SIA-SIA
MENCARI ASAL USUL PANTUN – ALI SJAHBANA
(Fikrah
Bangi: 807),
BBB:
05 Jamadil Awwal 1442H. = 20 Disember 2020M. (Ahad).
Pantun
mencerminkan ketinggian akal budi Melayu yang juga bererti ketinggian budaya
dan peradaban Melayu.
Bagi pengkaji Barat melihat ketinggian nilai yang ada
pada pantun Melayu, baik dari segi bentuk dan mesej yang berada di dalam pantun
Melayu, bagai tidak percaya ianya
cetusan minda dan kreativiti masyarakat Melayu di Alam Melayu atau
Nusantara. Antara pengkaji misalnya
seperti Winstedt, cuba mencari dan mengaitkan asal usul pantun ini dari unsur
luar. Beliau mengaitkan pantun kepada bentuk krama dalam cerita pari dalam bahasa
Jawa yang dikaitkan dengan bahasa Sanskrit `paribasya` yang di
dalam bahasa Melayu adalah peribahasa. Pribahasa adalah sesuatu yang lain dan
jauh dari pantun. Tiada sebarang contoh diberi untuk kewajaran hubungan antara
pantun dan pribahasa di dalam bahasa Sanskrit dan juga bahasa Jawa.
Manakala Dr. Brandstetter meyatakan bahawa pantun
adalah berasal dari Nusantara dan Alam Melayu. Beliau mengtakan akar kata pantun berasal dari bahasa Indonesia `tun` yang dapat dikesan penggunaan
dan kaitan dengan `tuntun`, atuntun`. Begitu juga dalam bahasa Tagalog, Filipina, kata tonton
bermaksud, sesuatu yang teratur. Juga dikatakan ada hubungan dengan bahasa
Sunda, bermaksud pantun `Cerita Panjang` dengan bahasa berirama dan dilagukan dalam
bunyi muzik. Walaupun dikaitkan dengan akar kata dan sebutan dari bahasa Jawa,
Tagalog dan Sunda, tidak ada bukti dan contoh dapat dikemukakan bentuk pantun
dari sumber-sumber yang diperkatakan.
Sebaliknya
sebagaimana pendapat ramai bahawa kata pantun terawal adalah didapati di dalam
Hikayat Hang Tuan dan Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) yang memaksudkan
pantun sebagai `umpama` atau `ibarat. Penggunaan juga kedapatan di dalam
Hikayat Ken Tambuhan.
Menurut
Profesor Sutan Takdir Alisjahbana di dalam bukunya yang berjudul Puisi Lama (1971):
``Menurut
fikiran saya, adalah pekerjaan yang sia-sia menetapkan asalmula pantun, sebab
sejarah tumbuhnya sesuatu cara mengucapkan fikiran dan perasaan yang mengenai seluruh lapangan
penghidupan sesuatu bangsa tiadalah sekali-kali mungkin lurus jalannya dari
sesuatu hal saja..`` Beiau menegaskan:
``Ikatan
pantun terjadi dari empat baris yang bersajak bersilih dua-dua ab, ab.
Kadang-kadang ada juga ikatan pantun yang terjadi dari enam atau delapan baris,
maka sajaknya abc, abc dan abcd, abcd.
Tiap-tiap baris biasanya empat perkataan.``
Beliau
berbicara dari teknik penyusunan pantun sebagaimana biasa dibicarakan. Dalam
hubungan dengan pantun ini, kata Sutan Takdir:
``Hendaklah
kita pandang dalam hubungan cara manusia mengucapkan fikiran dan perasaan seumumnya.
Manusia selalu berusaha mengucapkan yang
terfikir dan terasa kepadanya sebaik-baiknya, menurut tenaganya dengan jalan
meletakkan (dengan sengaja atau dengan sendirinya) bahagian yang terpenting
daripada fikiran atau perasaannya itu di tempat yang sebaik-baiknya.``
Pantun,
bukan sekadar istilah, tetapi adalah alam keliling, akal, jiwa, budaya dan peradaban Melayu yang terumus
di dalam kerat-kerat dan patah-patah perkataan yang tersusun menurut syarat, ukuran dan rima yang dicirikan. Pantun dari
jiwa Melayu yang dibentuk oleh alam yang indah sama ada berdepan dengan sawah
yang menghijau mata memandang berlatarkan bukit dikejauhan. Ia memupuk pandangan
jiwa yang lembut dan tenang atau pandangan dari laut luas yang berombak memukul
pantai dan angin sepoi menggerakkan daun-aun kelapa dan rhu ditepi pantai putih
yang mendamaikan. Demikian juga dengan hutan tebal menghijau penuh mistri dan
mendamaikan. Semua dilihat sebagai sesuatu yang teratur ciptaan Ilahi.
Kelembutan
dan kedamaian alamiah adalah membentuk jiwa Melayu yang lembut dan sopan.
Pengalaman ini tercurah dan terbina di dalam seni bina rumah mereka yang
didiami, pada pakaian, bahkan pada adat dan adab dalam hubungan dengan keluarga
dan masyarakat..
Ciri kelembutan, keindahan, teratur dan
berperaturan ini turun di dalam gubahan pantun yang indah dan akal budi Melayu.
Ungkapannya secara tidak langsung, beralas dan berlapik. Sesuatu yang indah
tidak wajar terdedah, kerana ia merosak dan hilang kehalusan. Demikian fikiran
yang cantik hendaklah berada pada tempat yang menarik, ianya disenikan dengan
latar indah, teratur dan berirama menjadikannya lebih menarik lagi mengkagumkan.
Demikianlah
pantun sebagai akal-budi, budaya dan peradaban Melayu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment