December 14, 2020

 

PANTUN  BERKAIT

(Fikrah  Bangi:  801),

BBB:  28 Rabi`ul-Akhir 1442H. = 14 Disember 2020M. {Isnin).

 

Selain dari pantun dikategorikan kepada dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat, duan belas kerat dan seterusnya dapat ditampah kepada jumlah genap ke atas, satu lagi bentuk pantun lagi ialah dikenali sebagai `Pantun Berkait`.

Pantun berkait ini diasas kepada pantun empat kerat, tetapi diperpanjangkan dengan mengulangi baris kedua pembayang dan keempat sebagai maksud menjadi pembayang bagi empat kerat berikutnya. Formulanya ialah:

Satu   - baris  dua

Tiga   – baris kedua

Contoh:

Burung serindit terbang sekawan,

Mati tersambar seekor merpati;

Sakit sungguh hambanya tuan,

Laksana kambing menggulai hati.

Seterusnya bagi  pantun empat kerat kedua dikait dengan pantun empat kerat pertama dengan mengambil baris kedua dari  empat kerat pertama menjadi pembanyang bagi empat kerat kedua dan maksud dari empat kerat pertama pada baris  keempat  menjadi maksud bagi maksud pertama baris ketiga bagi empat kerat kedua. Baris pertama dan keempat seterusnya adalah terpulang kepada kreativiti penggubah.

Dari pantun empat kerat di atas dikaitkan bagi empat kerat kedua:

Mati  tersambar seekor merpati,

Lantai balai berbelah-belah;

Laksana kambing menggulai hati,

Sudah didengar perintah Allah.

Penerusan seterusnya dikait:

Lantai balai berbelah-belah

Buat dinding raja beradu;

Sudah didengar perintah Allah,

Anak dibuat seperti  madu.

Demikianlah dapat dikaitkan kepada empat kerat seterusnya dengan mengaitkan pantun sebelumnya yang diambil dari baris dua dan empat sebelumnya. Antara pantun yang dikait hendaklah mempunyai hubungan persoalan dengan yang sebelumnya.

Pantun biasanya boleh berubah tema dan persoalan dari empat kerat pantun dengan yang lain. Ertinya ianya tidak terikat tema dan persoalan sebagaimana kebiasaan  dalam syair.

Walau bagaimana pantun dapat digunakan bagi gambaran  sesuatu persoalan secara bersambung-sambung. Sebagai contoh sesuatu topik khusus misalnya sejarah atau budaya. Contoh pantun berkait berkenaan pembinaan negara kota.:

Kemakmuran Negeri Perak:

Zaman Sultan Raja Iskandar,

Membuat negeri di Pulau Cempaka;

Eloknya pekan dengan bandar,

Tempat dagang datang berniaga,

 

Membuat negeri di Pulau Cempaka,

Digelar Pulau Indera Sakti;

Tempat dagang datang berniaga,

Ke bawah Duli  berbuat bakti.

 

Tuanku Raja Sultan Iskandar,

Takhta di Pulau Indera Sakti;

Indahnya lagi jangan disedar,

Kota pun sudah bagai di hati.

                 (Md. Yusof bin Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh, 1991: 26-28).

Dalam ungkapan diatas ada sedikit lari dari ciri berkait sebagaimana dibincangkan sebelumnya, tetapi persoalan tidak lari, tetapi diikat dengan gambaran  membuat negeri. Penulis berpendapat, konsep berkait sebenarnya tidak semestinya datang dari baris dua dan empat sebelumnya. Ianya boleh diulang misalnya dari baris tiga dan empat yang menjadi maksud bagi setiap pantun empat kerat di samping melanjutkan persoalan sebagai cerita. Maksud yang dipentingkan ialah isi atau maksud yang dilanjutkan dalam pengolahan. Berkait sebenarnya cukup dengan persambungan persoalan atau tema dan tidak semestinya mengulangi dua baris dari pantun sebelumnya. Ini dapat mengelak dari pembaziran persoalan dan kata yang sama. Mungkin ini lebih mengemaskan pantun berkait dan memberi kebebasan dari segi kreativiti.

 

Sekian.

No comments:

Post a Comment