December 28, 2020

 

PKR – HARAPAN YANG BELUM TERLAKSANA

(Fikrah Bangi: 814),

BBB:   13 Jamadil-Awwal 1442H. = 28 Disember 2020M. (Isnin).

 

Setakat ini tiada sebuah parti yang ditubuhkan hasil dari perjuangan bagi membela seseorang, melainkan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tokoh yang menjadi isu perjuangan tidak lain dari Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai aura kepimpinan yang hebat. Beliau mempunyai pengikut yang ramai dan memberi kesan terhadap politik negara.

Sejak menjadi mahasiswa Universiti Malaya beliau menjadi aktivis pelajar dan mengambil wadah Islam sebagai landasan perjuangan. Beliau memimpin Persatuan Islam Universiti Malaya. Selepas tamat belajar di UM (1970) beliau memimpin PKPIM dan menubuhkan ABIM sebagai wadah utama bagi gerakan  pemuda. Bakat kepimpinannya disedari Tun Razak dan menawarkannya untuk bergerak bagi kepimpinan Pemuda.

Melibatkan diri dalam politik, terutama  Umno dilihat pada masa itu tidak selari dengan wadah perjuangan Islamnya. Bila Anwar mau melibatkan diri dalam politik Umno, terjadi perpecahan pendapat. Pemilihan Anwar terhadap Umno, menyebabkan berlaku perpecahan dengan Timbalannya Fadzil Noor  yang memilih wadah perjuangan di dalam Pas. Dua tokoh ini begitu berpengaruh. Anwar naik dengan pantas di dalam kabinet dari Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, kepada Menteri Pelajaran dan Kewangan. Manakala Fadzil Noor mengambilalih pimpinan Pas dari Asri Muda. Mereka berdua melakar sejarah  politik penting tanahair.

Kecepatan Anwar naik dalam politik hingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri menimbulkan cemburu pihak tertentu, beliau dikaikan dengan skendal yang bukan saja beliau dipecat dari Timbalan Perdana Menteri, tetapi terseret ke dalam tahanan.

Pengikutnya sama ada di dalam Umno, atau Pas yang dipimpin oleh Fadzil Noor  melakar kerjasama politik melalui gagasan parti Alternatif yang disertai sama oleh DAP, manakala dari satu pihak pengikut dan penyokong Anwar berusaha menubuhkan parti politik baru (PKR) pada 4 April 1999 di Hotel Rennaissance, Kuala Lumpur dan Wan Azizah isteri Anwar dilantik sebagai Presiden.

Pengaruh PKR yang baru ditubuh itu bersama Pas dan DAP begitu kuat dan dalam pilihanraya akhir 1999 berjaya menguasai Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan  dan Terengganu. Kerjasama antara parti ini dilihat berpotensi untuk mengambilalih pemerintahan negara, tetapi dalam pilihanraya ke 11 agak terencat sedikit, kerana mood pilihanraya agak berubah, BN  kembali kukuh, apabila Tun Abdullah Badawi mengambilalih pemerintahan sebagai Perdana Menteri dengan imejnya sebagai `Mr. Clean`.

Isu  membela Anwar terus hidup dalam pilihanraya ke 12 dan Pakatan Alternatif kembali kukuh hinggalah pilihanraya ke 14 BN tergugat semasa BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendepani isu GST, Tol, harga minyak dan sebagainya.

Pilihanraya ke 14 pada 18.5.2018 yang  dimenangi PH  membawa kepada pengampunan dan kebebasan Anwar dari tahanan. Beliau disebut-sebut bakal menjadi Perdana Menteri yang dijanjikan oleh Tun Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun. Laluan diberi kepadanya bertanding dalam pilihanraya kecil Port Dickson pada 14 Oktober2018. Ini membuka jalan bagi Anwar untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

Tetapi  jalan tidak mudah bagi Anwar bagi menduduki kerusi Perdana Menteri, kerana walaupun dijanji dalam tempoh dua tahun, berbagai-bagai halangan yang timbul dan semakin lama masa tertangguh makin menimbulkan masalah, termasuk perbalahan yang timbul di dalam PKR sendiri, khususnya pemilihan Timbalan  Presiden PKR antara  Azmin Ali dan Rafizi Ramli yang akhirnya membawa kepada tersingkirnya Azmin dari PKR bersama-sama beberapa yang lain, termasuk Zuraida Kamaruddin.

Kelemahan pemerintahan PH selepas  satu setengah  tahun memerintah menimbulkan pergolakan di dalam PH sendiri dan mulai menghadapi tentangan dari Pakatan Nasional yang membawa kepada undi tidak percaya kepada kepimpinan. Langkah Sheraton yang berlaku pada 23 Februari 2020, sesuatu yang mistri yang membawa kepada perletakan jawatan Tun Mahathir dari Perdana Menteri yang membawa kepada Yang DiPertuan Agong menyelesaikan politik yang berlaku. Antara calon untuk pilihan Perdana Menteri  ialah Dato` Seri Anwar Ibrahim, di samping  Tan Seri Muhyiddin Yassin.  Akhirnya Tan Seri Muhyiddin Yassin dipilih oleh Yang DiPertuan Agong menjadi Perdana Meteri berdasarkan Perkara 40 Perlembagaan.

Ada beberapa kali dakwaan Datuk Seri  Anwar Ibrahim mengatakan beliau mendapat majoriti Ahli Parlimen, tetapi tidak menjadi realiti sehingga rakan-rakan dari Dap dan Amanah  meminta Datuk Seri Anwar berhenti dari mengejar bayang-bayang.

PKR mempunyai peluang bagi memimpin, namun dilihat dari segi pendekatan pengaruh PKR makin menurun. Mungkin dilihat lari dari perjuangan asal. PKR perlu memperbaiki imej dan prestasi  bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment