December 22, 2020

 

PENGGUNAAN BAHASA MENARIK DI DALAM DEWAN

(Fikrah Bangi: 809),

BBB:  7 Jamadil Awwal 1442H. = 22 Disember 2020M. (Selasa).

 

Pagi ini sebelum ke pejabat, Penulis berkesempatan mengikuti sedikit persidangan Dewan Negara. Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr. Rais Yatim yang terkenal sebagai Pakar bidang undang-undang, budayawan dan juga ahli bahasa dalam sesi soal jawab menjemput seorang Ahli Dewan Negara mengemukakan  soalan kepada Menteri Pelancongan dengan mengungkapkan:

Tuan Yang Dipertua,terima kasih:

Sorong papan tarik papan,

Soalan saya nombor lapan.

Ungkapan  berkenaan mengestetikakan soalannya dengan menggunakan pantun dua kerat. Kita fikir ini adalah satu cara kaedah meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan dan memvariasikan kaedah berbahasa di dalam mengemukakan soalan. Cara ini memang sudah menjadi satu kaedah bagi pengemukan soalan dalam dewan dan merupakan sesuatu yang baik dan terus diamalkan di samping menampilkan soalan secara biasa – sesuatu yang mempelbagaikan. Cara ini kita anggap tidak  merugikan masa, sebaliknya memperindahkan soalan dan menyegarkan dewan.

Cuma setakat ini, sepanjang kita ikuti sidang, bagi yang menggunakan ungkapan yang bersifat sastera ini hanya terhad kepada penggunaan pantun dua kerat. Ianya septutnya boleh menggunakan pantun lengkap empat kerat, iaitu dengan menyentuh sedikit persoalan yang dibawa ke dalam soalan. Misalnya,

Ke hulu mudik bersampan,

       Singgah di tebing ambil karung;

Soalan saya nombor lapa,

Sudahkah diusaha giat pelancong ?

 

Cara sedemikian tidak membazirkan waktu, tetapi menyegarkan minda dan menambah perhatian ahli dewan terhadap  pertanyaan dan dapat ditanggap inti persaoalan yang dikemukakan.

Cuma barangkali situasi akan menjadi lebih meriah, jika sekali sekala Tuan Yang Dipertua seorang budayawan dan ahli bahasa menyelitkan ucapan dan arahan, tidak saja di dalam bentuk pantun, tetapi juga misalnya dengan menggunakan bentuk teromba yang berasal dari Negeri Sembilan, juga Yang Dipertua berasal dari Negeri Sembilan: Misalnya pada awal sidang Isnin 21 Disember 2020 diselitkan ucap takziah dengan menggunakan perbilangan.

Misalnya:

Sidang Dewan bermula dengan tafakur,

Mengenang Tun Hajah Rahah yang pergi,

Harimau mati meninggalkan belang,

Manusia mati meninggalkan nama

Tiap pejuang mengangkat martabat,

Ada sayap bersama memperkuat,

Tun Razak Perdana Menteri terbilang.

Tun Rahahlah  bersamanya bergandingan.

Al-Fatihah !

Sudah tentulah jika sidang yang bermula dan berkebetulan dengan  kematian Tun Hajah Rahah sebelumnya menjadikan majlis lebih hening dan menarik, khususnya dengan membaca Al-Fatihah atau berdiri tafakkur bagi yang bukan muslim.

Untuk memvariasikan ungkapan dalam dewan, tanpa mengabaikan tujuan asal bagi bertanya dan menyampaikan maklumat, banyak lagi jenis dan bentuk sastera yang dapat digunakan. Dalam hal ini, barangkali pegawai dari Dewan Bahasa dan Pustaka wajar menyusun kursus bahasa dan sastera yang wajar disampaikan kepada ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan juga Dewan Negeri bagi meningkatkan kualiti penggunaan bahasa dan sastera di dalam dewan yang bererti meningkakan kualiti berbahasa di dewan.

Kita melihat, bukan setakat kursus, tetapi Dewan Bahasa dan Pustaka wajar memantau penggunaan bahasa di Dewan dan mungkin secara tahunan dinobatkan ahli dewan yang terbaik di dalam berbahasa di dewan dan diberi penghargaan.

Dalam sejarah dewan, banyak lahir tokoh yang petah bercakap, berbahas, berhujah  dan menggunakan bahasa yang bersifat balaghah. Mereka  umpamanya Dato` Onn bin Ja`far, Zulkifli Muhammad, Dato` Asri Muda, Tan Chee Kon, Ahmad Boestamam, Fadzil Nor, Lim Kit Siang, Samy Vellu dan beberapa lagi.

Pihak Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka  tidaklah rugi, jika memberi penghormatan kepada mereka dan mengeluarkan penerbitan-penerbitan mengenang kecemerlangan ahli-ahli dewan berkenaan. Sebenarnya mereka menjadi contoh tauladan yang baik bagi generasi seterusnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment