December 13, 2020

 

PANTUN:  EVOLUSI  BENTUK

(Fikrah Bangi: 800),

BBB:  27  Rabi`ul-Akhir 1442H. = 13 Disember 2020M. (Ahad):

 

Pantun sebagaimana telah disebutkan adalah  satu bentuk puisi unik cetusan kreatif lagi  asli di dalam masyarakat Melayu. Unik bukan saja dari segi bentuk sebagaimana telah dibicarakan, tetapi unik dari segi psikologi di dalam mana mencerminkan sifat Melayu yang pemalu dan tidak suka menyatakan sesuatu yang terlintas di minda atau yang terbuku di kalbu secara nyata dan berterus terang, sebaliknya dikemukakan secara terselindung dan tersirat. Di sinilah selain dari segi unik dari segi bentuk lahiri, juga unik dari segi dalaman dan maknawi. Ini merupakan identiti, jati diri dalam peradaban Melayu.

Bentuk  pantun adalah berkembang secara evolusi. Ianya pada asalnya berbentuk dua kerat dengan ciri-ciri dan  syarat keperluan sebagaimana telah dibicarakan. Contoh:

Pungut duku di luar pagar,

Syarat berguru rajin belajar.

Pantun dua kerat biasanya ringkas dan padat. Ianya terdiri dari kerat ( a, a) pertama sebagai pembayang yang di atas adalah 9 suku kata, manakala maksud ialah pada kerat atau baris kedua terdiri dari 10 suku kata.

Dari  pantun dua kerat seterusnya secara evolusi berkembang kepada empat kerat sebagai pembayang. Bagi baris atau kerat pertama bertambah menjadi dua kerat dengan jumlah suku kata setiap kerat  yang sesuai dengan pernafasan normal (antara 8 -12 sukukata). Contoh pembayang dua kerat:

Alif ba ta belajar muqaddam,

Syarat  mula hendak  mengaji;

Bila  lancar  membaca Qur`an,

Sempurna amal  ibadat diri.

Pertambahan pembayang bagi baris kedua biasanya ada hubungan persoalan yang merupakan perluasan bagi  topik yang dibawa di dalam baris pertama. Contoh pada kerat atau ayat pertama topiknya membicarakan  tentang mempelajari muqaddam sebagai keperluan awal bagi mengaji Qur`an. Pada ayat atau kerat kedua adalah perluasan bagi keperluan belajar muqaddam yang merupakan syarat bagi belajar Our`an. Kalau tidak belajar mengenal huruf pada peringkat permulaan, maka akan sukar baca Qur`an jika terus baca surah diawal pembelajaran Al-Qur`an.

Keadaan yang sama bagi maksud. Bermaksud baris keempat adalah merupakan lanjutan huraian bagi baris maksud pertama (baris ketiga). Bermaksud, bila belajar Qur`an mulai dari peringkat awal mengenal huruf yang dipelajari pada peringkat muqaddam (peringkatpendahuluan), maka membolehkan seseorang berkembang maju dalam pembelajaran dari mengenal huruf kepada pengejaan dan seterusnya dapat membaca Al-Qur`an.  Dengan kebolehan membaca Al-Qur`an dengan baik, betul dari segi sebutan dan bacaan dan betul dari segi tajwid, maka  dengan demikian menyempurnakan ibadat seseorang. Contoh di dalam ibadat solat memerlukan seseorang membaca Al-Fatihah yang wajib (rukun)  dan surah yang sunat. Dengan pembacaan yang betul menyempurnakan ibadat solat seseorang. Sebaliknya jika tidak sempurna baca Fatihah, kemungkinan ibadat solat tidak sah.

Dari segi evolusinya pantun dari segi bentuknya yang popular dengan empat kerat, boleh berkembang kepada enam kerat dan seterusnya. Contoh pantun enam kerat:

Kuala Lumpur ibu kota,

Ramai yang  datang cuba nasib,

Awak seorang sama ke sana;

Bila   azam dengan cita-cita,

Jangan  dihalang  uji sakit,

Hendaknya kejayaan terlaksana.

 Sebagaimana pantun empat kerat, maka persoalan di dalam pembayang mempunyai perhubungan persoalan, maka demikianlah juga dengan maksud, ketiga-tiga barisnya juga mempunyai persoalan yang berhubungan. Baris pembayang  menyatakan sesuatu persoalan sebagai pembayang yang berkaitan persoalan, maka maksud juga ada hubungan, yakni tidak melompat kepada sesuatu yang tidak berkorelasi.

 Dari segi penggunaan pantun yang lebih dari empat kerat memerlukan ingatan dari segi persembahan, oleh kerana ianya lebih panjang dan memerlukan ketelitian dan ingatan, biasanya pantun yang lebih dari empat kerat ini digubah secara bertulis terlebih dahulu, tidak seperti dua kerat dan empat kerat boleh disampai atau dijawab secara spontan.

Pantun boleh digubah kepada yang lebih dari enam kerat kepada jumlah kerat-kerat yang lain, tetapi bila terlampau panjang sukar diikuti dan difahami dan hilang dari kejituan persoalan dan keindahan dari segi  tanggapan. Sebab itu pantun empat keratlah yang paling banyak digunakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment