir puisi sebagai
hasil sastera dan budaya Melayu, walaupun ada yang mengatakan
kemungkinan lahir pada abad ke 15, berdasarkan catatan-catatan yang dijadikan
rujukan, tetapi tiada siapa dapat menafikan bahawa asal pantun lebih lama dari
itu. Selama telah wujudnya masyarakat Melayu.
Pantun
adalah dari genius Melayu yang bukan saja dapat dilihat dari segi bentuknya
yang unik, tetapi juga dari segi mesej dan kandungan yang mencerminkan ciri dan
sifat watak Melayu. Tidak ada bentuk puisi dunia yang lain yang bila hendak
membicarakan tentang sesuatu , diambil sesuatu yang tidak ada kaitan dengan
mesej yang hendak disampaikan. Iaitu penggunaan yang diistilahkan pembayang,
selepas itu baru disampaikan maksud. Ini mencerminkan sifat dan jiwa Melayu
yang halus, bertartib dan tidak terus menyatakan sesuatu, sebaliknya secara
berlapik dan bertertib.
Pantun
yang popular ialah pantun dua kerat dan empat kerat dan pertambahan kerat-kerat
yang lain. Cara mengungkapkan pantun, biasanya diambil pembayang dari fenomena
alamiah yang dipandang dan biasanya dari situasi sekeliling yang dialami
pengungkap dan setiap kerat yang diungkap cukup dengan kadar nafas biasa yang biasanya antara 9 hingga 12 suku kata. Sebagai contohnya bagi pantun dua kerat:
Sebab
pulut santan binasa,
Sebab
mulut badan binasa.
Baris
pertama adalah pembayang, iaitu kerat pertama, manakala baris kedua adalah
maksud adalah maksud yang hendak disampaikan. Pengambilan bahan pada baris
pertama adalah luar dari jangkaan dan boleh menjadi tekateki jika tidak diberi
tahu akan maksud yang sebenar hendak disampaikan. Mengapa diambil pembayang
kepada pulut dan santan ? Ia adalah pengalaman dan fenomena alam yang
dialami oleh seorang yang berurus dengan masakan pulut yang menggunakan santan,
maka diambil pembayang bagi pengalaman alamiah yang dihadapi – santan rosak,
jika tidak pandai mengadun ada memasaknya. Pada kerat pertama ini sebutan
adalah terdiri dari sembilan patah sebutan, iaiu jumlah normal bagi sebutan
bagi satu-satu nafas biasa.
Bagi
pantun dua kerat, maka ianya berbentuk dua baris yang pada akhirsetiap baris
ialah a, a. Ertinya rima bagi hujung bagi setiap baris adalah sama
bunyinya,iaitu a, a. (di sini secara kebetulan kata awal dan hujung adalah
sama, sebab – binasa) dan bukan kebiasaan
begini. Mesej bagi pantun ialah
pada baris kedua. Ianya membawa nilai budaya pendidikan yang tinggi dari segi akhlak.
Bahawa seseorang dididik supaya menjaga
mulut dan seharusnya berfikir sebelum mengungkapkan sesuatu persoalan yang jika
silap boleh memudaratkan diri. Jika salah sebutan boleh membawa kepada
perbalahan dan persengkitaan. Ibarat kata pepatah `terlajak perahu boleh
ditarik, terlajak mulut padah diri.
Contoh
yang lain bagi pantun dua kerat yang akhir atau hujung bagi setiap kerat
berlainan perkataan dan merupakan normal bagi setiap pantun baik dua kerat atau
jumlah kerat-kerat yang lain ialah:
Memandang
laut luas membiru,
Terkenang
emak hatiku rindu.
Pantun dua kerat di atas mengambil pembayang
dari suasana alam, iaitu pandangan dari tepi laut yang nyaman yang membawa
kepada cetusan ingatan kepada orang jauh yang diingati ibu ! Dalam ketenangan
itu pengungkap meluahkan rasa hatinya kepada orang yang dikasihi, iaitu ibunya.
Tidak ada ulangan kata yang sama di dalam dua rangkap di atas sebagaimana di
dalam dua rangkap pantun pertama di atas.
Mesej
di atas menggambarkan kehalusan rasa jiwa pengungkap yang dibayang dan
dibandingkan laut dengan gejolak rasa rindu. Kehalusan rasa dan adab yang
diluahkan secara halus ini membayangkan budaya tinggi dan adab bagi masyarakat
Melayu yang memang terkenal sebagai bersopan santun itu. Justeru pantun adalah
elemen bahasa, budaya dan peradaban tinggi bagi masyarakat Melayu.
Keindahan
pantun bukan saja menjadi milik masyarakat
Melayu, tetapi juga menjadi budaya bagi masyarakat Malaysia. Pantun dua kerat
misalnya menjadi popular di kalangan ahli parlimen mengemukakan soalan di dalam
Parlimen dengan menggunakan pantun dua kerat. Misalnya bila speaker menjemput
ahli dewan mengemukakan soalan, sering soalan disampaikan secara berpantun dua
kerat. Misalnya:
Tuan
Speaker:
Ketupat
berdaun palas
Soalan
saya no.sebelas !
Sekian.
No comments:
Post a Comment