December 3, 2020

 

 

BAHASA  DAN  ARAS  PERADABAN

(Fikrah Bangi:  790),

BBB:  17 Rabi`ul-Akhir 1442H. = 03 Disember 2020M. (Khamis).

Salah satu bahan yang mencerminkan peradaban, ialah `Bahasa`. Bahasa ialah alat  atau tanda bagi mengenali benda dan tindak laku yang ada dan berlaku di ruang tempat dan masa. Tanda bagi pengenalan ini diberi oleh manusia dan masyarakat. Dengan wujud tanda yang dikenali dengan nama dan perbuatan memudahkan  pengenalan, rujukan dan ingatan bagi individu dan masyarakat. Proses penandaan ini mengambil masa yang panjang dan berterusan. Ia bermula dari pengenalan terhadap sesuatu yang dekat, meluas kepada alam dan masyarakat sekeliling hingga kepada yang bersifat global. Penandaan bermula dari bersifat nyata kepada tidak nyata dan konseptual.

Penandaan yang dikenali sebagai penamaan bermula dari yang terdekat. Misalnya di dalam keluarga diberi nama dan dikenali, bahkan dipelajari dan disebut misalnya  terhadap ibu, ayah, adik beradik,  datuk, nenek, ibu dan bapa saudara, sepupu, kawan dan masyarakat sekeliling. Pengenalan yang dekat ialah terhadap objek-objek yang paling dekat seperti, pondok, rumah, tanah, pokok, haiwan belaan dan sebagainya. Penandaan juga dibuat terhadap perbuatan seperti duduk, bangun, berjalan, berlari, angkat, pikul, jinjing, bercakap, suka, marah, jatuh bangun dan sebagainya.

Bahasa berkembang dengan perluasan pengenalan kelilingan dan banyak interaksi. Semuanya diajar dan dipelajari oleh anak-anak, dalam keluarga dan masyarakat. Melaluinya terjadi interaksi sosial dalam kehidupan keluarga dan masyarakat.Bahasa berkembang dengan perkembangan aktiviti di dalam kehidupan masyarakat. Ciri dan identiti bahasa dalam kelompok dan masyarakat  dikenali  sebagai satu bahasa bagi kelompok masyarakat. Misalnya bagi kelompok dalam masayarakat di Semenanjung dikenali dengan identiti kelompok  berbahasa Melayu, maka jadilah bahasanya dikenali dengan bahasa Melayu. Bahasa yang hidup berkembang meluas bagi kawasan di Semenanjung dikenali sebagai bahasa Melayu. Dalam interaksi dengan pihak luar juga dikenali dengan bahasa Melayu. Kerana bahasa ini lebih popular, maka dalam hubungan antara luar dan bahasa ini meluas di Kepulauan  Melayu, maka ia mengatasi bahasa dan dialek yang lain, maka ianya menjadi bahasa yang digunakan sebagai bahasa komunikasi bagi penduduk di Gugusan  Semenanjung dan Pulau-pulau Melayu.

Kekayaan sesuatu bahasa, khususnya bahasa Melayu bergantung kepada lumrah bidang yang  popular digunakan. Misalnya  lumrah kehidupan masyarakat Melayu di hutan, tanah ladang, sungai dan laut, maka bahasanya kaya dengan suasana sedemikian, misalnya istilah-istilah yang berhubung dengan pertanianseperti  tanah, padi, ubi, keladi, perahu,  bubu,  ikan, kucing,  pelanduk, kijang,  rusa dan sebagainya. Perkembangan kehidupan dalam kelompok masyarakat membawa pengenalan kepada konsep kampung, ketua kampung yang melahirkan aturan, adat dan aturan yang dipatuhi. Di dalam kehidupan sosial yang berlaku  perkahwinan dan  kematian, kerja-kerja  secara ramai  tumbuh cara hidup tolong menolong yang dikenali dengan gotong royong. Dari perhubungan dengan luar tempatan lahir kosep negeri dan pemerintah, antaranya dikenali dengan raja.  Berlaku keperluan menukar barang yang asalnya bersifat barter kepada perniagaan, maka berlaku pertambahan bahasa dari segi istilah perdagangan, peraturan pemerintahan yang dikenali dengan undang-undang. Dalam perkembangan kehidupan dan pemerintahan tidak sunyi dari berlaku konflik. Bahkan  peperangan antara yang bersifat setempat, misalmya antara negeri dan dengan luar seperti  berlaku dengan misalnya  Siam, Portugis, Belanda dan British.

Dalam masa tersebut bahasa Melayu dapat dikatakan berkembang secara natural di dalam berbagai-bagai bidang. Misalnya dalam bidang pentadbiran dan pemerintahan, perniagaan, pertanian dan kekeluargaan.  Sebelum dari berlakunya penjajahan dari luar hasil dari hubungan dagang dan dakwah berlaku penerimaan Agama Islam. Maka berlaku pembelajaran yang bersifat formal yang menambahkan kekayaan bahasa Melayu dengan istilah-istilah keilmuan Islam di dalam bidang akidah, syariat, akhlak sebagaimana berlaku di Terengganu,  Melaka, Johor, Aceh dan Riau. Dengannya berlaku pembelajaran tulisan yang dikenali tulisan yang berasaskan huruf Al-Qur`an. Bermula dari sini, sebagaimana terbukti pada Batu Bersurat Terenggan (702/1303M.), maka berlaku perkembangan tulisan yang kemudian dikenali  sebagai     tulisan Jawi . Ianya berkembang di Terengganu, Johor, Melaka, Patani dan Makkah (Pusat Pengajian kitab Melayu).

Melalui berbagai medium penggunaan bahasa Melayu, khususnya melalui pusat dagangan di Melaka, bahasa Melayu berkembang menjadi lingua-franca di Gugusan Kepulauan Melayu di Alam Melayu. Bahasa Melayu sehingga ke awal abad ke 20 menjadi sebagai  salah satu bahasa unggul di dunia yang perkembangannya melalui pemerintahan, kehidupan kemasyarakatan, perniagaan dan pengajian. Bahasa Melayu menjadi bahasa yang teratur, terutama melalui karangan-karangan yang terhasil sepanjang zaman perkembangannya seperti terhasil kitab-kitab seperti kitab ketatanegaraan  seperti Sulalatu al-Salatin (Sejarah Melayu), Tajal-Salatin dan  Bustan al-Salatin, kitab-kita keagamaan yang dihasilkan oleh seperti Nuruddin Al-Raniri, Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel,  Abdul Malik bin Abdullah Terengganu, Muhammad Arshad al-Banjari, Syeikh Daud al-Fatani dan rangkaian pengarang Fatani yang lain dan berbagai-bagai pengarang yang lain yang  jumlah manuskrip hasil dari zaman Islam  sehingga 15,000 buah naskhah  yang antaranya tersimpan di dalam  berbagai perpustakaan baik di dalam dan di luar negara. Sebahagian besarnya masih belum dikaji.

Pada zaman tradisi sejak dari abad ke 13 hingga awal abad ke 20, bahasa Melayu dengan tradisi keilmuan , pemerintahan,perdagangan dan kehidupan sosial menjadi salah satu bahasa dunia, khususnya  berkembang di  kawasan rantau  Alam  Melayu yang hasinya bertapak di Alam Melayu hingga kini. Perkembangan bahasa ini telah mencapai aras yang baik dan menjadi jurucakap bagi peradabannya, khususnya dari segi keilmuan, bahasa dan kemasyarakatan selama  hampir lapan abad lamanya. Dalam masa  tersebut bahasa  Melayu mendukung peradaban dalam bidang  keilmuan, pemerintahan, keagamaan,  perdagangan, komunikasi, perundangan dan kemasyarakatan.

Bahasa  adalah mengalami kemajuan dan kemunduranmenurut  masyarakat pendukungnya. Bahasa ini kelihatan terus bertahan,  walau  bagaimana jatuh bangunnya bergantung kepada negara bangsanya. Sejauh mana komitmen yang diusahakan sejauh itulah jatuh bangun yang dihadapi bahasa tersebut. 

 

Sekian.

No comments:

Post a Comment