PERKEMBANGAN BAHASA MEMPERLUAS MINDA
( Fikrah Bangi: 793),
BBB: 20 Rabi`ul-Akhir 1442H. = 06 Disember 2020M. (Ahad).
Kita mau bahasa Melayu (Malaysia) kita menjadi suatu dari aras ketinggian peradaban negara bangsa kita. Dengan meluaskan penggunaannya dalam bidang sains-teknologi dan ekonomi yang sedang pesat berkembang sekarang dan pengolahan terhadap perkembangan keilmuan berkenaan dilakukan di dalam bahasa Malaysia. Maka berlakunya pertambahan peristilahan di dalam bidang-bidang berkenaan di dalam bahasa Malaysia, maka dengan demikian berlaku pertambahan dan memperkayakan istilah di dalam Bahasa Malaysia. Peranan utama yang terkedepan dari segi penggunaan istilah-istilah baharu berkenaan ialah para pensyarah yang mengajar dan membimbing para pelajar di dalam bidang sains-teknologi dan ekonomi berkenaan.
Untuk menjadi lebih teratur dan tidak berlaku kecelaruan dari segi penggunaan istilah dan mendapat persetujuan bagi pakar-pakar di dalam bidang sains-teknologi dan ekonomi, seharusnya ada badan penyelaras yang diwakili pakar-pakar perunding di dalam bidang berkenaan. Dahulu peranan ini dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatankuasa istilah tidak saja di dalam bidang sains-teknologi dan ekonomi, tetapi melibatkan juga di dalam bidang-bidang yang lain, termasukdi dalam bidang keislaman. Apakah badan ini masih wujud ? Jika kita cintakan bahasa Malaysia kita, dan mau melihat perkembangan bahasa kebangsaan kita terurus dengan baik, wajar badan ini terus wujud dan dipertingkatkan. Sewajarnya Jawatankuasa istilah diwujudkan pada peringkat jabatan di universiti, keputusan tentang istilah dibawa kepada peringkat universiti dan dari universiti dibawa ke peringkat Jawatankuasa induk di Dewan Bahasa dan Pustaka. Lebih baik dari peringkat negara dibawa dibincang pada peringkat Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia untuk diputuskan sebagaimana pernah dilakukan pada suatu masa dahulu. Bila istilah-istilah di dalam suatu bidang telah diterima pada peringkat Majlis atau pada peringkat nasional, ianya hendaklah menjadi bahan bagi kemasukan istilah-istilah bidang-bidang dan juga kemasukan di dalam Kamus bahasa Malaysia yang selama ini dikendalikan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Kita bertanya, sebagai salah seorang yang pernah mengaggotai dalam satu bidang kecil, apakah usaha murni sedemikian masih berjalan ? Jika tidak amatlah wajar kerja-kerja bagi meningkatkan bahasa Malaysia dan bahasa serumpun ini perlu dihidup sama ada atas nama lama atau nama dan pendekatan baru.
Pengkayaan dari segi istilah yang berhubung dengan sains-teknologi dan ekonomi memperkayakan bahasa Malaysia kita yang selama ini berbanding dengan istilah-istilah yang lain, misalnya dengan bidang budaya, bahasa kita masih miskin di dalam bidang sains-teknologi dan ekonomi. Dengan kayanya bahasa kita, dengan pertambahan istilah-istilah di dalam sains-teknologi dan ekonomi memperkayakan minda warga negara bangsa kita. Mereka membaca, menggunakan istilah-istilah di dalam pembelajaran dan mengaplikasikan dari segi amalan. Mungkin sebahagian dari istilah ini bersumber dari perkembangan bidang sains-teknologi dan ekonomi dari keilmuan bangsa lain, tetapi tiada masalah,ianya boleh disesuaikan dengan bahasa kita atau mengangkatnya terus dari bahasa asal yang digunakan oleh bahasa-bahasa yang mendahului perkembangan keilmuanberkenaan berbanding dengan bahasa kita. Kerja-kerja mewujudkan istilah-istilah baru perlu dilakukan dalam kadar yang segera sesuai dengan perkembangan ilmu dan peristilahan yang dinamik, jika tidak kita ketinggalan. Kita maklum misalnya kerja-kerja terjemahan dari bahasa asal kepada bahasa kedua pengguna misalnya dilakukan secara pantas. Misalnya terjemahan dari bahasa Inggeris ke bahasa Jepun bahkan ke bahasa Indonesia dilakukan dengan cepat. Soal wajar atau tidak dilakukan terjemahan berbanding dengan pemahaman langsung di dalam bahasa asal, bagi yang menguasai bahasa misalnya Inggeris, sudah tentu tidak perlu diadakan terjemahan, tetapi tidak semua hasil dari bahasa lain kita kuasai seperti dari bahasa Jepun, Cina, Rusia dan sebagainya perlu dilakukan terjemahan segera. Melalui terjemahan misalnya berlaku kemasukan istilah baharu ke dalam bahasa Malaysia yang memperkayakan bahasa Malaysia itu sendiri. Walau bagaimana penggunaan istilah baharu perlu disaring dan diterima dan menjadi istilah baharu yang bertambah di dalam vacabulary pengistilahan bahasa kita.
Bahasa Melayu kita adalah bahasa yang fleksibal dan mudah menerima penyesuaian pertambahan istilah dan diaplikasikan dalam penggunaan. Ini berlaku sejak dari awal perkembangan bahasa berkenaan. Bahasa Melayu pernah menerima pertambahan istilah dari bahasa Sanskrit, istilah-istilah keislaman dan kini istilah bahasa-bahasa moden, terutama bahasa Inggeris. Sebenarnya tidak berlaku kecacatan, bahkan memperkayakan.
Kita berbangga kini bahasa Malaysia kita digunakan oleh hampir keseluruhan bangsa Malaysia. Ianya digunakan secara sempurna di Dewan Rakyat, Di Dewan Negeri,digunakan di universiti-universiti, diungkapkan oleh para etlit sukan dan oleh semua golongan dan lapisan masyarakat.
Walau bagaimana ada semacam halangan psikologi yang ada dalam minda dan dada setengah daripada tokoh-tokoh kita, misalnya apabila bercakap tentang ekonomi, walaupun dalam khalayak yang sepenuhnya orang Malaysia , tetapi kalangan ekonomis menggunakan bahasa Inggeris misalnya, begitu juga di dalam bidang sains-teknologi yang seharusnya menggunakan bahasa Malaysia di dalam kalangan masyarakat Malaysia. Adalah tidak menjadi halangan, jika khalayak semuanya hanya mampu berbahasa Inggeris,maka wajarlah digunakan bahasa tersebut.
Walau bagaimana, selain dari halangan psikologi, tidak wujudnya rasa patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sendiri, lebih teruk lagi ada yang memandang rendah terhadap bahasa yang sepatutnya menjadi identiti dan jiwa negara bangsa kita. Sebenarnya kita melihat rasa bangga dan patriotisme terhadap bahasa adalah rendah, seharusnya,ianya sebagai identiti dan jatidiri negara bangsa ianya sepatutnya menjadi kemegahan dan dokongan warga negara bangsa sebagaimana kita menghormati dan bangga dengan rukun negara kita.
Sebenarnya,bagi bangsa lain, kemegahan terhadap bangsa dan bahasa mereka menjadi sebahagian dari identiti dan jati diri mereka. Misalnya perwakilan Perancis akan berucap di Pertubuhan Bangsa Bersatu di dalam bahasa Perancis, demikian misalnya perwakilan Cina, Rusia dan sebagainya. Sebagai bangsa yang bermaruah dan mempunyai penduduk kelima terbesar di dunia bersama Indonesia, kita seharusnya berusaha agar bahasa Melayu-Indonesia menjadibahasa dunia yang diterima di Bangsa Bersatu.
Kita seharusnya berusaha meningkatkan bahasa Melayu menjadi bahasa yang bermaruah dan bahasa yang mendukung perdaban negara bangsa kita.
Sekian.
No comments:
Post a Comment